Memaparkan catatan dengan label rumah. Papar semua catatan

Sepakat Membawa Berkat


Syukur alhamdulillah penyewa baru telah mula menduduki rumah sejak 15hb November setelah dua minggu penyewa yang sebelumnya keluar rumah. Penyewa baru merupakan bakal pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan tak lama lagi, sekian lama mengintai rumah di kawasan tersebut akhirnya mereka berkenan dengan rumah yang diiklankan dan terus membuat keputusan untuk menyewa sebab lain kali mungkin dah tak ada yang bersesuaian dengan hati serta bajet mereka.

  



Dua minggu yang sangat meletihkan kerana membersih dan mengecat rumah. Mengganti tombol-tombol pintu yang rosak, membaiki bilik air yang tersumbat dan menggantikan mentol-mentol lampu yang tidak menyala. Upah orang memang lebih senang tetapi sebab Pak Tuan sedikit cerewet jadi kami buat sendiri semuanya lagi pun boleh jimatkan kos. Anak-anak pun sudah besar jadi sudah boleh membantu jadi bab cat mengecat mereka ambil alih tanggungjawab. Mama dan abah selesaikan yang selebihnya.






Dua bilik air di tingkat atas tersedia water heater.

Keadaan rumah tidak teruk sangat cuma biasalah bila duduk bukan di rumah sendiri jadi tidak dijaga sangat. 2 tombol pintu rosak, lampu tangga padam tidak berganti, simen didepan dan belakang dibiarkan hitam berlumut, bilik air di bilik tidur utama tersumbat, tandas cangkung di bilik air bawah tersumbat katanya berus tandas terjatuh di dalam lubang tandas. lap habuk-habuk di tingkap dan semua grill. Sedikit penat menguruskan 3 bilik air yang perlu digosok lantai dan dindingnya, memberus lantai yang berlumut di porch depan dan ruang belakang dapur. Mengeluarkan barang-barang yang tersumbat dari lubang tandas rupanya bukan berus tandas sahaja, ubat gigi, pisau cukur, botol syampu, botol carrie junior dan paip getah dikeluarkan manalah tak tersumbat. Membersihkan kitchen kabinet dan bawahnya yang penuh dengan tahi lipas. Masyaallah yang ini memang saya marah sangat, tempat masak kot dibiarkan kotor macam tu.




Dua orang pembantu tetap mama Kakak Hayani dan Alya setiap kali mama ada di sana pastinya ada kakak dan Alya.

Hujung minggu dan cuti Deepavali memang menguruskan rumah tersebut sahaja sehingga demam. Nampak seperti mudah tetapi memerlukan kudrat yang banyak juga. Namun bila semuanya selesai saya rasa sangat berpuas hati. Terasa berat pula hati hendak menyerahkan kunci kepada penyewa baru bila keadaan rumah sudah bersih dan cantik. Nampak gayanya bila penyewa ini keluar nanti memang saya akan pindah masuk sahajalah, sayang rumah dibiarkan penyewa duduk. Kalau dapat penyewa yang jaga rumah dengan baik tak apa sekiranya sebaliknya memang makan hati.









Kali pertama dan terakhir adik ikut mama uruskan rumah, tolong cat tembok pagar hadapan esoknya terus tak nak datang lagi. Abah minta catkan dengan warna tanah seperti coklat yang agak gelap tetapi warna cat seperti itu kehabisan stok jadi pilih sahajalah coklat cair.



Perjanjian sewa beli pun sudah di tandatangan dan dibawa ke LHDN bulan lepas cuma salinan belum diberi kepada penyewa. Itulah risiko menyewakan rumah kepada orang, nasib baik rumah dikembalikan dalam keadaan baik kalau sebaliknya terpaksa baiki rumah pula. Harapnya penyewa baru dapat mejaga rumah sebaik mungkin, jaga seperti rumah sendiri. 



 Rumah yang sudah siap di berishkan dan dicat, semakin kemas rumah semakin sayang pula hendak di sewakan.



Rumah Sewa Terlaris


Syukur alhamdulillah sesungguhnya Allah, Engkau maha pemberi, tak pernah lokek walaupun kami hambaMu selalu melupakan Mu, alpa dengan urusan dunia yang tidak pernah berpenghujung, kemurahanmu tiada pernah terbatas.


2hb Oktober 2015 penyewa bagitahu yang dia akan keluar rumah akhir bulan dan minta tolak sewa bulan Oktober dengan deposit yang dibayar semasa masuk dahulu. Walaupun agak singkat notis yang diberi saya terima dengan positif walaupun bajet bulanan sudah sedikit tergelincir jadi bulan ini ada perkara yang kena tangguh  dahulu. Deposit bil elektrik pula saya akan jelaskan kemudian selepas tolak bil terakhir bulan tersebut.


Bermula edisi pencarian penyewa baru untuk rumah teres dua tingkat yang saya beli hampir 3 tahun yang lalu. Rezeki Allah untuk saya dan anak-anak walaupun saya tak duduk tetapi itu tetap rumah saya. Walaupun ada 2-3 orang agen yang telefon dan minta uruskan saya menolak dengan baik sebab bagi saya semua itu saya masih boleh uruskan sendiri dengan bantuan suami. Saya mula iklankan di Mudah.my dalam masa hanya 2 minggu saya mendapat hampir 30 panggilan sehinggalah saya padam iklan tersebut. Tiga hari selepas iklan sudah ada yang booking rumah tetapi saya minta dia menyerahkan salinan kad pengenalan selagi tidak diberi saya menganggap dia tidak bersungguh-sungguh. Seminggu kemudian saya mendapat salinan kad pengenalan melalui aplikasi WhatssApp, dalam tempoh tersebut banyak panggilan telefon yang saya dapat sehingga ada yang meminta saya masukkan dalam senarai menunggu.


Saya mudahkan orang moga Allah s.w.t akan mudahkan saya kelak. Itu prinsip saya. Mengikut purata sewaan kawasan tersebut adalah Rm1200 tetapi sebab saya tidak sampai hati mengenakan sewa sebegitu saya hanya meletakkan sewa Rm1000. Deposit pula kebiasaannya adalah 2 bulan tetapi saya hanya ambil satu bulan deposit, elektrik dan air pula hanya Rm200 yang mana kebiasaannya adalah separuh dari harga sewa rumah. Saya bukan banyak duit, jauh sekali kaya namun saya harap apa yang saya buat sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban bakal penyewa. Syarat yang sama juga saya kenakan kepada penyewa terdahulu dan dia duduk tanpa banyak kerenah selama tiga tahun dan berpindah sebab rumah yang dibeli telah siap. Rumah saya juga dijaga dengan baik setakat bulan Febuari yang lalu.


17hb Oktober 2015 saya berjumpa dengan bakal penyewa untuk tandatangan perjanjian sewa rumah yang telah saya siapkan. Alhamdulillah. Kalau dulu saya dapat penyewa dengan seorang anak yang masih kecil kali ini saya dapat penyewa yang bakal melangsungkan perkahwinan tak lama lagi. Mereka datang berdua dan saya juga ada salinan kad pengenalan keduanya. Bila terbaca iklan rumah untuk di sewakan dengan harga yang berpatutan di kawasan tersebut mereka cepat-cepat telefon minta alamat untuk tengok rumah dan persekitaran. Penyewa masih ada jadi tak dapat tengok bahagian dalam cuma dapat lihat gambar-gambar yang ada di Mudah.my sahaja. Walaupun hanya dapat tengok dari luar mereka sangat berpuas hati walaupun tembok pagar sudah luntur warnanya sebab itu adalah cat asal. Semasa penyewa yang ada masuk saya langsung tak sempat nak cat. Perjanjian bakal di bawa ke LHDN untuk `stamping’ dan salinan akan diberi kepada penyewa kelak.


Luasnya kasih sayang Allah. Allah s.w.t permudahkan urusan saya mencari penyewa rumah yang baru sehinggalah mereka dengan senang hati menerima syarat-syarat yang saya kenakan. Membayar Rm500 sebagai tempahan tanpa ada prejudis. Bulan November nanti penyewa baru akan masuk namun saya meminta tempoh sehari dua untuk menguruskan mana yang patut. Almaklumlah bila penyewa lama saya perlu selenggara kerosakan-kerosakan kecil yang berlaku. Harap semuanya baik-baik sahaja tanpa kerosakan besar.

  


Ruang Dapur Dapur Idaman

Penyewa sudah memberi notis sebulan untuk pindah keluar jadi dalam masa terdekat ini rumah akan kembali kosong. Hampir tiga tahun penyewa ini duduk tanpa maslah besar dan berpindah keluar sebab rumah sendiri di Semenyih 2 telah siap. Hajat di hati nak sahaja pindah masuk almaklumlah rumah teres lebih selesa dengan anak yang semakin membesar, anak-anak pun akan dapat seorang satu bilik berbanding sekarang terpaksa bilang anak tangga ke tingkat dua dan anak-anak terpaksa berkongsi bilik. Nanti bolehlah hiaskan rumah ikut kehendak hati dah lama teringin nak ada taman kecil di depan rumah.



Bila di fikirkan pro dan kontranya pula rasa sayang nak tinggalkan rumah yang di duduki sekarang, walaupun rumah kecil tetapi banyak kelebihannya. Jiran-jiran yang sangat baik serta sentiasa mengambil berat dan tolong menolong ketika kita di dalam kesusahan. Masa anak-anak masih sekolah rendah boleh sahaja minta tolong jiran tengok-tengokkan mereka di rumah semasa kita keluar bekerja. Sekolah kebangsaan, sekolah menengah hanya sebelah menyebelah boleh berjalan kaki sahaja. Kedai runcit, pasaraya, dobi pun dekat, Klinik 1Malaysia pun ada. Pulak tu dekat sangat dengan Pekan Kajang dan ada kemudahan bas.



Warna kuning antara warna kegemaran tetapi untuk kabinet dapur mungkin tidak. 


Masa dibeli dulu rumah ini telah siap dengan cabinet dapur berwarna coklat, walaupun ini bukan warna kegemaran saya biarkan sahaja sebab keadaannya masih baik dan rumah tersebut memang nak disewakan sementara waktu. Bagi saya dapur adalah tempat yang sangat penting selain ruang tamu dan bilik tidur. Bila dapur cantik keinginan untuk berada di dapur sangat tinggi dan mood untuk memasak pun pasti berbunga-bunga. Jadi bila berpindah masuk perkara utama yang saya ambil kira adalah untuk mengubahsuai dapur. Saya menginginkan ciri-ciri dapur moden yang tampak simple tetapi amat praktikal.


Saya mencari idea-idea segar dari beberapa pasaraya terkemuka di Malaysia yang membekalkan cabinet dapur, ingin mengolah sendiri kabinet dapur mengikut kehendak serta kemampuan sendiri serta haruslah bersesuaian dengan bajet. Banyak laman web yang boleh membantu untuk mendapatkan dapur idaman yang penting perlu sedikit kerja keras dan luangkan masa yang lebih untuk memenuhi kehendak hati. Bila semua dilakukan sendiri ini akan memberi lebih kepuasan. Saya juga merujuk ke `4 Steps To Create The Kitchen Of Your Dreams. It’s As Simple As ABC’ bagi merealisasikan impian dapur terbaik untuk kami sekeluarga.





Warna merah yang garang dan pink yang menarik sangat memikat mata. Gambar rujuk di sini.



Beli rumah sudah mengeluarkan modal yang besar, nak pindah rumah pula terpaksa fikirkan apa yang nak diisi ke dalam rumah pula. Nak selesa kenalah berkorban sebab di situlah banyak masa yang akan dihabiskan, mungkin hanya sekali itu sahaja kita membeli barang-barang mahupun membuat perubahan di dalam rumah mengikut selera kita. Menghasilkan sentuhan-sentuhan magic yang boleh membuatkan hati kita tenang setiap kali melangkah masuk ke dalam rumah.




Rumah Untuk Di Sewa Taman Taming Impian Kajang

Bagi yang sedang mencari-cari rumah untuk di sewa dengan harga yang berpatutan di Kajang saya ada sebuah rumah teres dua tingkat untuk di sewa di Taman Taming Impian, Kajang, Selangor. Taman ini terletak berdekatan Jenaris dan Prima Saujana, landmark paling dekat adalah Giant, Prima Saujana dan Surau Jenaris. Sekiranya anda berada berdekatan surau akan kelihatan sign board Taman Taming Impian. Persekitaran kebanyakan adalah keluarga Melayu.


Rumah ini akan kembali kosong pada November 2015 sebab penyewa sebelum ini akan berpindah ke rumah sendiri. Alhamdulillah tiga tahun penyewa ini duduk tanpa ada masalah yang timbul. Rumah ini dilengkapi dengan kitchen cabinet dan berada di dalam keadaan yang baik.


Kemasukan November 2015
Deposit 1+1, Utility Rm200 (supaya tak membebankan penyewa)

Detail :
Rm1000/month
Rumah Teres 2 Tingkat Intermediate Lot
4 bilik + 3 bilik air
Partially Furnished - With kitchen cabinet

Kemudahan :
Berdekatan Giant, Tesco,  Speedmart99, Kamdar, Surau
Sek Keb Kantan Permai & Sek Men Saujana Impian
Berdekatan  Bandar Baru Bangi, Semenyih, Seri Kembangan, Serdang, Putrajaya, UKM, UPM, UNITEN 15-20 minit.

Kemudahan Jalan :-
- SILK, LEKAS Highways
- Cheras-Kajang Highway
- PLUS Highway

Alhamdulillah rumah ini sudah ada penyewanya.






Ubahsuai Bilik Air 'Waterprooving'


Pening memikirkan kos untuk ubahsuai bilik air yang tak luas tetapi harga yang diminta oleh kontraktor terlalu tinggi tetapi terpaksa juga diubahsuai bila lantai menyerap air dari bilik air sehingga merosakkan 'wiring' lampu di tingkat bawah. Kos barang tidaklah mahal tetapi bayaran yang dikenakan untuk 'labour' tak masuk akal dan sebagai pemilik rumah kadang-kadang kita tiada pilihan. Keluasan bilik air 5.25' x 7.5' kos yang dikenakan untuk pecahkan tile, 'waterprooving' dan retile adalah Rm5300. Pendapat saya memang tukang Indonesia tersebut 'ketuk' saya.


Berkira-kira untuk mencari kontraktor lain sepupu saya yang bekerja sebagai askar menawarkan diri untuk menjalankan kerja-kerja ubahsuai bersama kawannya. Bila adik dan anak saudara bersetuju untuk datang membantu saya terpaksa menolak pertolongan dari sepupu dan sangat bersyukur kerana kerja-kerja ubahsuai boleh saya arahkan mengikut kehendak sendiri. Adik Shahizat, Syafiq dan anak saudara Shaiful datang bersama emak dan seorang sepupu lain Adik Ab. Riuh rumah adik saya seminggu sebab mereka duduk di rumah adik.


Kami sampai agak lewat sebab penyewa bawak anak isteri pergi jogging, agak ramai yang pergi sebiji kereta untuk orang kerja sebiji kereta saya, mak dan anak-anak. Almaklumlah mak hanya tengok rumah dari luar dulu kali ini teringin nak masuk tengok kat dalam. Tugasan bermula lepas makan-makan dan minum-minum. Penyewa menyambut kami dengan gembira dan dijamu dengan pelbagai hidangan. Kebetulan penyewa saya beasal dari Pendang, Kedah keluarganya pernah menetap di Batu Pahat, Perlis, mak suka sangat. Ini juga kali pertama saya bertemu muka dengan mereka sebeb sebelum ini semua Pak Tuan yang uruskan.



Ini adalah lantai asal bilik air dibahagi dua untuk bahagian shower. Tile tu sebenarnya cantik lagi cuma tak dibersihkan betul-betul sahaja.


 

Kerja memecahkan tile bermula. Sekejap sahaja Adik Shafiq siap proses memecahkan tile.



Inilah hasilnya. Di bawah tile tu penuh dengan pasir sebab itulah air menyerap ke lantai, hanya sedikit simen yang digunakan. Bahagian yang tengah tu bila dipecahkan juga relai.



Kasi zoom sikit. Nampak banyak pasir dari simen.



Sementara Adik Shafiq, Shaiful dan Adik Ab sibuk dengan tile saya keluar dengan Adik Shaizat ke kedai membeli tile yang baru. Tak perlu susah hati bagi tahu keluasan bilik air nanti mereka akan kirakan berapa keping yang perlu di beli. Saya hanya menukar tile di bahagian lantai sahaja. Kemudian ke warehouse sebab tile yang saya hendak tu tak ada di kedai, ambik sendiri kat warehouse.



Ini pula proses memoton paip PVC untuk paip limpah di belakang pintu bilik air. Sekiranya hujan air akan mengalir dari belakang pintu dan lantai akan sentiasa basah jadi saya minta letakkan paip terus ke floor trap. Boleh pula depa pi beli yang sama besar dengan paip keluar bila pasang saya tanya tak boleh ke guna paip kecik tapi dah siap biarkan jelah. 



Kerja-kerja meletakkan simen di celah-celah tile . Senang buat tapi bagi saya agak remeh dan perlukan kemahiran. Tile perlu dicuci dengan asid sehingga bersih dan tiada sampah mahupun kekotoran. Sebenarnya kerja-kerja memasang tile dilakukan oleh anak buah Shaiful sehinggalah kerja pengemasan yang lagi 3 orang hanya membantu yang mana perlu sahaja. Semasa pasang tile Shaiful bertungkus lumus kat dalam lagi 3 hanya termenung.



Selepas habis kerja-kerja akhir. Masih nampak putih separti kapur, nanti bila digunakan akan hilang sendiri. PVC pipe ke floor trap melalui belakang toilet bowl boleh nampak kat dinding tu. Satu benda saya ternampak bila kerja dah siap adalah pipe bawah singki yang tu lain kalilah tunggu nak baiki wiring nanti saya minta orang buatkan.


Rezeki saya ada adik-adik dan anak buah yang boleh membantu. Sekiranya sesiapa ada masalah waterprooving untuk bilik air dan mencari tukang yang agak murah berbanding tukang Indonesia yang banyaknya mengetuk kita tu bolehlah saya bantu semampu yang dapat. Kalau ada rezeki mungkin anak buah saya dapat membantu untuk menyelesaikan masalah bilik air anda dengan harga yang lebih berpatutan.




Bilik Air Rumah Sewa


Bila menyewakan rumah pening pulak dengan penyelenggaraan rumah yang orang duduk. Memang tiap-tiap bulan di bayar sewa tetapi bila apa yg nak dibaiki melebihi sewa berat juga nak ditanggung sedangkan duit sewa hanya cukup-cukup untuk bayar hutan rumah dengan bank. Hendak atau tidak perlu juga dibaiki.


Awal 2014 bumbung bocor perabung perlu digantikan dengan yang baru kerana setiap kali hujan lebat air menitis ke dalam rumah. Kos baikpulih Rm650 sedangkan kos membeli barang mungkin hanya sekitar Rm200 sahaja. Boleh tahan kos tenaga kerja yang dikenakan sebab menggantikan perabung tu ambik masa beberapa jam sahaja.


Hujung tahun penyewa telefon lagi bagitahu rumah bocor lagi, lampu pun turut mengalami masalah bila air mengalir. Lama juga ditangguhkan aduan penyewa kerana kekangan masa dan tukang yang agak sukar ditempah. Akhirnya bila tukang yang baiki perabung balik dari bercuti dari kampungnya di Indonesia dapatlah dia pergi tengok. Katanya air bukan dari bumbung tetapi dari bilik air yang bocor. Lantai meresap air katanya.


Kali ini dia meminta Rm5300 untuk kos pecah tile, pasang ‘waterproof’ dan meletak tile yang baru. Mau termenung memikirkan kos tu sebab keluasan bilik air cuma 5.25” x 7.5” dan tile yang akan digunakan pun hanya yang biasa sahaja sebab rasa rugi bila pasang tile cantik dan mahal tetapi orang yang duduk. Lagi sakit hati bila ada sepupu bagitau dia pasang tile dari ruang tamu sampai ke dapur dengan kos Rm3500. Tukang ini siap bagitau ada rumah di kawsan tu buat yang murah Rm2000 tapi kena buat balik sebab bocor lagi kemudian buat yang Rm3000 sama bocor lagi akhirnya buat yang Rm5000 baru elok. Terus kami batalkan niat nak buat dengan dia.


Akhirnya bagai orang mengantuk disorongkan bantal adik dan anak buah sanggup datang dari kampung untuk buatkan bilik air tersebut. Kerja-kerja baik pulih akan mula dilakukan hujung minggu nanti dengan persetujuan penyewa. Paling penting sediakan duit untuk kos membeli barang dahulu kata mereka. Adik saya tuan punya bengkel motor JMRMotorwork tetapi mewarisi kemahiran dari abah yang pandai bertukang. Anak buah Shaiful pula lepas habis sekolah memang membuat kerja-kerja membina rumah dan turut mewarisi kemahiran dari arwah ayahnya.



Mempunyai rumah sewa memang kadang-kadang dipandang orang sebagai berduit tetapi realitinya duit sewa itu hanya boleh menampung bayaran balik bulanan atau kadang-kadang tuan rumah pula terpaksa menambah bayaran bulanan. Bil pembentungan, cukai tanah dan cukai pintu juga termasuk di dalam kos yang terpaksa tuan rumah tanggung. Kelebihannya cuma bila habis bayar rumah itu jadi milik kita akhirnya.




Pengeluaran KWSP Rumah Kedua

Rata-rata pembeli rumah pasti akan mengeluarkan simpanan KWSP untuk membeli rumah tidak termasuk bagi golongan yang membeli rumah untuk pelaburan sebab biasanya mereka mempunyai ekonomi yang agak kukuh. Umum mengetahui pengeluaran boleh dilakukan pada rumah pertama selagi tidak dilupuskan nama pengeluaran tidak dapat dilakukan tanpa mengetahui pengeluaran KWSP rumah kedua juga boleh dilakukan kerana kebiasaannya apabila kita membawa dokumen kakitangan KWSP hanya memberitahu pengeluaran tidak dapat dilakukan kecuali menukar nama rumah sedia ada dalam sistem mereka.


Pilihan masih ada untuk kita menggunakan duit simpanan KWSP yang ada tidak kira untuk rumah pertama, kedua, ketiga ataupun seterusnya cuma cara pengeluaran sedikit berbeza. Bagi pengeluaran rumah pertama wang akan dimasukkan terus ke dalam akaun individu untuk kali pertama manakala pengeluaran seterusnya akan dimasukkan terus ke dalam akaun rumah bermakna kita tidak akan menerima duit tunai lagi seperti kali pertama kecuali pilihan kita adalah bayaran bulanan.


Bagi pengeluaran rumah kedua tanpa melupuskan nama pada rumah pertama pula bayaran hanya akan dibuat ke atas akaun bank dan ditolak dari jumlah keseluruhan baki. Pilihan kedua pula pengeluaran untuk membayar ansuran bulanan yang mana jumlah bayaran bulanan akan dimasukkan ke akaun individu setiap bulan. Akaun juga akan dipantau oleh pihak KWSP agar tidak berlaku penyelewengan dimana mereka berhak memberhentikan pengeluaran sekiranya bayaran tidak dilakukan kepada pihak bank.


Baru-baru ini saya juga telah memohon untuk pengeluaran KWSP untuk rumah kedua dengan memilih ansuran bulanan. Syarat pengeluaran anda perlulah ada surat pengesahan baki pinjaman dari pihak bank yang memberi pinjaman. Hanya isi sekeping borang dikaunter KWSP. Pegawai bertugas akan membuat pengesahan hanya dengan kad pengenalan, cap jari pada borang selesai dalam masa 10-15 minit sahaja di Pejabat KWSP Jalan Raja Laut.


Mengikut pegawai bertugas bayaran akan dimasukkan ke dalam akaun dalam masa 15 hari bekerja. Paling menggembirakan bayaran telah dilakukan cepat hanya empat hari bekerja. Tahniah kepada kaki tangan Pejabat KWSP Jalan Raja Laut yang memberi perkhidmatan cemerlang. Layanan pun cukup mesra dan bagus.



instantstreetview.com Jom Intai Rumah Sendiri


Zaman serba canggih ini tak hairanlah semua info senang sahaja nak dapat. Semalam kami di pejabat masing-masing intai rumah sendiri. Selepas ini tak perlu tertanya-tanya lagi mana rumah yang dituju selain Waze dan GPS yang turut membantu anda boleh tengok rumah yang hendak dituju. instantstreetview.com akan banyak membantu anda.


Masuk ke laman web instantstreetview.com kemudian masukkan alamat yang hendak dituju dan ia mestilah alamat penuh yang mengandungi nombor rumah, nama jalan, nama taman dan bandar. Terus anda akan dibawa kerumah yang anda cari.



Semalam saya intai-intai rumah yang saya sewakan nak tengok ada tak perubahan setelah setahun setengah diduduki oleh penyewa. Nampaknya keadaan masih sama tiada perubahan langsung. Siap dia blurkan anak penyewa kat situ, nombor kereta dan nombor rumah juga diblurkan.


Market Value Rumah Meningkat


Bulan November genap setahun urusan membeli rumah kami di Taman Taming Impian. Alhamdulillah semu a urusan jual beli berlangsung dengan baik walaupun proses pinjaman sedikit memakan masa di mana akhirnya bank yang sudi bagi adalah bank tempat tiap-tiap bulan gaji saya dimasukkan. Sebenarnya saya tak cuba dibanyak bank pun cuma 3 sahaja tu pun dah rasa penat. Allah s.w.t permudahkan urusan dari berjumpa agen (adik tuan rumah saya agak sebab Sir namenya sama) sehinggalah urusan dengan peguam semuanya very smooth. Saya bersyukur sangat sebab mendapat perkhidmatan dari sayarikat guaman yang sangat efisyen dan banyak membantu dalam urusan jual beli dan pada akhirnya penjual turut menggunakan peguam yang sama. Pegawai bank tempat saya uruskan pinjaman suggestkan saya guna khidmat syarikat guaman ini dan ini adalah pilihan yang terbaik!




Saya pernah bercerita di banyak entri di blog saya termasuk Panduan Membel  Rumah, Tip Membeli Rumah, Catatan Kenangan Impian Kami Sama, Impian Kami Sama Jumpa Peguam Untuk Urusan Seterusnya dan Rumah Baru Kami. Itulah antara kisah perjalanan yang memberi satu pengalaman baru kepada saya dalam urusan pembelian rumah memandangkan suami menyerahkan segala urusan pada saya. Lagipun inikan rumah saya!


Saya sangat beruntung kerana dapat membeli rumah tersebut dengan harga kurang dari Rm300k. Alhamdulillah. Mengikut harga kebanyakan rumah kawasan tersebut yang diikalankan adalah lebih Rm300k. Dalam masa 4 bulan dari tarikh saya membeli saya sudah boleh menjual rumah tersebut dengan harga tambahan  sebanyak 50k dari harga asal. Saya beli bukan nak invest tapi untuk duduk jadi nilai tersebut saya letak ke tepi.


Semalam saya intai-intai market value untuk rumah sekitar Taman Taming Impian yang diiklankan di internet. Gosok-gosok mata saya tengok, kalau saya tak grab rumah tu tahun lepas memang saya tak mampu lah nak beli tahun ini. Itulah di namakan rezeki. Rumah kalau naik sekitar Kajang sekarang memang tak ada yang murah lagi. Kajang 2 juga sudah tiada pembinaan rumah teres cuma yang ada semi-d dan super link yang berharga Rm750k dan ke atas. Gulp!



Tengok tu harga rumah semua melebihi Rm300k di taman perumahan yang sama, ada satu rumah tu saya tak dapat nak upload gambarnya Rm380k dan terjual pulak tu tapi mungkin yang tanah belakangnya ada 10 kaki kot rumah saya cuma ada 5 kaki tapi orang masih sanggup beli. Iklan penuh boleh tengok kat sini.




Merdeka Raya Sederhana Tapi Meriah


31 Ogos 2013 kita semua teruja menyambut hari ulangtahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-56. Semakin matang Malaysia semoga juga rakyatnya juga turut matang dalam mengharungi kehidupan seharian. Aman damai serta tahu nilai jati diri, mahu belajar sejarah orang-orang terdahulu. Sambutan meriah di 31 Ogos 2013 Dataran Merdeka (Bahagian 1) dan 31 Ogos 2013 Dataran Merdeka (Bahagian 2)


Itu cerita Merdeka di Dataran Merdeka di rumah kecil saya pula sibuk makan-makan. Jemputan hanyalah kawan sekolah anak-anak, jiran-jiran, kawan sepejabat (tak ada siap pun yang sempat datang) serta keluarga terdekat yang hanya beberapa orang yang tinggal di sekitar Selangor, juga rakan blogger. Rakan-rakan blogger pula hanya menerima jemputan melalui blog sahaja. Saya tetap berbesar hati kerana walaupun hanya melalui blog masih ada yang sudi hadir (kembang kempis jap hati saya).


Semua hidangan dimasak sendiri dengan bantuan tukang jahit sayalah (Eja my sister), ate dua beradik syer le penat sorang sikit. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, makanan pun cukup kecuali puding marbel, tetamu malam tak merasa sebab sudah habis. 


Terima kasih buat semua jemputan, gambar memang tak terambil sebab bila sudah sibuk melayan tetamu mahupun sibuk tambah makanan jadinya kamera pun letak ke tepi. Jiran-jiran yang datang sebelah petang Zura, Ani, Imah, Zaini, Lia, Kak Wan bersama keluarga masing-masing. Selepas Maghrib jiran atas berbangsa Cina Ping-Ping dan Ah Choi datang, Ina jiran hujung tangga juga sampai. Lepas Isyak jiran sebelah rumah pulak datang bersama jiran tingkat 5, siangnya mereka sekeluarga tiada di rumah (saya sangat terkilan bila rumah saya meriah dengan makan-makan tetapi jiran sebelah rumah yang keduanya lumpuh saya langsung tak hulurkan walaupun semangkuk laksa atau sepinggan nasi impit). Tetamu akhir sepupu dari Puncak Alam memasing kena tinggal sebab mak dan abah jalan-jalan ke Kelantan.


Usai semua tetamu pulang saya terkejut, beristighfar. Lalainya saya. Rasa sangat-sangat bersalah. Sebenarnya jiran selang sepintu sewa rumah ini untuk menempatkan ibu dan adiknya yang lumpuh memandangkan rumah yang kecil untuk memuatkan mereka sekeluarga. Ibunya lumpuh sejak lama dulu selepas melahirkan adik bongsunya sudah lebih 30 tahun. Adik lelakinya pula lumpuh sejak 2 tahun lepas selepas kemalangan yang mengganggu sistem saraf tunjangnya (tak pernah berkahwin).



Hidangan ringkas makan-makan rumah saya. Laksa Perlis nak yang kecil pun ada nak yang besar macam biasa kita makan pun ada lengkap dengan ulaman. Nasi impit, kuah kacang dan Rendang Ayam (read as kari ayam).



Tetamu awal yang memang dari malam dok sibuk tolong memotong dan memasak. Baju coklat tu adik saya Eja si tukang jahit sayalah tu bersama suami dia. Nasib baik semua baju raya dah siap cuma ada beberapa helai baju pengantin yang sedang menunggu tetapi boleh letak kat tepi kejap.



Meja sebelah saya letak puding marbel, nugget dan jagung rebus. Air oren kat sebelah tu.



Ini pula kawan-kawan si abang Iqbal Hadi, baju putih tu kawan baik dia tetapi sekarang seorang sekolah pagi seorang sekolah petang sebab mengikuti kelas khas (budak pandai). Lepas tu datang lagi berbelas orang tapi lupa nak snap gambar pulak.



Dalam hujan lebat tu akhirnya sampai jugaklah Mak Chaq dan Cik Da ke rumah kami. Berbunga-bunga hati kami, kembang kempis di buatnya, ada juga yang sudi jengah mai rumah kecik kami ni. Happy weyyyy... Terima kasih na... (malu bila Dik Da dan Mak Chaq masuk bilik anak bujang kami yang bersepah dok bagi duit raya kat budak-budak dok main game dalam tu.)



Kami lagi tetamu dari kalangan blogger. Baju putih tu Anies. Walaupun sesat barat jumpa jugak le rumah saya, kesian kat depa.



Jiran selang dua pintu, malam lepas Isyak baru sempat datang. Mak mertua dan adik ipar dialah yang menghuni rumah sebelah pintu rumah saya tu, dua-dua pun lumpuh. Sementara suaminya sihat bolehlah di jaga esok-esok belum tentu kerana suami kakak ini pun sudah berusia 62 tahun. Berniaga air tebu selepas bersara untuk menampung hidup mereka sekeluarga. Bantuan JKM dan Pusat Zakat sudah berkali-kali di isi tetapi macam-macam alasan di beri.



 Tetamu akhir saya malam tu, anak-anak dan menantu makcik dari Puncak Alam. Buatlah macam rumah sendiri ye. Si kecik Aqeelah, geram rasa nak geget-geget je.


Baru sikit jemputannya saya sudah letih sesangat, bayangkan buat kerja kahwin nanti tetapi saya gembira sebab dapat jemput kawan-kawan datang rumah. Sekecil majlis ini pun saya sudah melupakan jiran sebelah rumah nanti bila buat majlis besar-besar mesti lagi banyak yang akan terlepas pandang. Malu dengan diri sendiri kerana lalai (sebelum tu sebenarnya saya sudah minta kakak jiran saya tu ambilkan makanan untuk mereka tetapi dia kata dah siap masak lepas tu langsung saya lupa).


Hendaknya tahun depan masih dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik serta masih boleh masak-masak serta jemput kawan-kawan datang rumah lagi. Walaupun rumah kecil tetapi Allah telah mengatur dengan baik sekali perjalanan majlis di mana pada awalnya kawan si abang Iqbal datang secara berkumpulan, sebaik mereka beredar Mak Chaq dan Dik Da sampai, kejap tu Anies dan kawan dia. Masa tu jugak Kak Wan anak beranak sedang menjamu selera. Usai group blogger kecuali Kak wan yang merupakan jiran tiba pulak jiran-jiran lain coz depa memang pakat nak pi ramai-ramai. Jadi tidaklah sesak sangat keadaan rumah sebab tetamu datang secara berkumpulan kecil.



Menu MerdekaRaya Rumah Saya


Berdebar pulak nak terima tetamu Sabtu nanti. Tetamu saya semua VVIP tau, yelah kawan-kawan serta jiran-jiran semua VVIP di hati saya tanpa mereka siapalah saya, itulah pelengkap kehidupan seharian. Tempat berkongsi suka duka, senang susah kalau tak banyak sedikit mesti kita syer jugak.


Sekali lagi saya ingin mengulangi jemputan makan-makan MerdekaRaya di rumah saya pada Sabtu, 31 Ogos 2013. Rumah saya ini di Taman Kajang Utama kalau ada yang sudi silalah singgah nanti. Menu seperti hanya ringkas sahaja. Saya merancang untuk masak Laksa Perlis, Nasi Impit, Gulai Ayam Bersama Rebung Madu, Kuah Kacang, Kek Coklat Kukus. Biskut memang sudah habis kat rumah yang tinggal cuma Almond London, kalau ada hidangan biskut lain bermakna itu biskut beli.


Kenapa saya pilih 31 Ogos 2013? Saya tahu tarikh itu penuh dengan aktiviti rumah terbuka, majlis kahwin dan sibuk perarakan Hari Kemerdekaan jadinya mesti semua orang sibuk memenuhi aktiviti tersebut. Bagi saya hanya inilah tarikh yang sesuai, meraikan kawan-kawan sempena Syawal dan mengambil semangat Hari Kemerdekaan. Sebenarnya bila Cuti Umum jatuh pada hari Sabtu pejabat saya akan tutup pada hari Jumaat kira macam replacement la. Jadi saya ada masa untuk ke pasar pada hari Jumaat dan buat persiapan yang mana patut. Ahad pula saya dapatlah rehat sehari.




Laksa Perlis yang kata seorang blogger nampak pucat tapi sekali try pasti awak nak lagi dan lagi. Kepekatan ikan yang sangat menggoda. Laksa tanpa hiasan dalaman tapi kicap tu tak boleh tinggal okeh...kehkehkehhh...tapi hari Sabtu nanti adalah hiasannya. Orang Perlis makan laksa berulamkan daun selom, timun, bawang dan cabai Melaka (tetiba konpius cabai tu mai dari Melaka ka?).



Ini pula snap dari periuk ja menu entah bila. Gulai Ayam Bersama Rebung Madu (tempat saya panggil rendang sebab kuah pekat cuma resepi ini menggunakan remaph kari ayam, bahan-bahan lain sama sahaja seperti masak rendang, cili diganti dengan rempah), Sabtu nanti boleh gu dengan Nasi Impit kalau saya rajin sikit mungkin akan buat pulut lemak jugak boleh makan dengan gulai nak berketupat palas bagai rasanya tak kot.


Tergoda tak tengok menu? Kalau semua tu tak ada kita minum teh 'o' dan biskut 4 segi jelah ye. Saya bukan tukang masak hebat tapinya saya akan cuba memasak dengan penuh kasih sayang untuk hidangan buat kawan-kawan cewwaaahhhh... Sebenarnya saya tak nak publish no telefon di sini tapinya saya takut kawan-kawan tiba-tiba sabtu tu terlalu di Kajang dan terasa nak singgah pula. Sila ambil no telefon ini laju-laju 017-3022257. Saya bila di rumah jarang buka blog, FB pun kadang-kadang sahaja.



Jemputan Rumah Terbuka



Ini edisi makan-makan tahun lepas. Abang sibuk nak jemput kawan-kawan beraya kat rumah, terlanjur masak jemput jugaklah jiran-jiran terdekat. Menu mudah bihun sup, nasi impit cicah gulai ayam, puding jagung, nugget dan sosej serta biskut-biskut sahaja.


Beraya sakan-sakan kat kampung sekarang dah balik Kajang beraya sakan-sakan pulak di bandar. Orang sekarang raya sampai sebulan tapi kalau kat kampung paling lama pun seminggu jelah tapi tak tahulah tempat lain kat tempat saya macam tu. Jemputan rumah terbuka sana-sini. Kadang-kadang tak tahu mana yang nak pergi sebab banyak sangat jemputan. Jalan pun jangan ceritalah jemnya walaupun di hujung minggu. Tak sabar nak berkongsi cerita raya saya tapi kamera masih pusing-pusing Kelantan, salah sendiri juga cuai  sangat Sabtu nanti baru kamera sampai balik ke Kajang.


Saya teringin sangat nak buat Rumah Terbuka, jemput kawan-kawan datang makan dan berborak panjang. Lama sudah rasanya saya hanya terima jemputan, kali terakhir mungkin 5 tahun lepas. Masa tu saya memang jemput kawan-kawan, jiran-jiran dan sudara-mara yang tinggal berdekatan. Menu masa tu tentulah laksa dan bihun sup kuning yang menjadi trademark orang Perlis. Saya juga masak nasi impit, kuah kacang dan kari ayam pekat resepi mak (menu wajib setiap kali raya di kampung). Tempah nasi hujan panas dan ayam masak merah dengan kuah sambal ektra dari Rose Catering (katering kepunyaan mak saudara saya). Nasi putih dimasak sebagai pilihan bagi yang tak makan nasi warna-warni, lauk tambahan pula saya masak Masak Putih Daging (Kurma Daging). Saya buat puding jagung dan bubur kacang selain goreng nugget dan sosej.


Pandang rumah saya rasa segan pulak nak terima tetamu. Rumah kecik, dapur sempit, barang banyak pulak tu. Dinding sejak mula duduk 12 tahun dulu tak pernah berganti catnya, dulu-dulu alasan anak kecik cat pun nanti diconteng lagi sekarang anak sudah besar tak juga terbuat. Siap ada cap tapak kasut lagi kat dinding tu, entah apa anak-anak buat pun tak tahu. Kabinet letak dapo mask dan rak pinggan itulah diguna sejak 16 tahun lepas dah layak tukar baru. Pintu bilik belakang rosak berbulan jugaklah dah dibuang kat bawah tapi entah bila pula nak berganti jadi bilik tu berbulan jugaklah tak berpintu. Bukan soal tak berduit tapi selagi barang-barang tu boleh pakai memang rasa sayang nak buang walaupun dah buruk dan uzur, penyakit ini memang tak ada ubat. Cakap-cakap tak jalan jugak, alahai Pak Tuan. Nak tunggu pindah rumah yang baru dibeli entah bila pulak. Insyaallah ada rezeki kita buat kat sanalah senang sikit boleh pasang khemah depan rumah.


Rebung saya sudah bawak balik dari kampung cadangnya nak digulaikan bersama ayam, rebung kat bawah pun tengok sudah naik 2 pucuk bolehlah ambik dan campur sekali nanti. Banyak juga tu. Tapinya...masih dok berkira-kira. Segan wehhh...jemput kawan-kawan mai rumah tapi rumah selebek gitu! Ada yang sudi nak mai dak? Hahhaaaaa... Setakat ni tiap-tiap tahun memang saya buat makan jugaklah untuk kawan anak-anak dan jiran-jiran sebelah-menyebelah, atas dan bawah. Dengan depa tah heranlah rumah depa pun sama ja macam rumah saya tu.


Pada semua Selamat Hari Raya Aidilfitri, hati-hati bila makan di rumah terbuka jangan sakan-sakan sangat takut bawak mudarat pada kesihatan pulak. Makan-makan di rumah saya masih dalam pertimbangan. Sapa sudi mai angkat tangan!