Murahnya Harga Air Mata

Sedih kita menangis. Gembira pun kita menangis juga. Bukan itu sahaja tengok orang gembira kita tumpang menangis, lihat orang bersedih pun kita turut menangis. Hati terasa tetapi mata pula menjadi mangsa tetapi hati yang menangis tiada siapa yang tahu.

Semalam dalam keletihan balik kerja almaklumlah merempit sendirian 60km pergi dan balik. Ada juga yang tanya kenapa tak naik pengangkutan awam. Ambik komuter dari Kajang ke KL Sentral kemudian tukar Putra LRT ke Ampang Park boleh juga sampai pejabat. Jun jawab masa. Kalau merempit ikut waktu sendiri, dah boleh budget masa. Kalau naik pengangkutan awam kena ikut jadual perjalanan. Terlepas train terpaksa tunggu lagi itu belum haru biru bila train ada masalah. Makin lewat sampai pejabat.

Balik ke pangkal jalan. Sampai rumah Pak tuan bercekak pinggang dengan muka yang menyinga di koridor depan pintu. Rupanya dia dah sampai dahulu kat rumah. Jun mula rasa tidak selesa. Tanpa kata masuk ke rumah. Tengok adik terbaring merekot di dalam bilik. Abang tak ada mungkin ke rumah kawan.

Pak Tuan masuk dan mula berleter. Anak-anak tak tahu sayang barang. Suka-suka bagi orang (anak-anak jiran) main laptop dan internet. Senang-senang biarkan orang guna barang sendiri, main game pulak tu. Barang-barang tu bukan murah nak dibeli. Abah dah kata tak suka orang usik barang-barang kat rumah ni dengar sikit cakap abah. Jun diam.

Masuk bilik tengok adik. Muka pucat. Trauma. Kena tengking dengan abah agaknya tapi tak menangis. Di hujung mata sedikit air mata bergenang. Mama sedih. Terbayang dimata ketakutan adik bila kena marah tanpa mama di rumah kerana abah bila marah memang tiada batasan. Siapa yang pernah kena memang serik. Mama menangis sambil peluk adik. Sedih tengok adik walaupun adik tak menangis. Kawan-kawan yang kena marah semua lari balik rumah. Jun dah naik segan dengan jiran-jiran.

Dulu-dulu bila abah marah abang, jauh di sudut hati memang terasa sangat marah dan kecil hati almaklumlah abang hanya anak tiri. Sekarang bila abah marah adik mama terpaksa akur memang tabiat abah macam tu. Walaupun adik anak abah tetap kena marah juga bila buat salah. Pantang besar anak-anak melanggar arahan abah. Abah sangat tegas dan panas baran. Pun begitu abah tak pernah pukul anak-anak atau maknya.

Hati seorang emak ini sangat halus. Walaupun kemarahan abah untuk kebaikan seorang emak akan cukup terasa. Kadang-kadang pekakkan telinga dari terus bergaduh menyakitkan hati. Bila kemarahan dah reda cakap juga dengan Pak Tuan. Belajarlah besabar. Banyakkan beristighfar. Kawal marah. Hujung tahun insyaallah akan pergi menunaikan haji. Di sana lagi kuat cabaran dan ujian. Belajarlah dari sekarang. Pak Tuan DIAM.


Utamakan Keselamatan

Bila mendengar berita semalam sepasang suami isteri meninggal dalam kemalangan hati menjadi sayu. Mereka menjadi korban atas kecuaian orang lain. Sedangkan ditika itu mereka berada di dalam situasi yang selamat secara logiknya. Korban Ramadhan yang pastinya meninggalkan kesan yang amat mendalam buat keluarga mereka.

Tak lama lagi pula musim perayaan. Ramai akan memulakan perjalanan jauh. Balik kampung. Pada ketika sebegini jugak kebiasaannya banyak kemalangan akan berlaku sebagaimana tahun-tahun yang lepas. Tanpa kita duga mungkin kita juga boleh menjadi salah seorang mangsanya.

Keselamatan bukan sahaja dijalan raya juga di rumah, di pasar raya, di tempat kerja atau di mana-mana sahaja. Jenayah berada dimana-mana. Bukan sahaja secara sembunyi malahan penjenayah sekarang berani melakukannya secara terang-terangan. Ambillah tindakan sewajarnya. Sekiranya kita terpaksa menghadapinya jangan cepat panik.

Buat semua utamakanlah keselamatan. Peka pada keadaan sekeliling. Belajar menjadi lebih pantas dalam setiap tindakan. Bersedialah menghadapi apa juga situasi. Bijaklah dalam membuat keputusan dalam keadaan yang terdesak.

Walaupun takdir ALLAH adalah rahsianya yang telah tertulis sekurang-kurangnya kita wajar berusaha.