Syukur alhamdulillah penyewa baru
telah mula menduduki rumah sejak 15hb November setelah dua minggu penyewa yang
sebelumnya keluar rumah. Penyewa baru merupakan bakal pengantin yang akan
melangsungkan perkahwinan tak lama lagi, sekian lama mengintai rumah di kawasan
tersebut akhirnya mereka berkenan dengan rumah yang diiklankan dan terus
membuat keputusan untuk menyewa sebab lain kali mungkin dah tak ada yang
bersesuaian dengan hati serta bajet mereka.
Dua minggu yang sangat meletihkan
kerana membersih dan mengecat rumah. Mengganti tombol-tombol pintu yang rosak,
membaiki bilik air yang tersumbat dan menggantikan mentol-mentol lampu yang
tidak menyala. Upah orang memang lebih senang tetapi sebab Pak Tuan sedikit
cerewet jadi kami buat sendiri semuanya lagi pun boleh jimatkan kos. Anak-anak
pun sudah besar jadi sudah boleh membantu jadi bab cat mengecat mereka ambil
alih tanggungjawab. Mama dan abah selesaikan yang selebihnya.
Dua bilik air di tingkat atas
tersedia water heater.
Keadaan rumah tidak teruk sangat cuma
biasalah bila duduk bukan di rumah sendiri jadi tidak dijaga sangat. 2 tombol
pintu rosak, lampu tangga padam tidak berganti, simen didepan dan belakang
dibiarkan hitam berlumut, bilik air di bilik tidur utama tersumbat, tandas
cangkung di bilik air bawah tersumbat katanya berus tandas terjatuh di dalam
lubang tandas. lap habuk-habuk di tingkap dan semua grill. Sedikit penat menguruskan 3 bilik air yang perlu digosok lantai
dan dindingnya, memberus lantai yang berlumut di porch depan dan ruang belakang
dapur. Mengeluarkan barang-barang yang tersumbat dari lubang tandas rupanya
bukan berus tandas sahaja, ubat gigi, pisau cukur, botol syampu, botol carrie
junior dan paip getah dikeluarkan manalah tak tersumbat. Membersihkan kitchen
kabinet dan bawahnya yang penuh dengan tahi lipas. Masyaallah yang ini memang
saya marah sangat, tempat masak kot dibiarkan kotor macam tu.


Dua orang pembantu tetap mama Kakak
Hayani dan Alya setiap kali mama ada di sana pastinya ada kakak dan Alya.
Hujung minggu dan cuti Deepavali
memang menguruskan rumah tersebut sahaja sehingga demam. Nampak seperti mudah
tetapi memerlukan kudrat yang banyak juga. Namun bila semuanya selesai saya
rasa sangat berpuas hati. Terasa berat pula hati hendak menyerahkan kunci
kepada penyewa baru bila keadaan rumah sudah bersih dan cantik. Nampak gayanya
bila penyewa ini keluar nanti memang saya akan pindah masuk sahajalah, sayang
rumah dibiarkan penyewa duduk. Kalau dapat penyewa yang jaga rumah dengan baik tak
apa sekiranya sebaliknya memang makan hati.
Kali pertama dan terakhir adik ikut
mama uruskan rumah, tolong cat tembok pagar hadapan esoknya terus tak nak
datang lagi. Abah minta catkan dengan warna tanah seperti coklat yang agak
gelap tetapi warna cat seperti itu kehabisan stok jadi pilih sahajalah coklat
cair.
Perjanjian sewa beli pun sudah di
tandatangan dan dibawa ke LHDN bulan lepas cuma salinan belum diberi kepada
penyewa. Itulah risiko menyewakan rumah kepada orang, nasib baik rumah
dikembalikan dalam keadaan baik kalau sebaliknya terpaksa baiki rumah pula.
Harapnya penyewa baru dapat mejaga rumah sebaik mungkin, jaga seperti rumah
sendiri.
Rumah yang sudah siap di berishkan
dan dicat, semakin kemas rumah semakin sayang pula hendak di sewakan.
Bila tengok anak-anak yang sudah
besar di depan mata terasa cepatnya masa berlalu, rindu masa mereka kecil yang
sentiasa meriuhkan rumah. Rumah yang sentiasa bersepah dengan mainan di lantai,
tak pernah sekemas rumah orang lain. Sekejap kemas pusing ke dapur tengok
bersepah lagi. Belum hiruk pikuk anak-anak bermain, bergaduh berebut barang
mahupun berebut siaran tv kegemaran masing-masing. Kadang-kadang mama pun tumpang
pening mencari botol susu yang di mana minum kat situ letak, kadang-kadang
bergolek ke bawah sofa, meja makan bawah kabinet dapur mahupun bawah katil.
Stress sangat rasanya.



Bila berjalan pula terpaksa siapkan
beg susu dan pampers serta makanan untuk mereka selain dari baju sebagai
bekalan sekiranya tiba-tiba pampers yang digunakan bocor atau anak-anak muntah.
Masa anak-anak kecil banyak belanja di habiskan untuk susu, pampers dan untuk bayaran
penjaga. Waktu itu perbelanjaan itu menjadi keutamaan. Memilih pampers yang
bagus juga adalah perlu untuk mengurangkan perbelanjaan, kalau murah sangat
cepat pula bocornya kalau yang mahal pula tak mampu di beli jadi sebagai ibu
perlu bijak membuat keputusan dan semua itu memerluka ilmu juga. MOM TIPS: HowTo Choose The Right Diaper For Your Baby. Extra Dry, Super Comfy. Makanan
pula biasanya bubur nasi di masak sendiri, bekalan nestum sebagai tambahan juga
biskut buat kudapan anak-anak. Semua dibekalkan dan dihantar ke rumah penjaga.

Sekarang masing-masing sudah besar
sudah jadi anak dara dan anak bujang, meriah rumah semakin berkurang, masing-masing
sudah menjadi kawan mama. Tinggi ketiga-tiganya sudah melebihi mama. Sesekali
terdengar juga riuh-rendah di rumah bila si abang mengusik dan menyakat
adik-adik, kakak pula pantang di usik nyaring sahaja suara dia menjerit
manakala adik pula kalau disakat melentinglah cuma kadang-kadang bila mereka
bermain seperti anak kecil berlari di dalam rumah pening juga dibuatnya.


Masa mereka bersekolah masih ada di
rumah dapatlah menjadi kawan tetapi bila masing-masing mula melanjutkan
pelajaran ke kolej nanti semakin sunyilah rumah. Abang dan kakak cuma berselang
setahun kemudian tinggallah adik yang akan mengikut jejak abang dan kakak 3
tahun kemudian. Tika itu rumah akan menjadi terlalu sunyi, tiada lagi suara
mereka memeriahkan rumah. Tiba-tiba rasa sebak. Bayang-bayang hari tua semakin
mendekat rupanya. Fitrah kehidupan namun masih banyak lagi perkara lain yang
boleh di buat untuk mengisi masa sehingga tiba detik itu gunakalah sepenuhnya
masa yang ada bersama mereka.
1 Ramadhan yang disambut penuh kesyukuran kerana datangnya membawa membawa tiga perkara yang sangat dinantikan. Ramadhan itu datang bersama Rahmat, di tengahnya ada keampunan dan akhirnya pembebasan dari api neraka, itulah keistimewaan bulan ini. Apalah sangat menahan diri dari makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari berbanding apa yang dibawanya untuk kita.
1 Ramadhan juga kami terpaksa menyambutnya di Kajang Plaza Medical Center dengan serba kekurangan tetapi penuh kesyukuran. Malamnya ketika umat Islam sibuk memulakan terawikh kali pertama saya gigih mengatur hospital sehingga dinihari. Setelah 3 hari demam Iqbal Hadi mengadu sakit-sakit badan dengan tanda-tanda dehidrasi saya buat keputusan untuk membawanya ke Klinik Az-Zahrah di Bangi dan keputusan darah positif denggi.
Az-Zahrah menolak pesakit denggi buat seketika, saya kemudiannya ke Hospital An-Nur bersebelahan malangnya katil untuk pesakit lelaki tiada yang kosong. KPJ Kajang menjadi pilihan seterusnya tetapi disebabkan pihak hospital meminta menjalani ujian darah semula tanpa jaminan kemasukan ke hospital kerana itu bergantung kepada doktor saya menolak kerana ingin mengelak kos makmal yang akan menjangakau lebih Rm300. Berdekatan situ ada Kajang Plaza Medical Center jadi saya memilih untuk ke sana pula. Alhamdulillah di situ Allah s.w.t permudahkan urusan kemasukan ke wad dengan hanya menggunakan keputusan darah dari Az-Zahrah, sejam menunggu kelulusan insurans dan semuanya selesai menjelang 1.30am dan kemudian saya balik ke rumah mengambil barang yang perlu juga membeli makanan untuk bersahur.
Berkongsi bilik dengan 3 katil dengan 2 lagi anak yang lain sememangnya agak tidak selesa, meninggalkan anak-anak dengan Umi hati pulak rasa tidak selesa menyambut Ramadhan tanpa mereka. Jadi kami redha dengan ketidak selesaan tersebut asal anak-anak dapat bersama. Esoknya Allah permudahkan bila awal pagi lagi nurse minta tukar ke bilik untuk seorang. Selesa tanpa gangguan dan anak-anak bebas membuat aktiviti masing-masing.
Menjelang petang balik ke rumah memasak juadah untuk berbuka dan bersahur, walaupun ringkas tetapi itulah kegembiraan sebagai seorang emak apabila dapat memasak untuk anak-anak dan kegirangan anak-anak apabila emak memasak makanan kegemaran mereka. Hikmah di sebalik sakit yang Allah s.w.t berikan kepada Iqbal Hadi saya dapat menghabiskan sepenuh masa saya selama 3 hari bersama anak-anak dan dapat berbuka puasa hari pertama dengan selesa bersama mereka.




3 hari 3 malam berada di hospital Iqbal Hadi dibenarkan pulang kerana menurut doktor denggi yang dihidapinya bukanlah jenis yang merbahaya. Platelet darah semakin naik, kepekatan darah juga stabil, sel darah putih juga berkurangan. Alhamdulillah.
Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya, janganlah berkeluh kesah walaupun kita rasa sangat susah. Sentiasa bersyukur dan percaya pasti ada hikmah disebaliknya. Berpeganglah setiap percaturan Allah s.w.t adalah yang terbaik buat kita hambanya. Walaupun saya terpaksa menolak ke tepi tanggungjawab di pejabat yang juga menuntut perhatian mungkin Allah s.w.t memberi sakit kepada anak supaya saya dapat memberi perhatian yang lebih sedikit kepada mereka berbanding perhatian saya kepada kerja yang agak berlebihan kebelakangan ini. Keluarga tetap datang dahulu dalam apa juga keadaan.
Kemudahan insuran sangat membantu di kala mengalami masalah kesihatan jadi kita memilih menimbang satu antara syarikat yang banyak tiba-tiba apa yang kita dapat tak seindah khabar yang di bawa. Silap kita sebab tidak membelek detail segala yang diterangkan, agen insuran lepas tangan dengan alasan itu adalah polisi yang telah kita ambil. Kita terpaksa tanggung bayaran klausa tertentu yang tidak termaktub di dalam polisi. Jadi apa guna kita mengambil perlindungan insuran? Lebih baik apabila berlaku kecemasan kita terus sahaja ke hospital kerajaan yang walaupun perkhidmatan yang diwar-warkan tidak sebaik mana namun berbaloilah dengan bayaran yang dikenakan.
Saya biasanya hanya menggunakan insuran yang disediakan pihak syarikat, ini kali pertama menggunakan kad di hospital melalui kaunter bahagian Kemalangan & Kecemasan sebelum ini saya bawa suami ke bahagian Kemalangan & Kecemasan dengan surat rujukan dari klinik biasa tetapi tidak timbul sebarang masalah dan segalanya ditanggung pihak insuran. Kali ini kecemasan berlaku di rumah bila anak saya kejang terus di bawa anak ke bahagian Kemalangan dan Kecemasan KPJ Kajang. Di takdirkan Pakar Neurologi bercuti panjang jadi terpaksa dirujuk ke
KPJ Ampang Puteri. Pembayaran rawatan kecemasan yang di kategori sebagai 'pesakit luar' adalah secara 'pay and claim' di mana saya bayar kemudian buat tuntutan dengan syarikat insuran.
Jumlah pembayaran yang perlu di buat Rm661.75 untuk rawatan pesakit luar yang diberi termasuk ujian darah, tambah air, ECG dan bayaran pegawai perubatan. Selepas tiga minggu menghantar tuntutan bayaran saya telefon pihak ketiga yang menguruskan hal tersebut iaitu MediExpress. Dari jumlah keseluruhan saya hanya di bayar Rm347.50 sebab ini kali pertama saya agak terkejut dan meminta perincian yang tidak di bayar.
Rm 6.35 - Farmasi
Rm 137.00 - Nursing
Rm 98.00 - Medical Equipment
Rm 35.00 - Medical Officer
Kebanyakan insuran memang mengenakan syarat yang hampir sama kerana seorang kawan pengsan di pejabat dan kemudian dirujuk ke Prince Court tetapi tidak dapat masuk wad kerana hospital penuh juga mengalami nasib yang sama lebih malang dia langsung tidak dapat membuat apa-apa tuntutan sama ada menggunakan insuran pejabat mahupun insuran peribadi. Ikut logik kalau ke hospital mestilah nurse yang buat kerja, perlu peralatan-peralatan seperti jarum dan sebagainya, doktor hanya pantau dan kita juga tidak pasti yang melayan kita itu doktor atau 'medical officer'. Bila berlaku kecemasan kita tidak memikir lagi sekeliling kecuali orang yang kita sayang selamat. Perlukah lagi surat rujukan dari klinik biasa untuk dibawa ke hospital?
Saya tidak kisah mengeluarkan duit demi kebaikan orang yang saya sayang tetapi bagi saya terlalu banyak janji manis yang diberi oleh agen-agen insuran yang akhirnya pengguna merasa seperti tertipu. Kami diberi taklimat oleh pihak insuran di akhiri dengan soal jawab dan bagi saya masih juga tidak jelas dengan kalusa-kalusa tertentu dalam polisi contohnya seperti di atas. Bila membuat tuntutan ada pulak pelbagai perkara yang kita tidak boleh tuntut dan kita tidak diberitahu. Saya lebih senang dengan insuran syarikat lama walapun perlu membayar deposit kemasukan ke hospital sebanyak Rm500 serta di kenakan 'co payment' sebanyak 10% tetapi semua itu kakitangan boleh tuntut kembali dengan syarikat melaui bayaran perubatan sebanyak Rm3000 setahun. Bila berjumpa dengan pakar tidak perlu surat rujukan hanya 'walk in' dan akan dibayar selagi bil dikeluarkan oleh klinik mahupun hospital. Barang yang lepas jangan di kenang.
Insuran baru ini berkuat-kuasa pada bulan Febuari 2015, saya masih menunggu bayaran tuntutan perubatan. Tidak banyak yang mampu kakitangan buat kecuali bersabar sehingga polisi ini tamat tahun hadapan. Bagi saya syarikat perlu lebih perihatin dengan kebajikan kakitangan kerana kemudahan insuran adalah untuk menyenangkan bukan menyusahkan. Ditakdirkan saya tida duit sebanyak itu untuk membayar apa akan jadi?
Hampir dua minggu berlalu 11hb Mac jam 6.45am tetapi setiap kali teringatkan detik-detik dia rebah, menggelupur, kejang, mulut berbuih dan terus terkulai diam hati bergetar dan berdebar-debar. Ketika itu terasa seolah-olah dia akan pergi meninggalkan saya. Cepat-cepat beristighfar membaca apa yang terlintas di kepala kemudian berdoa agar perkara tersebut tidak akan berulang lagi. Sebagai ibu hati menjadi terlalu rapuh bila berhadapan situasi anak-anak yang sedang menaggung derita.
Saya tidak bersedia untuk menghadapi situasi tersebut, semasa dia berumur 10 tahun sekali dia pernah mengalaminya tetapi dalam keadaan sedar. Kali ini agak berlainan bila dia kejang seluruh badan, rebah tidak sedarkan diri, Jiran yang kebetulan hendak pergi kerja sampai dulu, kemudian jiran sebelah rumah berlari membawa ais dan tuala yang dilap kebadan Iqbal Hadi. Adik dan suami datang memberi bantuan apa yang patut dan saya hanya kaku memandang dengan dada yang bergetar namun tiada setitik air mata yang jatuh pun di pagi tersebut.
Pada mulanya saya menghubungi ambulans kemudian saya membantalkannya dan membuat keputusan untuk membawa sendiri ke hospital setelah dia separuh sedar. Mendapat rawatan awal di KPJ Kajang Specialist dan kemudian di pindahkan ke KPJ Ampang Puteri kerana Neuro Specialist sedang bercuti panjang kerana patah kaki. Kemudian saya memandu pula ke Ampang walaupun hati sangat gusar mulut saya tidak henti berzikir dan berdoa agar tiada apa-apa yang serius.
Rawatan awal di KPJ Kajang Specialist. Separuh sedar tambah air, ambil darah dan ECG. Alhamdulillah semuanya normal tetapi perlu berehat di hospital untuk pengawasan 24 jam. Hati ibu tetap resah walaupun dia sudah mampu bercakap.
Sampai di KPJ Ampang puteri terus di rujuk ke bahagian Kemalangan dan Kecemasan daftar untuk masuk wad sekali dan dibawa ke bilik rawatan untuk berehat sementara menunggu katil kosong kemudian menjalani brain MRI. Masa ini saya sedikit lega bila dia mula bercakap, minta minum dan makan. Nasib baik sebelum itu saya sempat singgah membeli nasi lemak semasa balik mengambil barang di rumah. Kakak ponteng sekolah tolong jagakan abang sementara mama bawak kereta, dua-dua tak ambil peperiksaan. Sistem sekolah sekarang sekiranya tidak hadir semasa hari peperiksaan tiada ulangan peperiksaan boleh diambil kecuali murid tersebut mewakili sekolah dalam acara tertentu.

Doktor Lim Poh Hin Neuro Specialist sedang membuat ujian fizikal. Ujian keseimbangan berjalan, ujian mata, ujian tindakan reflect bagi kedua belah badan kiri dan kanan, ujian kekuatan tangan dan kaki untuk mencari andai ada kelainan bagi kedua belah badan tersebut. Alhamdulillah segalanya normal. Sebenarnya doktor pakar ini bertugas di Hospital Serdang.
Kami bermalam di hospital saya hanya merebahkan diri di atas sejadah disebelah katil dan Kakak Hayani pula tidur di atas sofa di lounge untuk bilik 4 katil tersebut. Adik Hikram tinggal bersama Umi dan Ayah. Hari ke dua kami berkampung di KPJ Ampang Puteri dia menjalani EEG iaitu mengambil brain reading activity. Alhamdulillah juga normal dan dibenarkan pulang bila tiada kes berulang dalam masa 2 hari tersebut. Punca mungkin stress sebab minggu peperiksaan, cuaca panas dengan aktiviti bola dan futsal kemungkinan kekurangan air, tak cukup tidur atau rehat. Jadi sebagai langkah berjaga-jaga aktiviti dia dikawal sepenuhnya buat masa sekarang.
Langkah awal yang saya ambil adalah dengan membaca lebih banyak maklumat berkenaan epilepsy atau sawan dalam bahasa. Langkah berjaga-jaga serta pencegahan juga langkah yang perlu di ambil apabila kes seperti itu berlaku lagi kelak. Saya juga harus belajar mengawal keadaan dan tidak panik. Pasti ada hikmah yang tersembunyi apabila saya dan dia diduga sebegini. Mungkin kebelakangan ini saya dan dia semakin menjauh jadi Allah dekatkan kami semua dengan memberi sakit kepada dia. Doa tak pernah putus moga dia dan saya tidak akan diuji sebegini lagi.
Hari raya pertama banyak masa dihabiskan di rumah menerima kunjungan tetamu jauh dan dekat, alhamdulillah tahun ini anak cucu serta cicit Almarhum Tok Ayah Senapi Man dan Almarhumah Saripah Salleh masih berkumpul seperti dulu. Keluarga besar kami. Silaturrahim ini moga terus berpanjangan. Syukur padamu Allah. Mak macam biasa bila anak bungsu beraya di Kelantan dia sedikit lemau raya pun mak macam tak ceria.
Beraya di rumah Pak Tih Hussin adik mak sebelah menyebelah sahaja, paling terkesan bila tengok Angah lengkap berbaju melayu dan bersampin. Berubah juga akhirnya abang aku ni bisik hati, selama ini hari raya dia sama sahaja seperti hari biasa sejak ada isteri kenalah ikut rentak orang berkeluarga.
Rumah mak memang bersila jelah jangan hairan sebab kebanyakan rumah kampung di Perlis masih mengekalkan duduk di lantai. Rumah mak saya memang tak ada sofa bagai, lapang dan senang nak mengemas. Edisi mak menakan, pak menakan dan sepupu sepapat beraya di rumah mak. Gambar di atas my Pak Long dan isteri ke tiga dia.
Inilah raya cara keluarga besar kami pergi raya ramai-ramai 7-8 biji kereta, masak nasi sama-sama, pusing rumah kait kelapa muda, panjat pokok buah yang ada, petik ulam keliling rumah, ligan ayam-itik tuan rumah, buli kucing tuan rumah kemudian makan sakan-sakan atas pelenggaq tepi bendang. Lauk kampung yang boleh membuatkan semua orang kecoq ayaq lioq! Tahun ini mata kucing dah kena serbu pada hari raya pertama kami tengok putik mata kucing sahaja. Hidangan nasi putih, masak lemak kubis, som tam, ayam goreng, ikan goreng, ulam dan sambal belacan pada hari raya kedua.
Lepas kenyang makan kami serbu kolam pulak. Main jala-jala dalam kolam sekali dapat ikan besar! Aktiviti wajib setiap tahun di rumah adik mak Pak Njang Ismail di Hutan Lembah, Mata Air, Perlis.
Balik dari mata air ramai-ramai singgah di rumah Makcik Yati adik mak jugak. Makan mee kari kali ini terus ke dapur tak yah nak di layan bagaikan tetamu sangat buat macam rumah sendiri.
Raya adalah masa untuk mengeratkan silaturrahim, saban tahun itulah gaya kami berhari raya. Sedikit berbeza dari keluarga orang lain mungkin tetapi itulah 'Cara Keluarga Besar Kami Berhari Raya'. Ada orang sukar menerima tetapi apa saya kisah!
Gambar raya yang sedikit formal bersama anak-anak. Walaupun tanpa suami dan anak-anak tanpa ayah kami tetap beraya seperti orang lain. Kehidupan tidak akan terhenti dengan meratapi apa yang tak mampu kita miliki. Nikmat hari raya tetap kami tempuhi dengan seriibu kesyukuran.
Lepas puas bergaya secara sopan gambar happy-happy tetap nak jugak cuma tak mampu nak melimpat bintang dalam busana tradisional ini.