Harga Minyak Jatuh Nilai Ringgit Merudum Mampu Ke Nak Senyum

9:48 PG JunAina 13 Comments


Harga minyak jatuh lagi sehingga hari ini sudah melepasi kurang dari USD40/barrel. Rasa susah sangat hati ini sebab sektor pekerjaan saya amat bergantung kepada harga pasaran minyak dunia. Sudah beberapa syarikat yang sama aliran yang mengurangkan kakitangan selain syarikat yang saya pernah kerja dahulu berturut-turut pula syarikat lain mengurangkan pekerja. Projek yang site di dalam Malaysia pun sudah mula kecilkan skop kerja dan projek lain pun nampak sangat perlahan perkembangannya walaupun projek tersebut usahasama dengan Arab Saudi.


Bagi bidang kerjaya saya pula setiap 10 tahun memang kami akan melalui situasi yang hampir sama di dalam industry minyak dan gas. Setiap 10 tahun akan berlaku pengucupan dalam industry ini yang memaksa syarikat-syarikat mengurangkan pekerja. Suka atau pun tidak telanlah semuanya dengan hati yang terbuka. Berpeganglah dengan kata-kata `rezeki itu milik Allah s.w.t’. Masih menaruh harapan yang tinggi untuk kenaikan gaji dan bonus untuk FY2015 pada awal bulan Januari tahun hadapan. Jumlah kakitangan pun telah melebihi 300 orang berbanding tak sampai 150 orang semasa saya sertai syarikat ini tahun Jun tahun lalu.


Tukaran matawang Malaysia juga semakin merudum tanpa tanda-tanda untuk pulih. Ini bukan bidang saya jadi eloklah saya hanya menyuarakan kegusaran dihati tanpa membincangkan dengan lebih halus. Jika dilihat trend tukaran matawang asing dunia kebanyakan memang agak menurun jadi buat masa sekarang bersabar dengan ujian ini. Hati semakin bimbang bila tidak nampak usaha proaktif kerajaan dalam menangani isu RM yang kian jatuh.


Marilah kita sama-sama berdoa untuk Malaysia, untuk kita semua. Makian, cacian, umpatan, fitnah, tunding menunding tidak akan membantu ekonomi Malaysia bahkan semakin melemahkan. Baik pemimpin mahu pun rakyat belajarlah menjadi manusia yang berakal. Sama-sama kita berusaha membaiki diri agar menjadi insan yang doanya diterima Allah s.w.t.



Walau apa pun situasi kat luar sana kami masih tetap beraya sakan-sakan.





13 Rider Beraksi:

Jadilah Anak Pemanis Hidup Ibu Bapa

3:22 PTG JunAina 4 Comments


Satu ketika dahulu kita di besarkan dengan penuh kasih sayang serta perhatian yang tak berbelah bahagi dari kedua orang tua. Setiap permintaan selagi terdaya akan dipenuhi walaupun ada ketikanya mereka terpaksa mengikat perut demi permintaan anak-anak. Membanting tulang empat kerat atas nama sebuah kehidupan untuk melihat anak-anak berjaya. Bukan untuk mereka tetapi untuk mebina masa depan anak-anak supaya tidak hidup susah separti mereka. Sehinggalah suatu ketika rutin itu akan berputar bila kedua ibu-bapa semakin lanjut usia dan anak-anak mula membina hidup sendiri. Hati mereka semakin sepi sesepi rumah mereka yang sudah hilang hiruk-pikuk suara anak-anak.


Lalu rumah yang dulu menjadi tempat melenjan rasa, membuah suka-duka kini menjadi persinggahan setahun sekali, bila anak-anak punyai keluarga sendiri serta kejayaan dan pangkat merebut masa bersama mereka. Sebagai anak kita dilambung bahagia berada dipuncak nikmat hidup dan mereka orang tua yang pernah membesarkan kita merenung kosong masa hadapan. Bertapa mereka tidak berguna diusia lanjut bila anak-anak mula menjauhkan rumah yang menjadi syurga mereka suatu ketika dahulu. Emak mula menangis mengenang anak yang satu ketika dahulu akan menjerit-jerit memanggil ibu bila sahaja kelibat ibu hilang di mata, si ayah mula merenug pilu halaman rumah membayangkan betapa girang anak menunggu dan berlari dihalaman menyambutnya pulang dari pekan. Air mata mereka tidak mampu membasuh luka.


Tanggungjawab mereka berakhir sudah namun sisa-sisa kehidupan masih perlu diteruskan. Jadilah anak sebagai pemanis hidup ibu bapa. Bertanggungjawab sehingga helaan nafas mereka yang terakhir. Tanpa doa mereka kejayaan tidak akan bersama kita. Tanpa kerahan kudrat keduanya kita tidak akan mengukir kejayaan. Bukan jasa mereka minta dibalas sebab jasa mereka memang tak terbalas sekurang-kurangnya berehsan kepada mereka penuh kasih-sayang.


Pesanan buat seorang anak.

`Tika rambut mereka semakin memutih, urat-urat tangan kian menonjol, tubuh mereka semakin membongkok, telinga mereka semakin tidak jelas serta mata mereka semakin kabur itulah tanda kudrat mereka semakin tiada. Sudah sampai masanya hidup mereka dibantu sebagai mana kehidupan kita sewaktu kecil yang perlu dibantu makan pakainya. Sudah ketikanya tangan kita menyuap mereka denganpenuh kasih sayang sebagaimana mereka menyuap kita ketika kecil’


Bekerja punya tanggungjawab pada keluarga sendiri namum kedua orang tua janga dilupa. Kecil gaji bukan alasan beri semampu kita, andai yang mampu Rm50 sebulan berilah setakat itu kalau mampu Rm1000 sebulan syukur nikmat yang Allah beri kerana dengan didikan mereka juga kita mampu memberi banyak kepada mereka. Bukan sedikit atau banyak menjadi bualan namun ingatan yang berterusan itu yang paling penting. Istiqomah setiap bulan. Moga doa ibubapa akan dapat lebih membantu kita. Rezeki itu bukan hanya duit ringgit harta kekayaan tetapi nikmat sihat tubuh badan juga adalah rezeki yang paling berharga.


Bagi yang masih punya ibubapa auditlah diri adakah kita telah membuat yang terbaik kepada keduanya. Sebagai isteri bersyukurlah sekiranya suami mengutamakan kebajikan ibubapa selain tanggungjawab kepada anak dan isteri kerana dia sedang memberi contoh kepada zuriat sendiri. Suami pula bertolak ansurlah dengan isteri bila berkaitan soal tanggungjawab isteri kepada kedua ibubapanya pula. Bukan bermakna bila ijab dan qabul berlangsung terputus tanggungjawab kepada orang tuanya, sebagaimana suami ingin berbakti kepada ibubapa sendiri begitulah juga isteri ingin berbakti kepada orang tuanya juga. Janganlah suami mementingkan diri sendiri berehsanlah kepada kedua ibu bapa dan ibu bapa mertua.


Hidup bagaikan roda suatu ketika kita pernah menjadi anak, memandang kehidupan ibubapa tika melayan orang tua mereka. Suatu hari kita pula mengambil alih keadaan ibubapa bila telah berkeluarga sendiri, kita pula menjadi ibubapa. Pandang kisah ibubapa kita dahulu jadikan iktibar ambil yang baik buang yang tercela moga kita dapat menjadi anak-anak soleh/solehah yang disayangi ibubapa dan diredai Allah s.w.t.



4 Rider Beraksi:

Kuih Kapal Terbang Berkacang

2:25 PTG JunAina 7 Comments

 
 
Kenangan akan sentiasa berlegar-legar di jiwa ada ketika bila kita melalui sesuatu perkara kita dapat merasai seolah-olah kita pernah melalui detik yang sama tanpa dapat dikesan bilakah ianya berlaku atau ianya cuma sebuah mimpi. Ada ketika bila makan sesuatu sepantas kilat jiwa bergetar merindui rasa yang sama mungkin suatu ketika dahulu kita pernah merasainya. 

Rezeki dari seorang kawan bawa Kuih Kapal Terbang bukan kebiasaan bersalut gula tetapi bersalut kacang tanah. Masyaallah sedap! Tiba-tiba jiwa tersentak. Rasa ini yang pernah saya rindui dan akan sentiasa saya rindui. Sejak kebelakangan ini perasaan itu semakin kuat membenam di jiwa. Alhamdulillah. Rezeki akhirnya datang juga walaupun kuihnya berlainan tetapi rasanya tetap sama.

Semasa sekolah rendah seorang kawan bernama Rosnita akan berjualan Kuih Batang Buruk Kacang Tanah hasil air tangan ibunya. Sebungkus 20 sen! Tahun 80an. Rasanya itu sahaja harga yang mampu dibayar oleh anak-anak sekolah lagipun pada ketika itu tepung gandum berharga sekitar 60 sen sekilogram gula sekitar Rm1.20 sekilogram. Lagipun orang kampung berniaga banyak bersedekah.

Hari ini saya dapat menikmati rasa yang sama dengan Kuih Batang Buruk Kacang Tanah walaupun apa yang saya makan adalah Kuih Kapal Terbang bersalut kacang tanah. Mungkin dibuat menggunakan bahan yang sama jadi rasa hampir sama yang berbeza cara pembuatannya dan bentuknya sahaja.

Alhamdulillah. Nikmat Allah yang mana mampu kita dustakan. Berlegar di minda akhirnya rasa itu menjadi nyata.



 

7 Rider Beraksi:

Emas Murah - Barang Yang Lepas Jangan diKenang

4:09 PTG JunAina 7 Comments


Rezeki datang dan pergi tanpa kita jangka kerana semua itu ketentuan Allah s.w.t kerana Dia sebaik-baik perancang. Berkeluh kesah adalah sifat manusia jadi bila berlaku sesuatu kehilangan jiwa akan resah, meratapi sebuah kehilangan walaupun kita tahu apa yang hilang akan Allah s.w.t gantikan dengan yang lebih baik. Resah akhirnya akan hilang bersama masa yang terlekat di hati redha dengan kehendak Ilahi.
 

Cincin yang bertahun disarung di jari kenangan hari lahir lama dulu hilang entah ke mana begitu juga cincin yang di tukar beli bila yang lama patah semakin terkilan baru tiga bulan sempat dipakai. Tersalah letak mungkin. Hati gusar. Hati gundah. Sedih. Menyesal. Namun akhirnya perasaan redha itu menyapa juga dengan memegang ‘Allah akan menggantikan yang lebih baik’. Hilang tanpa di kesan mungkin itu yang terbaik.
 

Allah tidak pernah mungkir janji, rezeki itu akan datang tepat pada alamatnya tidak akan tercepat tidak juga akan terlewat dan datang dengan yang lebih baik. Alhamdulillah. Sebulan menghadam kehilangan dua bentuk cincin pada akhir Ramadhan akhirnya Allah s.w.t gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Walaupun yang hilang masih dirindu namun hai tetap riang menerima rezeki baru

 
Cantik design gelang tangan emas ini berat 30 gram ++ kena dengan tangan orang yang memakainya.
 

 
Inilah rezeki pengganti cincin yang dah hilang entah ke mana, Alhamdulillah Allah s.w.t ganti dengan yang lebih baik. Paling penting yakin dengan qada dan qadar yang telah Allah tentuka selebihnya berserah kerana sesungguhnya jajni Allah itu benar.
 
 
Saya beli rantai tangan ini pada 8hb Ogos 2015 dengan harga emas semasa Rm138 sedangkan di kedai-kedai lain harga emas masih lagi tinggi sekitar Rm150-Rm160. Saya masih mendapat tambahan diskaun sebab kawan sepejabat dulu belajar satu tempat dengan tuan punya kedai. Kedai ini pula adalah kedai emas kepunyaan bumiputera jadi sama-samalah kita membangun ekonomi orang Islam.

 

Emas Baroqah
No. 5, Ground Floor Wisma Yakin
Jalan Masjid India
50100 Kuala Lumpur


7 Rider Beraksi:

Syawal Ke-Tiga Cincin Di Jari Manis

9:25 PG JunAina 10 Comments


Kemeriahan Aidilfitri keluarga besar kami semakin bertambah meriah tahun ini apabila pada 3 Syawal berlangsung majlis pertunangan adik tersayang. Persiapan yang agak kalang kabut apabila majlis yang di rancang pada raya puasa 6 di percepatkan ke 3 hari raya. Pihak kami langsung tidak membuat apa-apa persiapan untuk hantaran. Hari raya ke dua kebanyakan kedai di Perlis masih tutup namun Allah s.w.t permudahkan juga urusan bila ada sebuah kedai Melayu yang buka hari tersebut dan pemiliknya sangat baik dan tidak lokek dalam memberi perkhidmatan.




19hb Julai 2015 tersarunglah cincin di jari manis si dara mengikat janji insyaallah bakal disatukan mengikut kesesuaian masa serta perbincangan keluarga kelak. 5 hantaran berbalas 7 dari pihak perempuan dan kebiasaannya bagi majlis pertunangan di Perlis adatnya hanya manisan menghias dulang. Pada hari tersebut pihak kami membawa dulang cincin, gula dan garam menjadi pelengkap adat, kek, buah dan agar-agar kering dihias cantik dengan hijau sebagai warna tema dan kami sekeluarga turut mengenakan baju hijau.


Hari raya tentulah ahli keluarga masih ramai berkumpul di kampung, keluarga besar kami pula sangat bersepakat. Jadinya pada hari pertunangan tersebut 11 kereta mengiringi cincin yang bakal di hantar. Ibu pengantin perempuan pun nampaknya agak terkejut tetapi alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Mana mungkin kami mampu menolak emak saudara serta sepupu-sepupu yang ingin menyertai rombongan kami.


Raya kedua malam keluarga kami sibuk uruskan dulang hantaran, bapak saudara sibuk hias dulang kami yang perempuan tengok sahaja. Dia seorang mekanik tetapi berjiwa seni pandai menggubah pandai menghias, pandai melukis dan pandai juga mengukir.




















Setahun mungkin mengikat janji majlis akan dilangsungkan bermakna dalam tempoh tersebut kakak-kakak akan mula membuat sedikit sebanyak persiapan sebab anak lelaki bila kahwin semuanya mengharapkan kakak atau adik perempuan. Harapan agar majlis ini nanti akan lebih sempurna berbanding  majlis Angah dahulu.



Merdeka Promo serendah Rm5.90. Banyak barang yang boleh dipertimbangkan sempena bulan kemerdekaan ini. GEMFIVE  menawarkan yang terbaik buat kaki shopping. Mudah hanya dihujung jari dan buatlah pilihan barangan anda.







10 Rider Beraksi: