Memaparkan catatan dengan label kakak. Papar semua catatan

Balik Kampung Main Roller Blade

Sabtu lepas balik kampung suami di Bota Kiri, kalau cerita balik kampung kegembiraan sama saja balik Perlis ke balik Perak ke hati tetap gembira sangat sebab dapat jumpa kaum keluarga. Lagipun sejak suami kakak ipar meninggal ini kali pertama  nak ziarah dia walaupun dia dah pesan balik Perlis cuti Tahun Baru Cina singgah kampung tidur sini kak dah dok sorang tetapi saya tak balik juga sebab fikirkan suami, kalau boleh nak balik tengok kakak dengan dia.





Kami balik ke rumah kakak ke empat Pak Tuan bersiap-siap untuk ke rumah mak mertua yang di dijaga oleh kakak ke tiga yang tinggal bersama dua anak serta cucu-cucunya.



Balik Perak tentulah patin tempoyak cara orang Perak menjadi menu utama, saya siap minta kakak ipar masak lebih untuk bawak balik. Hahahaaa…nasib baik kakak-kakak ipar semua baik-baik serta faham yang adik ipar tak pandai masak patin tempoyak. Kakak-kakak ipar semuanya dah sebaya emak dan ada yang lebih tua dari emak sendiri jadi saya jatuh sayang pada mereka seperti saya sayang emak. Bila merenung wajah mereka perasaan sayu mula berselinap di ruang jiwa. Apa tah lagi Pak Tuan setelah emak mertua meninggal sayang itu beralih kepada kakak-kakak. Kalau balik siap peluk-peluk cium-cium kakak. Jangan tak tahu kadang-kadang air mata lelaki dia menitis juga.



Entah bila kakak masukkan roller blade ke dalam bonet kereta, kalau tak boleh bawa skuter Alya sekali baru ada geng nak main-main kat jalan. Ini kegilaan baru kakak Hayani sehingga minta dibelikan untuk dia dengan alasan nanti kongsi juga dengan adik dan abang. Trend sekarang dah naik semula roller blade ini lepas lama menyepi. Mana-mana pun boleh lihat anak-anak bermain roller blade malahan ada juga tempat yang menyewakan roller blade. Sebab mama punya waktu yang agak terhad untuk melayan kehendak kakak jadi belikan sahaja satu, petang selepas habis sekolah dia akan keluar ke Kajang 2 bersama kawan unuk bermain roller blade.



Beli ais krim!




Jalan lenggang sebab hari cuti hujung minggu sukalah kakak.





Alya suka sangat cuci pinggan sebab singki kat rumah kakak Pak Tuan rendah habis di kutip cawan dicucinya. Kalau abah dan mama berjalan sanggup tinggalkan ayah dan ibu.







Anak perempuan nan seorang bukan mengikut kata anak tetapi bila orang lain ada jadi kasihan pulak dia asyik merengek sahaja, lagipun kalau hendak bermain diluar ambik masa mama pula belikan satu pandai-pandailah kakak urusakn masa. Kegembiraan anak-anak tetap menjadi keutamaan bukan bermakna memewahkan anak tetapi memberi mengikut kemampuan. Selain itu setiap pemberian adalah ganjaran buat mereka atas usaha mereka di sekolah juga sebagai menggembirakan hati anak-anak yang ringan membantu kerja-kerja di rumah.



Bayang-bayang Hari Tua


Bila tengok anak-anak yang sudah besar di depan mata terasa cepatnya masa berlalu, rindu masa mereka kecil yang sentiasa meriuhkan rumah. Rumah yang sentiasa bersepah dengan mainan di lantai, tak pernah sekemas rumah orang lain. Sekejap kemas pusing ke dapur tengok bersepah lagi. Belum hiruk pikuk anak-anak bermain, bergaduh berebut barang mahupun berebut siaran tv kegemaran masing-masing. Kadang-kadang mama pun tumpang pening mencari botol susu yang di mana minum kat situ letak, kadang-kadang bergolek ke bawah sofa, meja makan bawah kabinet dapur mahupun bawah katil. Stress sangat rasanya.







  
Bila berjalan pula terpaksa siapkan beg susu dan pampers serta makanan untuk mereka selain dari baju sebagai bekalan sekiranya tiba-tiba pampers yang digunakan bocor atau anak-anak muntah. Masa anak-anak kecil banyak belanja di habiskan untuk susu, pampers dan untuk bayaran penjaga. Waktu itu perbelanjaan itu menjadi keutamaan. Memilih pampers yang bagus juga adalah perlu untuk mengurangkan perbelanjaan, kalau murah sangat cepat pula bocornya kalau yang mahal pula tak mampu di beli jadi sebagai ibu perlu bijak membuat keputusan dan semua itu memerluka ilmu juga. MOM TIPS: HowTo Choose The Right Diaper For Your Baby. Extra Dry, Super Comfy. Makanan pula biasanya bubur nasi di masak sendiri, bekalan nestum sebagai tambahan juga biskut buat kudapan anak-anak. Semua dibekalkan dan dihantar ke rumah penjaga.




Sekarang masing-masing sudah besar sudah jadi anak dara dan anak bujang, meriah rumah semakin berkurang, masing-masing sudah menjadi kawan mama. Tinggi ketiga-tiganya sudah melebihi mama. Sesekali terdengar juga riuh-rendah di rumah bila si abang mengusik dan menyakat adik-adik, kakak pula pantang di usik nyaring sahaja suara dia menjerit manakala adik pula kalau disakat melentinglah cuma kadang-kadang bila mereka bermain seperti anak kecil berlari di dalam rumah pening juga dibuatnya.

 




Masa mereka bersekolah masih ada di rumah dapatlah menjadi kawan tetapi bila masing-masing mula melanjutkan pelajaran ke kolej nanti semakin sunyilah rumah. Abang dan kakak cuma berselang setahun kemudian tinggallah adik yang akan mengikut jejak abang dan kakak 3 tahun kemudian. Tika itu rumah akan menjadi terlalu sunyi, tiada lagi suara mereka memeriahkan rumah. Tiba-tiba rasa sebak. Bayang-bayang hari tua semakin mendekat rupanya. Fitrah kehidupan namun masih banyak lagi perkara lain yang boleh di buat untuk mengisi masa sehingga tiba detik itu gunakalah sepenuhnya masa yang ada bersama mereka.




Model 2014



Hero dan heroin. Model 2014. Ada yang nak booking? 


Chocolate Fudge Secret Recipe



Abang haji dah balik dari Mekah pada 4hb November setelah berjauhan selama 43 hari dari keluarga. Alhamdulillah selain sihat walafiat cuma batuk dan selsema sikit sahaja juga sihat sepanjang menjalankan menjalankan ibadah haji kecuali kadang-kadang lutut sakit terkena serangan gout almaklumlah makanan yang disediakan bukanlah mengikut menu orang sakit. Bila makanan yang tak boleh di makan oleh pesakit gout dimakan juga maka bertongkatlah di sana.



Balik kebetulan baru sahaja selepas birthday Kakak Hayani yang memang tiada sambutan pun jadi abah minta masakkan kueateow sup dan belika kek. Menjadi pilihan anak kesayangan abah adalah Kek Choclate Fudge dari Secret Recipe yang membuatkan kak senyum tak sudah dan puaslah satu keluarga makan kek.



Suka sangat! Untung jadi anak perempuan tunggal dalam keluarga menjadi kesayangan. Puas hati bila abah balik dari Mekah boleh raikan satu keluarga.



Bergambar sekeluarga.






Makan malam raikan ulangtahun kelahiran Kakak Hayani yang ke 13 tahun juga meraikan kepulangan abah setelah bermusafir lebih 40 hari. Mood rindu-rinduan masih tebal. Memenuhi permintaan Pak Tuan yang inginkan kuateow sup sebagai hidangan.


Big Apple Donut Mines Wonderland Raikan Ulangtahun Kelahiran


Tiada acara tertentu untuk sambutan ulangtahun kelahiran anak-anak sejak mereka sudah besar cuma mungkin bawa mereka jalan-jalan dan penuhi permintaan mereka sahaja. Tahun ini Kakak Hayani memasuki usia 13 tahun, mula-mula dia minta masak dan jemput kawan-kawan ke rumah yang kemudiannya dia sendiri yang batalkan.


Memenuhi permintaan 'birthday girl' selepas memenuhi jemputan majlis perkahwinan di Meru kami terus ke Mines Wonderland dengan ayu berbaju kurung. Sudah lama saya tidak ke sini dan pertama kali Kakak Hayani datang ke sini. Sekadar berjalan-jalan tengok sekeliling, tengok ikan-ikan yang berenang di antara bangunan itu pun sudah cukup menggembirakan kami. Menghabiskan masa secara berkualiti bersama anak-anak.



Birthday girl yang cukup puas hati dapat jalan-jalan di Mines Wonderland, dapat makan Big Apple Donut dan Strawberry Blended.



Penyejuk hati mama.



Lepakking sambil makan donut.



Suka melihat dia tersenyum.



Pemanis hati pengubat jiwa tanpa kalian akan picanglah jiwa mama.



My hero!

Tiada apa yang palig menggembirakan bila anak-anak ada di sisi, menghabiskan masa masa bersama mereka walaupun sekadar berjalan-jalan dan hanya makan donut. Melihat mereka tersenyum sudah cukup membuat hati terasa dipayungi seribu bahagia lantas apa lagi yang perlu dicari di dalam hidup ini.



Happy Birthday Hayani

01.11.2001 jam 12.01 minit tengahari dia dilahirkan. Membesar sebagai puteri tunggal dalam keluarga, menjadi anak kemanjaan serta kesayangan abah. Anak moga dirimu akan terus menjadi puteri di hati mama dan abah selamanya.





Budak Sekolah Bergaduh


Umur 13 tahun tempoh peralihan dari kanak-kanak bakal memasuki alam remaja, pemikiran pula masih belum matang. Sebagai ibu-bapa kita adalah pembimbing terbaik selain cikgu di sekolah. Bergaduh di sekolah adalah perkara biasa bagi anak-anak selagi tidak menimbulkan sebarang perkara serius seeloknya kita sebagai ibu-bapa usah campur tangan selain memberi nasihat terbaik buat ana-anak bukannya menyokong anak membuta-tuli mahupun terus memanaskan keadaan.


Kesibukan kerja tidak membataskan waktu untuk saya mengambil tahu urusan persekolahan anak-anak mahupun cerita-cerita peribadi mereka. Anak-anak senang sekali berkongsi cerita berkenaan kawan-kawan mahupun 'special friend' mereka. Saya tidak mampu menghalang mereka untuk mempunyai 'special friend' kerana itulah trend anak-anak zaman sekarang, dari dia berbuat dibelakang tanpa pengetahuan saya lebih baik saya tahu dengan siapa dia berkawan, siapa ibbu-bapanya mahupun rumah di mana. Saya tidaklah bersifat sangat terbuka cuma saya hanya mengambil tahu aktiviti mereka, itu cara saya memantau anak-anak dengan syarat pelajaran adalah nombor satu.


Balik kerja Sabtu yang lalu saya berbaring di katil bersama kakak Hayani, bercerita macam-macam perkara. Ada kalanya kami serius kadang-kadang kami ketawa dan dia bercerita mengenai seorang kawannya. Menghulurkan telefon bimbitnya meminta saya membaca whatsapp dari seorang kawan yang dikatakan mewakili kawan yang bergaduh bergaduh dengannya.


Dia memanggil kakak Hayani dengan perkataan 'slut' atau perempuan murahan. Berbalas-balas whatsapp sehinggakan dia mengaku telefon bimbit kakak di rampas sebab dia yang report pada cikgu. Dia minta izin bawa telefon bimbit ke sekolah pada hari sekolah ganti dan salah saya sebab izinkan dan memang saya tidak marah semasa pergi menuntut kembali telefon bimbit tersebut. Dia juga mengatakan yang keluarga kami pelik sebab anak buat salah pun ibu-bapa tidak marah. Bagi saya itu adalah pengajaran buat kakak Hayani supaya lain kali dia tidak akan membawa telefon bimbit ke sekolah lagi, marah bukan penyelesaian terbaik.


Selepas panjang membaca apa yang tertulis sebagai ibu saya hanya memberi komen yang terbaik. Usah di layan usah panjangkan cerita, lagipun sekelas nanti setiap hari muka itu juga akan kita jumpa. Tidak perlu timbulkan konflik di dalam kelas tempat kita mencari ilmu. Kakak Hayani angguk.


Rupanya kisah tak habis disitu. Petangnya Kakak Hayani mendapat whatsapp warning dari ibu kawannya. 'Kenapa awak bergaduh dengan anak untie? Kalau apa-apa terjadi pada anak untie siaplah awak untie tak akan lepaskan awak dan akan cari awak'. What a fishhh!!! Budak-budak bergaduh boleh pula emak masuk campur. Saya tepuk dahi dan malas nak layan. Saya minta Kakak Hayani mohon maaf pada mak kawannya dan tak usah layan lagi dah keduanya lepas tu. Rupanya mak budak ni kalau anak mengadu apa-apa memang pergi ke sekolah dan cari budak yang gaduh dengan anak dia. Memang naik mukalah anak kalau gitu punya perangai mak.


Semua ibu-bapa sayangkan anak-anak tetapi bila mendidik perlulah didik secara adil jangan didik anak dengan membuta-tuli. Didik anak untuk berfikir sebelum membuat sebarang tindakan. Didik anak supaya berfikiran waras. Tak perlu menangkan anak-anak tak kira dia salah atau betul tetapi nasihat secara baik supaya dapat megelakkan perkara sebegitu lagi kelak. Sebagai inu-bapa jangan musnahkan masa depan anak-anak sendiri.



Hati Agar-Agar


'Mama kawan kakak Izza (bukan nama sebenar) nak oder biskut yang kakak bagi dia semalam tu (Cornflake Coklat)'
'Dia bayar le...'
'Dia nak buat apa biskut?'
'Dia nak bawak balik kampung'
'Mak dia tak buat biskut ke?
'Tak'
'Dia nak bayar ke, berapa?'
'Rm25'
'Dia nak satu bekas je'
'Duit tu mana dapat?'
'Dia kumpul'


Sambil menaip Whatsapp air mata saya berderai tak tertahan, sambil menaip entri ini puas air mata diseka tak ingin juga ia berhenti mengalir. Hati ibu saya dipagut pilu, sesak jiwa saya mengenang nasib dia. Dada bagi dipasak.


Anak sebaik dia terpaksa menerima ujian hidup yang pahit, menaggung derita mungkin dari sejak bergelar anak tiri diusia 3 tahun. Bagai jarum menyucuk-nyucuk hati bila terfikirkan soal dia. Trauma yang dia hadapi akan kekal sepanjang hidup dia.


Suatu hari kebenaran akan tersingkap jua. Doa yang terbaik buat dia. Doakan juga saya dapat membantu dia, moga Allah s.w.t mengizinkan saya untuk membantu agar dia dapat melalui hidup dengan tenang. Dapat merasa kasih ibu walaupun bukan dari ibu yang melahirkan dia.


'Duit simpan dia ke?
Allah...
Mama nanges kak.
Kesian.'
'Mama jangan le menangis'
'Kakak ada mama buatkan biskut raya...Izza tak ada mak nak buatkan biskut untuk dia...'
'Ambik le satu kotak Cornflake Coklat tu...'
'Okeyyy...'
'Cakap mama bagi, duit simpan buat belanja sekolah'


Hati saya umpama agar-agar bila berhadapan situasi sebegini. Anak tiri yang dilayan umpama ibu tiri zaman bawang merah bawang putih. Berbirat-birat serta berparut-parut diperut. Sampai hatinya seorang wanita yang Allah lahirkan lembut dan penuh dengan ehsan melayan seorang anak perempuan sebegitu. Walaupun tiada pertalian darah bukankah bila sanggup menerima bapanya sepatutnya juga dia melapangkan dada untuk menerima keseluruhan ahli keluarga lelaki tersebut.


Insyaallah bila segalanya selesai saya akan kongsikan di sini lagi. Kisah sedih seorang anak yang menjadi mangsa sebuah perceraian. Derita dan lara dihati yang disimpan sendiri. Ibu, ayah fahamilah hati anak-anak, jagalah kebajikan mereka walaupun sudah tidak bersama.



Ibu Tiri Zaman Bawang Merah Bawang Putih


Menyelusuri kehidupan yang terlalu banyak sangat cabaran yang kadang-kadang bahu terasa seperti tidak mampu lagi menanggung namun ditika lelah terasa sampai ke penghujung masih diberi kekuatan untuk terus menyusun langkah demi sebuah kehidupan. Cabaran tidak pernah putus namun itulah yang mengajar erti sebuah kehidupan, mendidik diri menjadi insan yang sentiasa bersyukur atas nikmat dari Allah s.w.t. Ujian itu memberi kekuatan untuk lebih gigih mencorak masa hadapan.


Kisah yang meruntun hati ibu saya hanya sebahagian kisah kehidupan biasa yang sentiasa mewarnai bumi. Dunia serba moden, ilmu di hujung jari tetapi masih ada insan-insan yang menyimpan duri di hati, membiarkan daging menjadi busuk kerana mengikut bisikan bertanduk di dalam diri. Merenung nasib dia terasa nikmatnya anak-anak yang kehilangan ayah tetapi masih ada saya sebagai ibu.


Saban hari Kakak Hayani akan bercerita mengenai seorang kawan sekelas yang akhirnya menjadi kawan baik. Dayana gadis manis kecil molek menangisi kehidupan dengan menjadi anak yang kuat, dalam derita kelam hatinya dia berusaha untuk membuktikan yang terbaik. Mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR dan berjaya menempatkan diri di Kelas Rancanga Khas (kelas bagi pelajar yang tidak berjaya ke asrama penuh).


Ibu-bapa berpisah kemudian bapa berkahwin dan Dayana berada di bawah jagaan bapanya, ibunya pula tinggal di Kuala Lumpur dan sangat sedikit cerita yang saya dengar mengenai ibunya. Ibu tiri mempunyai seorang anak lelaki yang sama umur dengan Dayana dan sekelas. Bila perangai ibu sebegitu anak juga akan mengikut perangai ibu jadi dengki dan iri hati menjadi sebati di dalam diri anak. Ada sahaja yang tidak kena pada pandangan mata mereka. Kadang-kadang Dayana menangis di sekolah kerana tidak tahan dengan perangai mereka. Suatu hari saya menghantar Hayani bersama kawan-kawannya ke rumah Dayana untuk meyiapkan kerja sekolah di rumah seorang lagi rakan dan paling tidak saya sangka bukan sekadar Dayana sahaja menjadi mangsa, kawan-kawan juga turut di marahi. Tidakkah kita ingin menjaga air muka anak di depan kawan-kawan mereka?


Si ibu tiri membezakan kasih anak tiri dan kasih anak sendiri. Belanja sekolah anak sendiri Rm5 si anak tiri Rm2 dan bagi saya apa yang dapat dibeli dengan duit sebanyak itu lalu nasihat saya buat Kakak Hayani bantu yang mana perlu. Tika menjemput anak di sekolah acapkali Dayana akan ditinggalkan dan terpaksa balik berjalan kaki sedangkan anak sendiri balik berkereta dalam hawa dingin. Di sebabkan ibu mendidik anak sebegitu si anak sendiri akan berlarian ke kereta dengan harapan si ibu akan meninggalkan si anak tiri dan itulah yang terjadi. Banyak lagi kisah sedih yang membebani hati gadis comel ini.


Saya menjadi terlalu sedih apabila suatu hari dia menyatakan bertapa beruntungnya Hayani kerana mempunyai ibu seperti saya. Sebagai seorang ibu saya sangat beremosi. Saya faham perasaan Dayana mungkin dia terusik melihat cara saya melayan anak-anak mahupun kawan-kawan mereka. Paling saya tidak faham tidakkah si bapa terusik melihat anak dilayan dan diperlakukan sebegitu atau tidakkah si ibu sendiri rela anak dilayan sebegitu oleh si ibu tiri. Apa yang saya tahu si bapa sangat sayangkan anaknya dan menurut apa sahaja pemintaan Dayana mungkin atas sebab itu si ibu tiri membina satu tembok untuk Dayana. Dendam. Iri hati. Hasad dengki


Kabur empangan mata menahan titisan jernih, kelam hati menanggung lara yang panjang, sakit di jiwa umpama tercucuk duri yang tajam. Doa saya agar gadis ini tetap tabah dan saya tahu hatinya sangat kuat walaupun jiwanya terdera. Kadangkala saya titipkan kata-kata nasihat buat Dayana melalui Hayani, memberi bantuan moral agar dia tidak hanyut mengikut rasa. Allah s.w.t memberi ujian hanya buat insan terpilih.



Bunga-bunga di taman hati saya moga saya akan terus menjadi ibu yang baik.


Kembar Lain Tahun


'

Kembar pertama saya Hasniza Abdullah beza umur 2 tahun, adik kesayangan merangkap tukang jahit saya. Banyak masa sedih dan masa suka kami kongsi bersama. Support each other. Dia nampak lembut tapi keras hati, saya pula nampak macam ganas dalam hati ada taman sikit-sikit meleleh air mata.




Kembar kedua saya Nurfatihah Hayani anak perempuan nan seorang. Bak kata seorang kawan copy & paste muka mak dia, nak tengok saya zaman budak-budak boleh le tengok anak saya katanya. Tapi sebenarnya depa tak tau dulu-dulu saya gemuk. 



Kongsi Kerja Rumah


Kakak balik bersekolah di Kajang sudah hampir sebulan, banyak juga yang perlu dibelanjakan untuk persekolahan tingkatan 1 sebab banyak benda yang kakak tidak beli semasa sekolah di kampung. Kakak pula berada di Kelas Rancangan Khas (bagi pelajar-pelajar cemerlang yang tidak dapat masuk ke asrama penuh).


Apapun mama tetap sangat gembira sebab dah ada geng di rumah. Teman gaduh-gaduh manja teman pergi shopping, teman pergi pasar dan teman buat kerja rumah. Lega! Kadang-kadang bila Sabtu ada aktiviti luar jadi Ahad sangatlah sibuk dengan urusan rumah. Meletihkan. Tetapi sejak ada kakak bab baju sekolah mama sudah boleh cuci tangan. Dari merendam, memberus, mengampai sehingga seterika kakak uruskan semua. Kasut sekolah adik pun kakak basuhkan dan kalau abang malas basuk kasut kakak basuhkan juga (alasanyua dia malu kalau kawan-kawan dan cikgu tengok abang selekeh ke sekolah). Yeyyyy...mama sangat-sangat gembira.


Rasa sedih pun ada juga, nampak sangat anak-anak sudah membesar. Masing-masing tahu tanggungjawab sendiri. Kalau balik sekolah abang akan uruskan adik dan kakak pula akan uruskan hal rumah terutama mengemas walaupun mama tak minta pun dia buat. Kerja sekolah pun boleh tahan banyak kadang-kadang tu kakak dan abang tertidur sambil menulis.


Petua saya mendidik anak senang sahaja. Didik mereka dengan kasih sayang, didik mereka dengan belas ehsan kepada ibubapa didik mereka kenal erti tanggungjawab masing-masing. Bila anak-anak faham semua itu insyaallah semuanya akan menjadi mudah. Bila anak-anak sayang ibubapa mereka tak akan buat perkara yang boleh melukakan hati kita walaupun dibelakang kita. Bila anak-anak ada ehsan mereka akan dengan rela hati membantu mana yang patut. Bila anak-anak tahu tanggungjawab masing-masing sebagai anak ibubapa akan lebih ringan dalam menguruskan keluarga.


Senyum dan airmata perkara biasa bersama anak-anak. Lelah semasa mereka kecil terasa berbayar dengan anak-anak yang sentiasa ringan tulang sesekali mereka memberontak adalah perkara biasa bagi anak-anak remaja cuma bila ada kasih sayang memberontak itu cuma seketika. Sesekali rindu kelelahan membesarkan mereka.



Prosedur Pindah Sekolah Menengah Dari Perlis Ke Selangor - Rimas Dengan Kerenah Kerani Sekolah


Tajuk sangat panjang.


Ini bukan kali pertama saya menguruskan perpindahan sekolah anak-anak. Pertama kali dulu Iqbal Hadi berpindah sekolah dari Kajang ke Perlis dan setahun kemudian menguruskan perpindahan dari Perlis kembali semula ke Kajang. Setahun kemudian menguruskan perpindahan Hayani anak ke dua ke Perlis. Kedua-duanya urusan pertukaran sekolah kebangsaan. Kini menguruskan semula pertukaran sekolah Hayani ke sekolah menengah di Kajang.


Kerenah birokrasi? Tidak bagi saya tetapi lebih kepada atitude kerja. Kakak saya telah pergi menguruskan perpindahan sekolah Hayani di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad tempat dia belajar sekarang. Di minta mengisi borang perpindahan, kepilkan salinan ic anak, ic mak (sebab duduk dengan nenek jadi ic neneklah), surat nikah (saya tak tahu apa fungsi surat nikah dalam urusan pertukaran sekolah). Anak saya bapanya sudah meninggal jadi tak ada surat nikah diberi.


Apa yang menjadi masalahnya sekarang kerani sekolah kata perpindahan mengambil masa 2 minggu. What? Mama dah naik hijau kejap sebab rasanya perpindahan sebelum ini hanya isi borang, kepilkan apa yang diminta dan dapatkan cop dan tandatangan pengetua dah selesai urusan sekolah asal. Kemudian bawa semua borang ke Pejabat Pendidikan Daerah tempat baru, bagi anak saya Pejabat Pendidikan Daerah Kajang. Dapatkan pengesahan dan tetapkan sekoalh pilihan kita. Bawa dokumen ke sekolah baru dan selesai. Anak boleh mulakan persekolahan di sekolah baru. Buku teks pun boleh bawa dari sekolah asal.


Hayani sudah beritahu guru kelas yang dia hendak tukar sekolah dan cikgu tiada masalah. Kata cikgu kelas Hayani nanti datang ambik fail pelajar sebelum balik ke Kajang untuk diberi pada guru sekolah baru. Saya tidak nampak ada masalah besar yang perlukan masa sehingga 2 minggu untuk uruskan perpindahan. Saya juga telah telefon ke Jabatan Pendidikan Kangar dan pastikan semua prosedur. Sepatutnya pengurusan hanya peringkat sekolah dan hanya melibatkan PPD sekolah baru sahaja.


Rasa nak marah! Kalau ya pun yang datang uruskan perpindahan sekolah itu orang kampung jangan anggap semua orang kampung tak reti berurusan dengan jabatan kerajaan. Kampung-kampung pun kampung ada ilmu tau!



Masa Pantas Bergerak



Masa kecil sekarang dah besar, rindu waktu mereka selalu gaduh, jerit-jerit dan nangis.


Keputusan Semakan MRSM Tingkatan 1


Sejak pagi laman web MARA gagal saya masuk. Kemungkinan besar ramai sedang cuba mendapatkan keputusan permohonan ke MRSM anak masing-masing. Petang baru saya dapat masuk. Hari ini dua kali hati saya agak terguris. Kakak Hayani gagal menempatkan diri di MRSM. Suara dia kedengaran sangat kecewa bila saya maklumkan pada dia pukul 3pm tadi. Dia berharap sangat dapat melanjutkan pelajaran ke MRSM.


Inilah yang saya dapat apabila memasukkan angka giliran Kakak Hayani. Sedih tapi saya redha.


Sebagai ibu saya juga sangat tersentuh, saya akui sedikit kecewa bertambah sedih bila mendengar keluhan kecil Kakak Hayani di hujung telefon yang sarat kekecewaan. Di mana-mana pun boleh belajar dan boleh berjaya, saya harap Kakak Hayani tidak akan menurut kata hatinya yang sedang kecewa.


Insyaallah bila rayuan di buka saya akan mencuba nasib lagi sekali. Mana tahu tiba-tiba ada rezeki Kakak Hayani untuk pengambilan ke dua. Berusaha sudah, berdoa sudah selebihnya kami bertawakkal dan inilah keputusannya, walapun sedikit kecewa saya tetap berpegang 'perancangan Allah s.w.t adalah lebih baik untuk kami'.