Malam tadi agak terlewat bertolak pulang dari Muar, selepas makan malam lebih kurang pukul 8 baru angkat beg. Bukan pertama kali memandu malam kerana sebelum ini telah biasa memandu balik Perlis dengan anak-anak sehingga malam tetapi kali ini perjalanan pertama kali menyusuri Lebuhraya Utara Selatan dari Muar ke Kajang. Hujan mengiringi perjalanan...dengan mata yang agak bermasalah dengan hujan dan cahaya perjalanan dari Muar ke Tol Tangkak agak perlahan. Hanya mampu memandu 60-70km/jam dan anak-anak pula telah mula melelapkan mata, Perjalanan pergi hanya mengambil masa 20 minit tetapi untuk balik hampir 40 minit melalui jalan yang sama.
Perjalanan menjadi semakin selesa bila memasuki lebuhraya dan ketika itu jalan agak sibuk. Hanya mampu memandu 90-100km/jam dalam hujan yang agak lebat. Memandu dalam keadaan sebegini memerlukan lebih tumpuan dan nasib baik anak-anak pula telah tidur jadi tiada gangguan-gangguan dari pergaduhan dan usik mengusik mereka 3 beradik.
Berhati-hatilah semasa memandu terutama bila memandu di dalam hujan, keadaan jalan yang agak licin memungkinkan tayar kereta menggelungsur. Lebih berhati-hatilah juga bila hendak memotong kenderaan yang lebih besar terutama lori yang kadang-kadang dengan tidak semena-mena akan termasuk ke lorong kita tanpa disedari pemandunya dengan kelajuan memotong kita banyak perkara boleh berlaku. Ada juga segelintir pemandu bas yang sesuka hati menukar lorong sedangkan signal baru diberi dan terus masuk kel orong sebelah membuatkan pemandu yang berada di lorong tengah terpaksa menekan break dan bayangkanlah dengan kelajuan kita di lebuhraya tidak mustahil kita akan menghentam kereta di hadapan dan bas pula dengan selamba meneruskan perjalanan.
Bagi pemandu lelaki mungkin bagi mereka ini perkara biasa tetapi bagi seorang ibu yang membawa anak-anak ia akan menjadi perkara yang agak menakutkan. Bukan tidak biasa memandu jauh tetapi kekadang hati menjadi cuak bila teringatkan berita-berita kemalangan yang selalu dapat kita lihat ditelevisyen.
Pada semua yang akan memulakan perjalan bercuti ke mana juga berhati-hatilah di jalan raya. Ambil langkah berjaga-jaga dan ingatlah orang sekeliling yang menyanyangi kita. Andai terjadi juga itulah takdirnya...
*Aina selamat sampai ke rumah setelah melalui 2 1/2 jam perjalanan dari Muar ke Kajang, lebih setengah jam dari perjalan pergi.





























