Saya pernah menulis berkenaan sakit
urat belikat yang di alami pada awal tahun 2013 dulu. Boleh rujuk ke
sini untuk entri terdahulu. Kesakitan yang teramat sangat membuatkan saya sanggup mencuba apa juga perubatan yang dapat membantu melegakan kesakitan tersebut.
Antara penyebab utama ialah kebergantungan penggunaan yang terlalu banyak terhadap tangan kiri. Walaupun saya tidak kidal tetapi banyak kerja-kerja mengangkat benda-benda berat saya lebih selesa menggunakan tangan kiri.
Contoh :
1. Menggalas handbeg/bagpack di bahu kiri.
2. Lebih selesa mengangkat beg yang berisi barangan menggunakan tangan kiri.
3. Mendokong anak di sebelah kiri.
4. Tidur mengiring sebelah kiri.
5. Anak suka tidur di atas lengan kiri.
6. Banyak menaip menggunakan tangan kiri manakala tangan kanan pegang tetikus.
Tiga bulan saya menderita sakit di urat belikat ini, kadang-kadang kesakitan yang tak tertanggung di rasai sehingga memaksa saya mengambil pil penahan sakit. Ada masanya kesakitan itu tidak sangat terasa dan saya boleh menjalankan rutin harian seperti biasa. Banyak cara yang dicuba untuk menyembuhkan sakit urat belikat saya.
Antaranya:
1. Sapu minyak panas. Tindakan ini akan menghilangkan sekejap rasa sakit kerana rasa panas minyak tersebut terhadap kulit kita.
2. Berurut. Kebetulan semasa mengalami sakit urat belikat saya melalui proses berpantang kerana keguguran jadi saya juga mengurut dengan membanyakkan urutan pada bahagian yang sakit.
3. Bertungku. Saya hanya tuam menggunakan beg panas di bahagian tersebut. Bagi saya tuam menggunakan beg panas akan lebih menyakitkan kerana mengakibatkan keradangan pada otot-otot bahagian yang kita tuam.
4. Tuam menggunakan ais. Ini adalah antara cara terbaik yang saya gunakan setakat ini. Saya bungkuskan ais di dalam plastik, baring dan letakkan pada bahagian yang sakit (baring atas ais jadi kena anggarkan kedudukan ais dan kedudukan tempat yang sakit, biar kulit terasa kebas).
5. Bersenam. Ini adalah penyelesian jangka panjang. Setiap pagi saya akan buat aktiviti regangan ringan selama 10 minit setiap kali bangun tidur, lebihkan aktiviti yang melibatkan bahagian tangan. Jalani ruti ini setiap hari.
Kebiasaannya sakit ini akan berulang jadi berhati-hatilah terhadap penggunaan tangan anda. Pilihlah makanan yang kita makan dengan tidak memakan makanan yang berunsur angin dan sejuk. Contohnya saya tidak makan sayuran menjalar seperti petola, kundur mahupun kangkung kecuali teringin sangat. Saya juga jarang minum ais. Makanan turut mempengaruhi kesihatan kita, jadi hati-hatilah semasa makan.