Waze AEON Mahkota Cheras Salah Tempat

11:06 PG JunAina 11 Comments


Hujung minggu ke Batu 14 Hulu Langat ada agenda yang perlu diselesaikan. Walaupun dapat mengagak tempatnya tetapi khidmat Waze tetap digunakan untuk memastikan perjalanan tanpa gangguan dan kami sampai ke tempat yang dicari dengan mudah.


Usai urusan di situ kami buat keputusan untuk ke Daiso dan yang paling dekat dan satu arah adalah AEON Mahkota Cheras. Entah kenapa hari tersebut otak seolah-olah hilang arah tidak dapat mengingati simpang masuk utama ke sana. Sekali lagi khidmat Wazw di gunakan.


'Turn right' aikkk...kenapa pulak kanan rasanya kalau ke AEON Mahkota Cheras arah ke kiri. Hati berbelah bahagi tetapi setereng kereta tetap ikut juga arahan kiri-kanan dari Waze. Akhirnya kami sampai juga tetapi kami sampai ke AEON Cheras Selatan! Google tak ada pulak Daiso kat AEON Cheras Selatan, terus keluar dari situ ambik Silk Higway dan tanpa menggunakan Waze kami sampai ke AEON Mahkota Cheras dengan selamat.


Kadang-kadang teknologi pun tak dapat membantu adakala jadi semakin susah. Jadi kebergantungan itu janganlah keterlaluan. Saya jarang bergantung dengan Waze kecuali kecemasan. Biasanya kalau memang plan hendak ke mana-mana saya akan google map kawasan tersebut.



Tiba-tiba rindu nak jalan-jalan ke Sabah lagi.

11 Rider Beraksi:

KTM Kajang Touch & Go

10:32 PG JunAina 6 Comments


Saya kini menjadi pengguna tegar perkhidmatan awam sejak seminggu lepas dan akan berlarutan sehingga bulan November. Parking kereta di depan masjid di Jalan Reko kemudian berjalan 1km ke Stesen KTM Kajang naik tangga, turun tangga tunggu komuter. Sampai di KL Sentral bergegas naik LRT kemudian berjalan lagi 1km ke pejabat. Saya bersenam setiap hari kini.


Bagi memudahkan perjalan saya menggunakan kad Touch & Go, jimat masa. Hari Jumaat yang lalu saya menambah nilai Rm50 malangnya sebaik sahaja saya mengimbas kad untuk keluar baki hanya tinggal Rm29 dari Rm48 yang masih ada di dalam kad. Pagi ini sekali lagi saya menggunakan kad dan baki menyusut dengan ketara.


Saya menuju ke kaunter Touch & Go KTMB di KL Sentral dan katanya saya tidak menimbas kad semaa masuk di Stesen KTM Kajang dan dikenakan penalti sebanyak Rm17.00. Sekiranya terdapat apa-apa masalah saya di minta pergi ke Pejabat Touch & Go yang berdekatan sahaja dengan Kaunter Tiket KTMB. Dua hari perjalanan langsai Rm50 dengan baki terkini Rm7.20.


Palang masuk untuk ke Komuter memang sentiasa terbuka jadinya bila kita meletakkan kad mungkin kita tidak perasan yang mesin pengimbas hanya membunyikan sekali 'beep' berbanding 2 kali yang sepatutnya. Jadi kita terus masuk dan mengimbas di stesen berikut jadi kita akan dikenakan penalti. Berbanding LRT yang sentiasa tertutup dan bila kita mengimbas akan terbuka atau sekiranya mesin tidak dapat membaca kad ia tidak akan terbuka jadi adalah lebih selamat.


Bagi saya KTMB perlu lebih memandang berat perkara sebegini, patutlah saya tengok dari Stesen KTM Kajang jarang pengguna komuter menggunakan kad Touch & Go. Hari Isnin beratur panjang dikaunter tiket mungkin mereka menggunaan pas seminggu atau tiket pergi balik. Pejabat Touch & Go hanya buka pada pukul 8.30am sedangkan saya mengejar masa untuk pergi semula ke sana saya perlu mengutamakan kerja saya yang lebih penting. Jadinya saya anggap itu bukan rezeki saya. Insyaallah akan ada rezeki lain.


Hati-hati menggunakan kad Touch & Go di mana-mana juga Stesen KTMB. Jangan sampai kita menjadi mangsa tidak efisyennya sesuatu perkidmatan. Kesilapan berlaku di mana-mana cuma untuk membetulkan semula memang mengambil masa.


6 Rider Beraksi:

Sarapan Sihat Hari Jumaat

11:53 PG JunAina 15 Comments



Sarapan sihat pagi ini sandwich telur, bawa bekal ke pejabat sejak berjauhan dengan cinta hati buat sementara waktu. Goreng telur dalam pan tampalkan roti, terbalikkan sekejap angkat potong dua, letak sedikit sos dan mayonis hiaskan dengan daun salad. Cukup untuk alas perut sehingga tengahari.



Jumaat merupakan 'fruit day' di pejabat, syarikat akan menyediakan dua biji buah untuk setiap pekerja dan jenis-jenis buah ini akan ditukar setiap minggu. Buah yang berlainan untuk setiap hari dan hari ini giliran epal hijau dan buah kiwi tetapi saya tak suka epal hijau jadi saya ambik buah kiwi sahaja.



15 Rider Beraksi:

Anak Bapak

10:22 PG JunAina 12 Comments




Ramai yang berpendapat wajah Hikram saling tak tumpah seperti wajah abahnya.


12 Rider Beraksi:

Kompleks Haji Kelana Jaya Andai Ini Dakapan Terakhir

4:21 PTG JunAina 17 Comments

Air mata masih berbaki. Ketika mencium tangannya sebelum dia lolos dari pandangan mata air mata puas diseka kala tubuh kami bertaup kemas dihati hanya terdetik Allah apakah ini kiranya dakapan terakhir aku untuknya. Jarak yang memisah takdir Allah s.w.t tiada siapa yang mengetahui. Saya menangis umpama anak kecil kehilangan ibu dalam dakapan erat dia. Hanya Allah yang mengetahui isi hati ketika itu. Lengkap berihram dengan sayu saya melepaskan dia pergi dengan doa agar kasih sayang kami moga masih panjang.


Bila dia hilang dari pandangan mata air mata masih tidak henti mengalir bahu anak pula menjadi tempat melepas kesedihan. Anak-anak merenung pilu. Air mata yang ditahan sejak petang akhirnya tumpah jua, dari petang juga Hikram asyik bertanya kenapa mata mama merah.


Senyum dalam tangisan, saya gembira dia dapat menunaikan haji tahun ini tetapi sebagai isteri yang tidak lagi berupaya menjaganya ketika di sana saya tetap rasa sangat bersedih.

 

Gelang pengenalan jemaah haji Malaysia tertera nama dan nombor kad pengenalan di bahagian belakang gelang. Dia berbisik abah pakai emas putih dan saya sempat mengusik kalau dulu anak lelaki bergelang begitu mesti abah marah.



Abah dengan anak bungsu, Hikram sudah terpaksa pakai cermin mata bermakna tidak lagi dapat mewarisi legasi tugas abah sebagai Pegawai Polis.



Haiii...saya Pak Usu. Pewaris katanya satu-satunya cucu lelaki dari 4 orang cucu yang ada. Dia dapat pangkat datuk tetapi saya hanya dapat pangkat opah.



 Suasana persekitaran di Kompleks Haji Kelana Jaya yang menjadi tempat berkumpulnya jemaah sebelum berlepas ke KLIA. Urusan daftar masuk dilakukan di sini, hanya melalui pemeriksaan Imigresen di KLIA.



Di rumah boleh minta isteri buatkan kopi di sini hanya tekan di mesin sahajalah.



Kandid abah dan kakak.



Nampak sangat anak-anak semakin membesar semua lebih tinggi dari abah sikit hari lagi Hikram pula mengejar. Sekejap sahaja masa berlalu.


Selepas melambai abah di kompleks kami tunggu pula bas keluar dari kawasan komplek, kebetulan dia menaiki bas nombor dua. 13 biji bas keseluruhannya diiring oleh anggota polis trafik dan sebuah ambulan menuju ke KLIA.


Mengharungi 42 hari tanpa cinta hati hidup seumpama kosong, bukan tidak pernah ditinggal-tinggalkan tetapi entah mengapa kali ini terasa sangat kelainannya. Segenap hati seperti ada ruang-ruang lompong tidak terisi. Kehilangan bila teman bersarapan, makan tengahari dan makan malam tiada di sisi. Menuju ke hari berakhirnya detik itu hanya doa mampu diiring buatnya.

 

17 Rider Beraksi:

Mekah Haji 1435 Hijrah Rindu Pasti Bertamu

9:30 PG JunAina 11 Comments

Seribu kesyukuran kupanjatkan pada Ilahi keran tahun ini Pak Tuan mendapat rezeki berganda setelah tiga tahun membuat rayuan. April 2014 Pak Tuan ke Mekah mengerjakan umrah setelah dua tahun rayuan untuk menunaikan haji di tolak. Dua minggu sebelum penerbangan Pak Tuan mendapat tawaran menunaikan haji dari pihak Tabung Haji. Allah s.w.t mendengar rintihan dia semasa mengerjakan umrah. Walaupun tawaran agak suntuk tetapi persiapan di permudahkan oleh Allah, segalanya berjalan dengan lancar.


Hari ini 22hb September 2014 suami saya Syed Hussin bin Syed Jamalil akan berangkat mengerjakan haji. Kegembiraan memenuhi segenap hatinya dan setiap hari hanya kisah-kisah Mekah dan haji bermain di bibirnya. Saya gembira tetapi hati sedikit terusik, sedih berpisah 42 hari, selama berkahwin tidak pernah berpisah selama ini namun saya redha. Panggilan untuk menjadi tetamu Allah telah sampai buat Pak Tuan. Doa saya agar dia akan sentiasa sihat, dipermudahkan urusan di Tanah Suci dan mendapat haji yang mabrur.


Tiga tahun Pak Tuan mengemukakan rayuan ke Tabung Haji dengan alasan kakinya yang semakin tidak kuat. Arthritis agak mengekang pergerakkan dia. Sekali sekala bila datang sakitnya solat pun hanya berkerusi . Tiga tahun termasuk tahun ini dia gagal menempatkan diri untuk menunaikan haji bersama agensi yang menguruskan haji. Dua minggu sebelum tarikh penerbangan Tabung Haji telefon untuk ambil surat tawaran mengerjakan haji secara muassasah. Alhamdulillah. Itu janji Allah. Sudah sampai masanya Pak Tuan menjadi tetamu di rumah Allah walaupun sebelum ini dia sanggup mengeluarkan belanja yang agak besar menggunakan agensi tetapi masih tidak dapat menempatkan diri. Perancangan Allah s.w.t adalah terbaik buat hambanya.


Doa yang terbaik buat Pak Tuan dan semua jemaah haji agar dipermudahkan urusan, diberi kesihatan yang baik serta mendapat haji yang mabrur. Paling pasti #rinduawak200%.




11 Rider Beraksi:

Putrajaya Wetland Duffy Boat

11:17 PG JunAina 8 Comments

Cuti sekolah cuti umum Hari Malaysia, anak-anak sudah bosan duduk di rumah. Tiada perancangan untuk berjalan ke mana-mana cuti ini kerana bulan ini jalan-jalan ziarah rumah saudara Pak Tuan, bajet sudah lari. Petangnya nak lepaskan hawa keluarlah juga, tak jauh Putrajaya sahaja.



Cuti umum sebagaimana biasa ramailah manusia memenuhi segenap ruang tama-taman yang ada di Putrajaya. Singgah di Taman Botani tram tidak berfungsi, kecewa sangat sepatutnya pada hari cuti umumlah orang ramai. Basikal pulak dah fully booked dan akhirnya kami keluar kecewa. Hikram sudah mula buat perangai.


Ketika di kaunter pertanyaan saya bertanya kepada pekerja di situ tempat yang boleh buat aktiviti keluarga dan dia mencadangkan Paya Indah Wetland. Semasa sedang memusing setereng kereta saya terpandang papantanda Wetland dan terus masuk. Rupanya Paya Indah Wetland terus kehadapan lagi tetapi kami teruskan aktiviti di Wetland sahaja.


Budak kecewa bila tak dapat naik tram dan tak dapat kayuh basikal dalam taman. Dia mula buat perangai, merajuk serba tak kena.



Jalan-jalan nak ke check point tram di kawasan pokok buluh ini terpandang sekawan lebah membuat sarang. Gerun pulak tengok. Ini hero k-pop saya!


Kami singgah di Wetland yang menyediakan permainan air, ramai juga yang berkelah bersama keluarga dan ada juga yang memasang kemah. Di sini boleh memancing dengan kadar bayaran Rm20 satu joran. Kami memilih untuk menaiki Duffy Boat dengan bayaran Rm10/seorang dewasa dan Rm5/seorang kanak-kanak. Terdapat juga kenu, kayak dan pedal boat untuk 3-5 orang dan bayaran mengikut muatan.



Selfie. Mood malas nak bawak keluaq monopod. Teruja memakai 'life jacket' kali terakhir kami buat aktiviti naik bot ni masa ke Sabah tahun 2011.





Happy naik bot pusing tasik. Alya dari start naik bot muka dah lain macam cuak je takut tapi dia sangat happy dapat ikut mama jalan-jalan.






Yeyyy...misi berjaya. Pusing-pusing tasik setengah jam. Kata penjaga yang menguruskan 'life jacket' nak berjoget pun boleh atas bot tu sebab sangat stabil. Tengok yang bawa bot tu lagi kecik dari anak-anak. Peramah siap bagi cadangan mana-mana tempat yang patut di lawati kat Putrajaya.



Hijau! Suka sangat gambar ini.

Pelan hujung minggu yang akan datang nak masak-masak lepak di Paya Indah Wetland pulak. Nak naik tram, nak ke menara tinjau dan nak intai-intai flaminggo. Sebelum itu nak singgah di Dataran Masjid Putrajaya nak naik 'cruise' menikmati keindahan Tasik Putrajaya. Kata pemandu bot kami pagi-pagi pukul 8-9.30am ada jual tiket murah untuk 'cruise' di depan masjid hanya Rm15 berbanding Rm25 harga biasa.


8 Rider Beraksi:

Sudu Jeruk Sedap

10:59 PG JunAina 16 Comments


Ada kawan sepejabat bercuti sambil menghadiri majlis teman sepejabat hujung minggu lalu di Penang. Kalau ke sana balik tanpa jeruk memang menjeruk rasalah. Dah jadi trade mark penang jeruk tu. Merasalah kami semua jeruk madu Pak Ali yang terkenal tu. Sedap memang sedap.




Makan jeruk sedap tapi hati-hati ya kesan pada perut kita pun sedap jugak. Bayangkan sudu kat atas tu dibiarkan semalaman di dalam balang jeruk yang bertutup rapat. Karatnya bukan setakat pada bahagian yang terendam sebaliknya dikeseluruhan sudu. Bayangkan perut kita yang lembut menerima makanan sebegini dalam jangka masa yang panjang, bayangkan juga perut anak-anak kecil yang masih baru bertindak balas dengan jeruk ini.


Makan jangan ikut sedap mulut dan tekak, perlu lihat serta fikir apa yang kita makan. Sakit bermula dari perut. Bertindak balas dari segala apa yg kita makan. Ambik pengajaran dari kisah sebatang sudu yang hanya terkena wap jeruk.


Semalam saya jamah juga sekeping dua tetapi bila memikirkan gastrik yang ditanggung sejak bertahun lalu cepat-cepat saya balik duduk di meja kerja.



16 Rider Beraksi:

Mangkuk Corelle Pahala Saya Yang Tiba-Tiba Jadi Pahala Orang

10:44 PG JunAina 24 Comments


Saya ada memesan barang-barang Corelle dari seorang kenalan yang sedang belajar di US. Harganya sangat berpatutan, jika hendak dibandingkan lebih murah dari harga yang di jual di Pulau Langkawi. Hanya perlu membayar deposit dan selebihnya dibayar semasa mengambil barang kelak. Walaupun menunggu agak lama tetapi ainya sangat berbaloi.


Namanya perempuan selagi termampu nak beli saya pun memesan 2-3 barang juga, dalam tu saya selitkan juga satu pesanan yang saya hendak hadiahkan pada emak. Apa salahnya hadiahkan satu pada emak, gembirakan hati dia. Kemudainnya saya dapat pesanan dari US mengatakan mangkuk yang saya pesan untuk emak diberi percuma. Alhamdulillah. Rezeki emak. Saya baru berniat nak buat pahala tiba-tiba pahala jadi pahala orang lain pulak. Terima kasih Azrina.


Biasanya pinggan yang saya beli akan digunakan bukan disimpan. Kali terakhir saya beli set pinggan adalah hampir lebih 8 tahun lepas. Dari set pinggan makan untuk enam orang sudah tinggal empat sahaja dek kerana pecah. Kali ini saya pesan yang baru sebab dapat harga yang sangat berpatutan.




Corelle Coordinates Happy Days dengan warna-warna meriah hadiah buat emak tetapi menjadi pemberian percuma dari tuan punya bisness pulak.


Kita meranacang tetapi Allah tetap memberi yang terbaik, niat sudah ada tetapi tiba-tiba rezeki itu datang dari orang lain pulak dan kita menjadi pengantara. Syukur padamu Allah kerana mengurniakan insan-insan yang baik di sekelilingku. Alhamdulillah.


24 Rider Beraksi:

Siti Robeah Syed Jamalin 28.03.41 - 8.9.14 Dalam Kenangan

2:42 PTG JunAina 8 Comments


Pagi saya publish cerita kami sekeluarga menziarah kakak Pak Tuan yang sedang sakit di Hospital Changkat melintang dan kemudian dipindahkan ke Hospital Baling kerana lebih dekat dengan anak yang akan menjaganya. Tanggungjawab seorang anak, istei serta ibu tetap perlu digalas dalam waktu yang sama. Itulah jalan terbaik.


Pukul 3.00 pm saya dapat panggilan dari kakak nombor 3 Pak Tuan mengatakan Chor sedang tenat sedang semalamnya diberitakan yang dia semakin sihat. Bantuan pernafasan sudah mula diberi secara berkala bukan lagi 24 jam. Dia juga sudah mula makan bubur nasi dengan agak banyak serta sudah mampu bercakap. Rupanya dia hanya menyedapkan hati insan-insan di sekelilingnya. Tepat 3.45pm telah sampai hukumnya Siti Robeah Syed Jamalid telah pergi menemui penciptanya. Kesedihan memenuhi ruang di hati, ibu mertua telah kembali ke rahmatullah 5 bulan yang lalu sedih masih terasa kini kakak ipar pulak pergi. Kesedihan berganda.


Bertolak dari rumah dengan anak-anak pada pukul 8.30 malam, tiba di Kampung Ekor, Bota Kiri pada pukul 12 malam. Tak mampu rasanya kaki melangkah. Hening. Suram bukan seperti selalu. Jenazah terbaring kaku. Semuanya telah disempurnakan di rumah menantunya di Kroh, dimandiakn, dikafankan dan disolatkan di sana dan dibawa balik ke Bota Kiri atas permintaan Pak Tuan. Hanya bahagian muka dibuka keesokan harinya untuk memberi peluang kepada anak-anak serta saudara dan jiran-jiran memberi penghormatan terakhir. Sekali lagi di solatkan di masjid berdekatan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di belakang masjid.


Usai majlis pengkebumian awan hitam mula berarak, cuaca yang tadi cerah tiba-tiba menjadi gelap. Sebaik sampai kembali ke rumah Chor hujan membasahi bumi, lebat kemudian renyai-renyai dan berhenti. Cuaca yang tadi hanagt tiba-tiba menjadi sejuk. Semoga Allah s.w.t memudahkan urusan dia di alam barzakh.


Cerita duka dua kehilangan ahli keluarga suami tahun ini sedangkan tahun lepas kami juga di uji dengan berita sedih di pihak keluarga saya. Kehilangan ibu saudara, seminggu kemudian saya keguguran dan selang tiga bulan nenek pula mengikut emak saudara menemui sang pencipta. Al-Fatihah buat semua keluarga yang telah dahulu mengadap Ilahi. Hanya doa dan ayat-ayat suci Al-Quran yang mampu dikirim buat mereka. Moga Allah s.w.t mempermudahkan urusan mereka dan urusan kita kelak.




8 Rider Beraksi:

Jangkitan Kuman Di Paru-Paru

11:51 PG JunAina 13 Comments


Hari ini genap 12 hari kakak Pak Tuan yang sulung di masukkan ke hospital akibat dari jangkitan kuman di paru-paru. Masih bergantung dengan oksigen sepemuhnya. Di usia 73 tahun tak banyak yang boleh diharapkan dan hanya doa dititipkan agar kesihatan dia pulih segera. Semuanya bergantung kepada dayatahan tubuh dia untuk menerima antibiotik yang diberi dan melawan sakitnya. Punca mungkin dari batuk yang berpanjangan. Tinggal sendirian hanya kadang-kadang anak cucu menjengah tiada siapa memastikan dia makan ubat.


6hb April 2014 mereka kehilangan ibu jadi bila doktor memberitahu bila-bila masa sahaja jantungnya boleh berhenti semua jadi terkaku. Dia kakak sulung menjadi pengganti ibu kini lemah tidak berdaya. Khamis dimasukkan ke hospital Changkat Melintang, Bota Kanan dan semua adik beradik dan anak-anak dimaklumkan keadaannya. Sabutu kami bergegas balik ke sana, ziarah. Semua anak-anak Chor ada di sisi.





Sampai di katal Pak Tuan memeluk dan cium Chor berkali-kali sambil membisikkan kami datang ziarah dia, buka mata kemudian dia lelap lagi. Sedih. Selalunya bila balik ke Bota Kiri menjadi rutin singgah ke rumah dia menghantar barang dapur, hari ini arah kami sedikit berbeza ke hospital. Dia hanya kakak ipar tetapi umur dia melebihi umur emak saya sendiri jadinya kasih dan ehsan saya umpama kasih yang tumpah pada seorang ibu.



Anak-menantu Chor yang memenuhi ruang hospital, juga kami sekeluarga yang datang menziarah. Saya duduk di sisi Chor membisikkan zikrullah memberi kata-kata semangat kepadanya. Sesekali mengusap belakangnya bila dia batuk, membetulakan wayar-wayar ditangannya setiap kali berpusing.



Anak Chor yang menjaganya di hospital bersama kakak nombor empat Pak Tuan, dulu dia bertugas sebagai nurse di hospital yang sama sekarang sudah bersara.

 

Ini kakak Pak Tuan yang nombor tiga tinggal di rumah pusaka arwah emak juga sedang meniti usia senja. Moga Allah s.w.t memberi kesihatan yang baik buat mereka.


Semalam Chor dipindahkan ke Hospital Baling kerana tiada waris yang akan menjaganya di Hospital Changkat Melintang. Anak-anak mempunyai tuntutan tugasan masing-masing jadinya anak perempuan sulung yang tinggal di Kroh ambil tanggungjawab untuk jaga emak. Syukur alhamdulillah Chor dapat menantu yang baik dan bertanggungjawab. Saya berharap anak-anak yang lain tidak akan lepas tangan dan tidak lupa tanggungjawab mereka sebagai anak.

13 Rider Beraksi:

Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta Mendidik Diri Cinta Negara Dataran Merdeka

8:32 PG JunAina 4 Comments

Tema sambutan hari kemerdekaan tahun 2014 Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Saya gigih bawak anak polis pencen ke Dataran Merdeka bagi sama-sama meraikan ulangtahun kemerdekaan negara. Semangat dan perasaan adalah sangat membara bila berada bersama lautan manusia di sana. Paling penting anak-anak sangat puas hati walalupun kami sampai sedikit lewat.



Pemandangan dari arah bangunan Daya Bumi menghala ke Bangunan Sultan Abdul Samad, penuh warna-warni jalur gemilang.



Anak polis pencen yang sangat teruja walapun penat sebab Sabtu pagi balik ke Perak dan malam balik semula ke Kajang.



Kami bertiga termasuk Syed Mohamad Hikram anak polis pencen. Tingkatan 1 sama tinggi dengan mak!



Sempat juga bergambar dengan Pakcik Kamal Affendi.



Juga bergambar dengan bekas rakan setugas dan kenalan abah.



Tengok gambar ini terasa rindu untuk melihat Pak Tuan dalam pakaian seragam yang sama, rindu tersangat rindu... Jiwanya semangatnya tak pernah luntur.



Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah melambai-lambai dari kereta Suprima selepas tamatnya sambutan hHari Ulangtahun Kemerdekaan 2014. Semangat juga melambai-lambai kami 3 beranak.



Di mana-mana kibaran Jalur Gemilang memeriahkan suasana. Saya bangga menjadi sebahagian dari mereka yang berpusu-pusu menyahut meriahnya sambutan kemerdekaan.


Tahun depan saya berjanji dengan anak polis pencen untuk datang lagi, datang lagi awal sebab kali ini kami agak terlewat tetapi dia sangat berpuas hati dapat tengok perarakan ATM dan Sukhoi yang merentas Dataran Merdeka. Bergegar jantung! Ini cara saya mendidik anak untuk menghayati erti kemerdekaan, jangan di pertikai kerana setiap dari kita ada cara tersendiri untuk mendidik anak-anak untuk mencintai negara.



4 Rider Beraksi:

Kamal Affendi Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

11:03 PG JunAina 11 Comments



Pertemuan kali kedua dengan Penganalisis Jenayah terkenal Kamal Affendi, sempat mengambil gambar dalam kesibukan lautan manusia bersama semangat patriotik. Walaupun kesihatan tidak begitu mengizinkan tetapi semangat kenegaraan yang ada di dalam dirinya tetap membawa dia bersama ke Dataran Merdeka sempena Sambutan Hari Kemerdekaan 2014. Gambar dulu ada di sini.



11 Rider Beraksi: