Rindu Pasti Bertamu di Relung Hati

2:24 PTG JunAina 25 Comments


Hari ini Rabu, 28hb Mei 2014 merupakan hari terakhir untuk saya berkidmat di syarikat yang membuka ruang serta peluang kepada saya untuk meneroka bidang baru yang banyak mengubah hidup saya. Tujuh tahun cukup untuk membuat hati saya berat untuk melangkah. Andai bukan kerana terpaksa pasti saya masih di sini.


Barang-barang telah saya angkat bawa balik ke rumah pada hari Sabtu yang lalu yang kebanyakannya adalah buku-buku rujukan dan nota-nota kerja. Banyak ilmu yang dapat saya timba di sini moga akan semakin banyak ilmu yang dapat saya timba ditempat baru.



Kek red velvet khas buat kami bertujuh yang akan mengakhiri perhidmatan di syarikat.



Farewell di adakan semalam sehari sebelum hari terakhir. Makanan adalah sangat super sedap nasi putih, ayam goreng berempah, masak lemak daging salai, ikan bakar (cencaru dan kembung) bersama air asam, sayur campur, telur masin, ikan masin, ulam kacang botor, timun dan selom, sambal belacan, buah tembikai, air teh o ais limau dan bubur pulut hitam. Juga sebiji red velvet kek.



Ramai-ramai bermonopod!

Saya sedang sibuk hai-hai bye-bye kawan-kawan pejabat. Kesibukan pergi-balik hospital tengok Alya menghadkan waktu saya untuk makan-makan kali terakhir bersama kawan-kawan sepejabat tengahari tadi tapi saya tetap berpuas hati bila dapat memeluk Alya dan mencium wangi rambut dia.


Akhir kata moga Allah s.w.t memberkati perjalanan pekerjaan di tempat baru nanti, mempermudahkan urusan kerja dan membanyakkan rezeki saya agar dapat dikongsi bersama mereka yang memerlukan. Walaupun hati saya bersedih tetapi hidup masih perlu diteruskan.


25 Rider Beraksi:

Speechless

8:40 PG JunAina 19 Comments



Umur 6 tahun di dera, doktor dapati ahli syurga ini patah tangan, melecur tahap satu akibat disimbah air panas dan terdapat kesan lebam lama dan baru. Melihat tubuh kecil sebegitu hati ibu saya tersentuh. Tiadakah perasaan ehsan ibunya lagi terhadap si kecil ini, lupakah dia juga perjuangan 9 bulan lebih mengandungkan dan saat getir melahirkan.


Kalau saya nyamuk gigit pun kita marah inikan pula sebegini rupanya anak yang kita kandung dan lahirkan kecuali keduanya memang sakit jiwa atau di bawah pengaruh dadah.



19 Rider Beraksi:

Keresahan Berganda

9:56 PG JunAina 22 Comments


Pagi ini jam 9.30am Alya Batrisyia akan di bawa ke Hospital Kuala Lumpur dari Hospital Kajang menggunakan ambulan untuk rawatan lanjut. Semalam balik dari kerja terus ke hospital untuk memberi sokongan moral buat adik dan adik ipar. Harapannya agar mereka faham kami semua akan sentiasa bersama mereka tak kita susah mahupun senang.


Doktor telah memberitahu semasa scan buah pinggang sebelah kiri tidak kelihatan dan doktor mengandaikan Alya lahir dengan satu buah pinggang sahaja. Buah pinggang kanan juga agak besar dari kebisaan usia Alya dan doktor mengatakan ianya agak normal sebab buah pinggang itu melakukan kerja untuk dua buah pinggang. Sepatutnya buah pinggang normal berukuran 7.5cm dan buah pinggang Alya berukuran 9.3cm (saya lupa angka selepas titik perpuluhan).


Balik kerja anak-anak kecoh seekor dari enam anak kucing yang ada di rumah hilang, paginya saya lepas bebaskan mereka untuk bermain di luar sebab Iqbal ada di rumah. Kebiasaannya tengahari anak-anak ini akan balik ke rumah tetapi semalam seekor darinya tak balik sehingga malam. 


Pagi ini pula dalam tangisan meminta makanan saya terdengar bunyi suara halus anak kucing bila saya hampiri sangkar kelihatan anak kucing yang selama ini sangat mengalah dan kecil terbaring tak mampu bergerak. Air mata saya bergenang, saya keluarkan dan letak di luar cuba suapkan air dan susu tetapi dia sudah tidak mampu untuk menerima. Akhirnya sebelum pergi kerja kucing tersebut pergi juga. Sekarang hanya tinggal empat ekor anak kucing dan seekor ibu. Patutlah ibu kucing ini hanya menunggu sangkar sejak semalm tidak berganjak rupanya dia dapat merasakan kesakitan anaknya. Sebelum ini mak pun dah bagitahu yang kucing ini tak akan mampu bertahan lama sebab bila pegang badannya sejuk.


Hati saya tetap risau memikirkan anak kucing yang hilang. Sedih dengan anak kucing yang mati. Bertambah pilu memikirkan sakit Alya yang belum ketemu noktahnya. Rawan hati saya namun saya pasakkan jiwa dengan menyerahkan segalanya pada Allah s.w.t. Perancangan Dia adalah yang terbaik buat kita. Seketika ini mungkin dia memberi mendung dan hujan siapa tahu selepas ini akan terbit pelangi mewarnai kehidupan. Allah s.w.t menguji dan Allah s.w.t juga memberi.




22 Rider Beraksi:

Alya Batrisyia Mama Doakan Yang Terbaik Buat Kamu

6:09 PTG JunAina 12 Comments


Hati saya di pagut pilu, berat yang teramat. Tak mampu di ungkap hanya air mata mampu menenangkan hati di saat ini apatah lagi buat adik yang membesarkan Alya sejak kecil. Berat saya memandang berat lagi bahu mereka suami isteri yang memikul.


Telefon berbunyi dan hanya suara tangisan kedengaran dihujung sana, dia tak ammpu bercakap sehinggalah telefon disambut oleh adik ipar. Tamparan hebat buat kami semua selepas 10 hari Alya berada di Hospital Kajang.


Dia dimasukkan ke hospital kerana buah pinggang mengalamai jangkitan kuman. Kini selepas 10 hari doktor membawa khabar duka. Alya selama ini hanya hidup dengan satu buah pinggang kerana satunya sudah tidak berfungsi. Kini Alya akan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut bagi menyelamatkan buah pinggangnya.


Kawan-kawan doakan Alya agar cepat sembuh doakan yah dan uminya kuat semangat dan doakan kami kaum keluarga tabah menghadapi ujian ini.


Kisah Alya Batrisyia 1.



12 Rider Beraksi:

Bunga Hilang Kasut Baru

8:34 PG JunAina 15 Comments



Ampun sebab tayang kaki yang tak cantik dah rupanya kaki warga emas punya malas nak jaga. Semalam selepas makan tengahari dan jumpa seorang kawan di Bangunan Mara, Jalan Raja Laut saya terperasan bunga-bunga cinta di kasut sudah hilang. Sob...sob...sedih sebab kasut ini baru je beberapa bulan lepas beli. Sayang. Tak apa sabarlah dulu nanti kita berkreatif, buat sementara waktu duduk dalam almari sekejap.


Buka almari kasut, banyak kasut dan kotak kasut. Dari dulu almari separas pinggang kini separas kepala masih juga tak muat. Kasut yang rosak pun masih simpan, sayang tetapi lama-lama tetap kena buang. Bila berbelanja guna duit sendiri nak buang barang pun sayang. Almaklumlah bila nak buang terbayang RM yang dibayar semasa membelinya, atas sebab ini jugalah banyak barang-barang yang patut dibuang masih disimpan.


Perempuan dan kasut tidak dapat dipisahkan selagi ada bajet walapun dan berpasang-pasang kasut di rumah tetap membeli kalau dah berkenan. Memandangkan bulan depan akan berhijrah ke tempat baru makanya ada harapan beli kasut baru lagi.


15 Rider Beraksi:

Reporter Cabuk

10:28 PG JunAina 14 Comments


Pagi semalam dalam kesibukan bersiap ke temapt kerja jiran sebelah rumah memberi salam kemudian menarik lengan saya keluar sehingga ke depan rumah dia bagi mengelakkan Pak Tuan mendengar perbualan kami. Mata merah. Tergesa-gesa dia bercakap. Katanya jiran A telefon kakaknya jiran B dan kemudian si B telefon jiran sebelah rumah saya beritahu Iqbal Hadi anak sulung saya bergaduh bertolak-tolak di depan sekolah. Saya diam. Berfikir sebab saya baru sahaja balik dari menghantar kakak ke sekolah Iqbal Hadi pulak berjalan dengan kawan-kawannya. Saya angguk bila kaka sebelah rumah minta saya pergi tengok. Kemudian saya segera bersiap ke tempat kerja.


Lalu di depan sekolah saya hanya memandang dan tiada yang ganjil. Insyaallah setakat ini saya masih mengenali sikap dan sifat anak-anak. Bagi saya itu mungkin hanya perselisihan faham kecil antara mereka sehingga menimbulkan ketidak puasan hati. Saya langsung tidak berfikir perkara tersebut di pejabat. Bagi saya bukan anak lelaki kalau tak bergaduh dan bertumbuk dengan rakan sebaya. Pernah sekali dia menumbuk rakan sekelas kerana mengejek nama arwah bapanya yang sedikit klasik dan dia tidak menyembunyikan daripada saya. Sebagai ibu saya hanya memberi nasihat yang sepatutnya. Bila saya berjumpa guru kelas semasa mengambil laporan kemajuan kami turut berbincang perkara tersebut.


Kawasan rumah saya memang ramai reporter cabuk sebegitu, sesuatu berita cepat sahaja tersebar tak kira baik mahupun buruk. Duduk di rumah tanpa aktiviti berfaedah ramai juga sering bertangga di pintu jiran. Pemandangan biasa di temapt saya sebabnya ramai ibu-ibu tidak bekerja. Saya? Banyak menghabiskan masa di dalam rumah sekiranya bercuti sebab masa cutilah nak uruskan rumah.


Bukan mengata buruk sahaja tetapi ada baiknya juga reporter cabuk ni sebabnya kita dapat pantau aktiviti luar anak-anak. Bila mereka hendak berbuat sesuatu mesti mereka akan berfikir panjang sebab banyak mata yang akan memandang dan pasti berita tersebut akan sampai ke pengetahuan ibu-bapa.


Mendidik anak remaja sekiranya tidak kena gaya akan memberi tekanan kepada kedua belah pihak anak mahupun ibu bapa. Bertindak sewajarnya agar perkara yang terjadi tidak berlarutan menjadi bertambah parah. Perumpamaan 'bagai menarik rambut di dalam tepung' wajar dijadikan panduan agar rambut tak putus tepung pula tidak bertaburan.


14 Rider Beraksi:

Jangkitan Kuman di Buah Pinggang dan Darah Tinggi

8:54 PG JunAina 16 Comments


Sayangkan anak tangan-tangankan sayangkan isteri jangan pula ditinggal-tinggalkan peluklah selalu. Jadi kalau anak sakit sila bagi makan ubat kalau tak nak kena paksa. Kemanjaan keluarga kami si kecik Alya Batrisiya di masukkan ke hospital pada hari Jumaat malam 16hb Mei kerana jangkitan kuman di buah pinggang dan tekanan darah tinggi. Usia dia baru lima tahun. Alhamdulillah Umi terperasan yang kencing Alya bercampur darah dan cepat-cepat bawa ke hospital malam tu juga walaupun sebelum ini selalu juga dibawak ke Klinik Kesihatan tetapi malam tersebut Umi terus bawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Kajang.


Cerita bermula bila Alya mengalami alahan kulit dan berkudis, asyik ulang klinik dan sapu ubat yang ubat makan dia tak mahu pulak dimakannya. Kejap baik kejap datang balik berulang-ulang. Badan kurus tapi pipi tembam. Boleh kami tak perasan yang sebenarnya muka dia bengkak. Antibiotik tak makan jadi kuman-kuman tu beraya sakan dalam badan. 



Inilah budaknya pada hari pertama, muka bengkak dan paling jelas mata dia. Kesian sangat air mata asyik meleleh sahaja, mama tengok pun tak sampai hati lemah jiwa raga.



Kena berpantang makan. Hanya boleh minum 250ml air sehari semalam supaya buah pinggang dia tidak bekerja kuat. Tekanan darah pula tak boleh kurang dari 95/55 dan tak boleh lebih dari 111/73. 2-3 hari kat hospital tekanan darah dia macam orang dewasa 130. Hari ke 4 sudah stabil. Tekanan darah naik kerana buah pinggang tidak dapat berfungsi dengan baik dan buang semua protin.




Sehari di masukkan ke hospital berat badan Alya turun 1kg dan doktor pakar sangat puas hati. Dia juga tidak dibenarkan aktif. Nama dia tu selalu disalah eja Nur Alya Batrisyia sebetulnya kalau ikut Mykid.





Mama dan umi tetap juga nak bergambar dengan orang sakit. Peace Alya.



Hari ke empat dah boleh senyum, bergelak dan layan mama cakap. Whatapp mama nak buah epal merah (pandailak ko dik mentang-mentang tau abah tak tolak permintaan punya). Mujur mama mc dua hari bila abang Hikram turut demam dan tiada penjaga kerana Umi berkampung kat hospital.


Syukur alhamdulillah. Alya semakin sihat, moga cepat dapat keluar dari hospital dan balik rumah. Abang Iqbal, Kakak Noni dan Abang Hikram dah rindu teh tarik Umi. Kesian ayah yang balik kerja terpaksa duduk sorang-sorang kat rumah. Mak Tok pun dah sampai dari Perlis nak tengok Alya.



16 Rider Beraksi:

Pokok Hantu

11:16 PG JunAina 17 Comments


Malam-malam mesti reramai tumpang gayut tidur kat sini. Sesapa nak buat filem pi la sini memang nampak seram tengok pokok tu walaupun ditengah hutan batu.


17 Rider Beraksi:

Sarapan Kelas Atasan Lontong Rm8

10:57 PG JunAina 22 Comments


Sejak beberapa hari ini tekak terasa nak makan lontong, nak makan lontong, nak makan lontong, asyik berzikir lontong sahaja. Mamak kat bawah ni sediakan menu lontong hanya pada hari Jumaat, nak menapak ke gerai di Jalan Raja Abdullah berhadapan Menara RKT terasa berat kaki. Akhirnya hari ini kerajinan untuk berjalan pun datang, lontong mu tunggu aku datang.




Saya oder lontong saya tambah dua keping sotong kembang masak sambal. Sekali bila dia kira Rm8, lontong kosong Rm4 sotong kembang Rm2 sekeping. Itulah nilai sarapan pagi saya hanya digerai tepi jalan, kalau makan di kafe berhawa dingin tak tahulah berapa harganya. Alhamdulillah rezeki peniaga dan rezeki perut saya jugak. Paling penting saya makan sehingga menjilat sudu.



22 Rider Beraksi:

Pujuk Jiwa Baju Merelip Merelap

11:37 PG JunAina 21 Comments


Masih ada baki pekerjaan yang perlu diuruskan, meninggalkan tugasan biarlah langsai tanpa esoknya kerja kita menjadi beban kepada mereka yang ditinggalkan. Harapnya begitulah. Walaupun dengan hati yang agak berat kerana 'mood' bekerja sudah hilang bersama masa namun tetap digagahi. Masih ada yang memerlukan kudrat empat kerat yang tersisa, lalu tanggungjawab tetap menjadi perkara pokok.


Hari ini dalam mengutip sedikit semangat yang bersisa saya ceriakan diri dengan jubah lip-lap saya ternyata ia dapat mengubah 'mood' yang kelam serta suram menjadi lebih positif. Natijahnya saya menjadi bahan kawan-kawan. Setiap kali berselisih pasti ada yang meneur baju blink-blink saya hari ini tapi apa saya kisah. Badan saya suka hatilah nak sarungkan baju apa kalau tak berbaju itu perlu jadi kisah! Ahahahaaaa...


Saya sedang berusaha gigih menyiapkan kerja-kerja yang saya abaikan sejak hampir 3 minggu lepas, sejak saya mendapat surat cinta kali pertama dan terakhir dari syarikat. Rasanya saya berjaya menguti kembali semangat yang hilang.





21 Rider Beraksi:

Like Father Like Daughter

10:53 PG JunAina 17 Comments



Leka dengan telefon masing-masing, Whatapp, WeeChat, FB, IG, Twitter dan saya jemu dengan semua itu akhirnya hanya merenung mereka yang leka di dunia cyber. #Nasibbaikmasihbolehbersabarkalautakdahangkatkaki.



17 Rider Beraksi:

Red Velvet Makan Free Memang Sedap

5:21 PTG JunAina 9 Comments


Jiran sebelah seorang setiausaha  (sebelah partition) hulur benda ni lepas balik lunch tadi. Happy sesangat yang kenyang tiba-tiba jadi lapar balik. Saya penggila kek jadi dalam kenyang-kenyang tu saya buka dan ngap-ngap sambil terpejam-pejam mata. Sangat sesuai bagi yang tidak mengemari rasa cheese yang masam sebab dia buat cheese tu rasa light sahaja. Keknya pula tidak terlalu manis dan sangat lembut juga. Terasa keenakkan dimulut dan ditekak.







Sudah cedok dengan sudu baru teringat nak ambil gambar.
Teringin nak oder? Ini hanya tester kalau yang betul-betul kek tu  penuh sedikit dan menggunakan cup yang penuntup bulat. Nak buat buah tangan untuk majlis harijadi atau apa-apa majlis pun boleh. Nak buat makan-makan kat rumah pun boleh.


Boleh email saya juna_ai@yahoo.com dan saya akan panjang email untuk kawan saya ini. Memberi sokongan kepada kawan yang ingin memulakan perniagaan sebenarnya.



9 Rider Beraksi:

Cermin Kereta Baru Claim Insuran

11:53 PG JunAina 16 Comments


Bila memperbaharui cukai jalan semasa ambil insuran sila masukkan insuran untuk cermin sekali bagi mengelakkan terpaksa menaggung kos berlebihan apabila cermin mengalami kerosakkan sama ada retak (senaja atau tidak), pecah atau dipecahkan. Masa tu bolehlah tukar cermin kereta baru calim insuran yang mengurangkan sedikit perbelanjaan.


Pastikan anda membawa polisi insuran (saya menggunakan Kurnia Insuran), geran kereta, kad pengenalan dan lesen memandu untuk proses di kedai cermin. Sila pastikan juga lokasi kedai panel insuran yang diambil sekiranya kereta di bawa ke kedai bukan panel insuran sila bayar dahulu dan claim kemudian. Sila pastikan juga anda mengambil insuran cermin untuk keseluruhan kereta. Bagi kereta Saga BLM ianya berharga Rm600 dengan bayaran insuran Rm90. Insuran cermin juga boleh ditambah kembali dalam masa 10 hari dari tarik kita menggantikan cermin.


Cermin kereta saya mengalami keretakan mungkin di sebabkan oleh panas yang berlebihan, lagipun mutu barangan zaman sekarang tak sama dengan 10 tahun lepas. Satu perkara yang tidak dapat dielakkan saya masih terpaksa membayar Rm100 kepada tuan kedai. Berniaga memerlukan modal jadinya menunggu claim kemungkinan lambat jadi sebagai pengguna hendak atau tidak saya tiada pilihan. Satu kedai yang saya tanya Rm450 untuk cermin hadapan dan claim kemudian. Jadi saya tetap memilih panel insuran dengan harga cermin baru Rm400 + Rm100 (cash bayaran tambahan). Hanya hanya mengambil insuran Rm400 untuk cermin dengan bayaran Rm70.


Saya juga ke salah sebuah panel insuran yang terletak di Bandar Teknologi Kajang yang mana tuan kedai meletakkan harga Rm600 untuk cermin Saga BLM. Selepas berbincang kami membuat keputusan untuk pergi ke satu lagi kedai panel insuran dan itulah hasilnya. Di kedai kereta yang diparking semua kereta mahal-mahal.



Dari Car Medic di Bandar Teknologi Kajang kami mencari One Car Auto Glass di Sungai Chua, puas berpusing sebab nama syarikat yang terdapat di laman web adalah Roovers di Jalan Wan Siew rupanya kedai ini hanya sebaris dengan KFC Sungai Chua.



Cermin sudah di tanggal, lopong sekejap.



Proses meletakkan gam untuk melekatkan cermin.


Masa yang diambil untuk menggantikan cermin kereta sekitar 1 jam 30 minit. Kebetulan semasa sampai pekerja mereka baru sahaja menyiapkan sebuah kereta Honda City jadi rezeki kami tidak perlu menunggu lama. Terdapat beberapa perkara yang perlu dielakkan bila menukar cermin. Pada hari pertama elakkan dari terkena hujan lebat dan dalam masa tiga hari elakkan dari mencuci kerata. Selepas siap pasang, proses mengambil gambar kereta dan tandangan segala borang kami sudah boleh balik, tak perlu tunggu untuk mengeringkan gam dan sebagainya.



16 Rider Beraksi:

Bonus 7 Bulan Kenaikan Gaji 10 Peratus

8:00 PG JunAina 31 Comments


Salam Jumaat penuh berkat.


Syukur alhamdulillah. Saya akan memulakan tugas di tempat baru bermula 9hb Jun 2014. Percaturan yang Allah s.w.t tetapkan untuk saya sangat cantik sekali. Walaupun pada mulanya saya berkeluh kesah bergundah gulana tetapi saya kuatkan hati untuk menerima semuanya secara positif.


Saya berserah segalanya kepada Allah s.w.t, merayu hanya pada Nya. Merintih pada yang satu. Akhirnya kemanisan itu datang jua. Saya mendapat 7 bulan bonus hasil dari bayaran pemberhentian kerja selama 7 tahun di syarikat sekarang tambah bererti saya mendapat 10 peratus kenaikan gaji untuk syarikat tempat baru yang akan saya pergi walaupun saya boleh minta lebih tetapi apa yang ditawarkan adalah sudah cukup bagus buat saya yang telah kehilangan kerja.


Tiga bulan notis adalah terlalu panjang, jadinya saya meminta izin dari MOD untuk mendapatkan 'early release' dengan sebulan notis. Notis saya berkuatkuasa 28 April 2014 jadinya saya akan bekerja sehingga 27hb Mei 2014 untuk sebulan notis.


Terima kasih buat kawan-kawan maya yang sentiasa mendoakan kebaikan buat saya. Hanya Allah s.w.t sahaja dapat membalas jasa baik kalian (tiba-tiba touching). Sayang korang semua ketat-ketat. Kalau nak minum kopi singgah ke Sunway Tower sebelum 27hb Mei dan selepas tarikh itu boleh le singgah ke The Icon pulak dan masih juga di Kuala Lumpur.



31 Rider Beraksi:

Temuduga Program Diploma PPUM

8:00 PG JunAina 14 Comments


Program pengajian yang ditawarkan adalah :

1. Diploma Kejururawatan (Diploma In Nursing)
2. Diploma Teknologi Makmal Perubatan (Diploma in Medical Laboratory Technology)
3. Diploma Radiografi (Diploma of Radiography)


Saya mengambil tanggungjawab terhadap mereka sejak dulu lagi, kami sangat rapat. Walaupun saya hanya ibu saudara dia memanggil saya mama sebagaimana anak-anak yang lain. Menjadi yatim seusia saya menjadi yatim satu ketika dulu iaitu sekitar umur dua tahun. Selagi mampu saya akan tetap menyokong kehidupan dia sehingga mampu berdikari dan dapat berbakti kepada ibunya.


Mendapat keputusan SPM 4A3B1C dia menolak untuk memasuki matrikulasi yang ditawarkan, sekiranya berjaya di dalam temuduga esok kemungkinan besar juga dia akan menolak tawaran ke UPU. Alasannya. Kalau mengambil diploma dengan PPUM pekerjaannya telah terjamin tak perlu bersusah payah mencari kerja dan  dalam bab keewangan pula dia tidak perlu menyusahkan ibunya kerana ada elaun disediakan. Sekiranya masuk universiti dia harus mengambil kira cabaran peluang pekerjaan di mana terlalu ramai graduan yang dilahirkan setiap tahun. Juga dia tidak perlu menyusahkan ibunya untuk perbelanjaan di universiti.


Saya memberi sokongan sepenuhnya atas pilihan dia, selagi mampu saya akan menolong. Hari ini dia akan menghadiri temuduga di Pantai Bharu. Doa yang terbaik buat Nursyamimi binti Norazrin satu-satunya anak perempuan kakak saya. Dia tidak memilih Diploma Kejururawatan sebaliknya  memilih Diploma Radiografi sebagai pilihan pertama.



Badan kecik muka macam budak-budak selalu disalah anggap jadi adik kepada Kakak Hayani.



14 Rider Beraksi:

Suami Gila FB Isteri Larikan Diri

4:00 PTG JunAina 11 Comments


Dulu dia guna telefon berinternet kerana terpaksa sebabnya bos akan berbincang permasalahan yang timbul dengan 'whatsapp' melalui group yang ditubuhkan. Jadi tiada alasan untuk pekerja untuk tidak melihat telefon seharian sebagaimana alasan tak melihat email. Lama kelamaan dia mula aktif FB tetapi bukan aktif dengan kawan-kawan tetapi sebalinya aktif dengan parti politik, selain itu dia sibuk dengan 'whatsapp' group sedia ada.


Bila mengadap rezeki ditengah hari sebaik habis makan dia akan capai telefon, merenung, membaca dan komen. Meja sepi. Tiada lagi suara berborak, bergelak sesekali usik mengusik. Saya pula merenung kosong sekeliling. Lama-lama hati jadi terbakar. Bangun tanpa sepatah kata. Bayar. Melangkah keluar kedai tanpa kata. Dia terpinga-pinga mengejar tanpa kata. Pulak tu buat muka tak bersalah.


'Tak apalah saya balik pejabat jalan kaki sahaja, tengoklah hp tu sampai esok'
Ayat merajuklah konon....ahahhaaaaa...


Salah sendiri buka akaun FB kat laki. Bila dia mula sibuk di FB sedikit sebanyak masa berkualiti dah tak ada. Jadi pesanan buat suami-isteri bila bersama sila bagi tumpuan pada pasangan masing-masing agar tiada yang terasa hati. Jangan jadikan gadget sebagai pemutus komunikasi kalian.


11 Rider Beraksi:

Farah - Mrs Secretary Dan Hadiah Yang Seksi

10:42 PG JunAina 15 Comments



Kurniaan sempena pengomen terbanyak tapi nombor berapa tah. Terima kasih Farah untuk hadiah gitar yang seksi tu. Sukanya akak sekarang dah selamat bersama rakan-rakan di komputer kat pejabat, tak boleh letak di rumah nanti hilang.



15 Rider Beraksi:

Pesakit Asthma Saya Alah Pada Kucing

10:24 PG JunAina 23 Comments


Pesakit asthma kebiasaannya akan alah kepada habuk, sejuk dan sesetengah makanan yang berunsur sejuk. Sebagai pesakit asthma saya alah pada kucing juga mungkin sebab bulunya serta hama yang ada bersama kucing. Dulu saya tidak menghadapi masalah dengan kucing mungkin bila bertambahnya usia imun badan juga semakin berkurangan.


Selepas bertahun-tahun saya selesa tanpa mendapat serangan asthma kebelakangan ini dada saya mula sesak. Sejak mengidap demam selsema minggu lalu dada saya sangat tidak selesa, tidur malam sangat terganggu. Tercungap-cungap dan cepat terasa letih.


Saya tahu puncanya tetapi saya tak mampu hendak berbuat apa-apa. Nak buang sayang. Nak bagi orang tak sampai hati. Kesiankan adik Hikram pun ia juga. Masa lapang Hikram dia akan main berkejaran dengan anak-anak kucing, bercakap, marah, ketawa melayan keletah anak kucing kadang-kadan tertidur dengan kucing. Sampai ke hati mak nak pisahkan kasih itu.


Mengurus enam ekor anak kucing termasuk ibunya tujuh ekor. Makan, ganti pasir, kemas sangkar dan seminggu sekali mandikan memang sangat memenatkan. Di sebabkan anak-anak ini jugalah asthma saya tidak mahu betul-betul baik. Saya tahu tetapi saya tak mampu buat apa-apa. Kisah mula-mula mereka menumpang di rumah saya pernah saya tulis di Kisah Kembar Enam.



Tidur sambil bergayut macam tu sahaja, comel tapi nak menguruskannya memang mengambil masa. Masa main suka, masa nak mandikan letih sebab enam ekor!


23 Rider Beraksi:

Wakaf Al-Quran

11:10 PG JunAina 12 Comments




1 bahagian Rm5
1 naskah Al-Quran Rm30
Biasanya kalau pergi ke Mekah kita akan wakafkan Al-Quran tapi ini di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Memenuhi rutin saya kebelakangan ini bersolat Jumaat di sini.
(Alhamdulillah semasa Pak Tuan menunaikan umrah dia juga mewakafkan Al-Quran buat arwah abah saya Abdullah bin Othman walaupun dia sendiri tak pernah melihat atau berjumpa arwah-waktu dia bagitahu hati saya sangat terharu)


12 Rider Beraksi:

Tak Sunat Tak Boleh Kahwin

3:30 PTG JunAina 9 Comments


Adik minta mama tengok bird.
Malu la mama (sejak dah masuk darjah empat malu dulu di tayang-tayang je kat mak siap suruh pegang).
Mama nak tengok nak sunat sekarang ke boleh tunggu bulan 12.
Sambil pejam mata dia bagi mak tengok...ahahhaaa...


Dulu kalau sebut sunat boleh bergaduh, menangis.
Sebab itulah tunggu adik bersedia terima dahulu baru cadangkan untuk sunat.
Biar dia terima seadanya sebab kalau tak dia akan memberontak.


Mama kenapa orang lelaki kena sunat?
Abang dia cepat-cepat jawab. "Dik kalau tak sunat tak boleh kahwin!"
"Haaaaa! Abang tipulah!"
Kakak tu tak sunat pun?
Perempuan sunat masa keciklah adik...


Saya rancang cuti sekolah nanti nak balik kampung sunatkan Hikram. Saya memang sedikit bertolak ansur dan membiarkan emosi dia menerima untuk dikhatankan. Kalau dipaksa bimbang dia memberontak, jadi saya memberi ruang yang lebih kepada dia.


9 Rider Beraksi:

Retrenchment

10:21 PG JunAina 14 Comments


Saya telah hadzam dengan kisah tersebut, tetap redha kerana saya percaya perancangan Allah s.w.t adalah yang terbaik buat saya. Memberi keperluan berbanding kehendak kita. Khamis petang kami yang terpilih telah menerima surat retrenchment masing-masing yang tertulis butir-butir penting yang kami akan dapat dari syarikat. 


Berbanding fasa pertama kali ini kami agak rugi dari segi notis pemberhentian. Fasa pertama sekiranya surat tawaran mula kerja pekerja terikat dengan tiga bulan notis maka mereka cuma perlu bekerja sebulan dan dua bulan lagi dibayar sebagai pampasan bermakna kalau berkhidmat 10 tahun akan dapat 10 kali gaji campur 2 bulan notis. Jumlah keseluruhan 12 kali gaji akan di bayar. Kali ini notis 3 bulan akan dibayar gaji penuh sekiranya meminta perlepasan awal bermakna mereka hanya akan membayar jumlah hari kita bekerja bersama jumlah tahun perkhidmatan sahaja.


Alhamdulillah. Saya masih ada 7 bulan masa untuk mencari kerja. Insyaallah sehingga akhir tahun saya akan mempunyai perbelanjaan yang mencukupi dari pampasan yang dibayar. Sekiranya saya mendapat kerja cepat bermakna duit tersebut adalah bonus buat saya, menjadi tabungan di masa hadapan pula. Ada harga yang harus kita bayar di atas apa jua yang terjadi. Duit yang ada haruslah berjimat-cermat.





Hidup harus di teruskan, perjuangan masih belum sampai kepenghujung, semngat masih membara lalu jangan biarkan hati digenggam emosi. Pakai baju merah untuk ceriakan diri.


Saya pernah lalui semua ini 13 tahun dulu. Lagi teruk, lagi lama. Sekejap gaji di bayar sekejap tidak, sekejap bayar separuh dan akhirnya saya berhijrah denga hutang syarikat beribu-ribu dengan saya. Tiga bulan saya bekerja di tempat baru saya tidak disahkan dalam perkhidmatan dan di berhentikan. Syarikat tersebut biasanya mengambil 2 orang pekerja dan akan pilih yang terbaik. Saya budak Mekanikal & Elektrikal masuk ke bidang Civil & Structure jadinya awal-awal lagi saya kalah. Saya rasa pengalam itu banyak mempengaruhi emosi saya bila dapat berita ini. Pengalaman yang mendewasakan saya.


Sebelum masuk semula ke bidang asal, saya pernah bekerja sebagai setiausaha di pejabat tapak sebuah syarikat pembinaan. Saya sangat fleksibel dalam soal kerja, selagi saya mampu melaksanakan tugas tersebut saya tak akan menolak rezeki yang datang.


14 Rider Beraksi:

Arjuna Beta - Fynn Jamal

7:30 PG JunAina 2 Comments



Tak kanku biarkan walau ribut menyentakmu yang tidur
datang petir menyambar
jengking dan ular–
bonda takkan berundur

nyamanlah arjuna beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa

kan ada satu ketika kau tak tahu mana nak pergi
jalan betul, anakanda,
tak jelas mata–
ambil yang sarat duri

hiduplah arjuna beta
biarkan jasad yang luka
selama tuhanmu ada
takkan engkau tercela

chorus

ngeri tak terbayang mata
bonda takkan ada sentiasa
nanti moga kau tak lupa
bonda memujukmu, anakanda

hiduplah arjuna beta
biarkan jasad yang luka
selama tuhanmu ada
takkan engkau tercela

nyamanlah arjuna beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa





Pertama kali dengar lagu ini saya sudah jatuh cinta. Saat pertama kali mendengarnya juga saya menyangka lagu ini adalah nyanyian Yuna walaupun berkali-kali mendengarnya saya masih mengatakan Yuna penyanyinya. Bait-bait kata yang menyentuh perasaan, penuh seribu tafsiran.



2 Rider Beraksi: