Banjir Sampai Kena Pindah! Sejarah...Tercipta...

6:31 PTG JunAina 0 Comments

Selepas lima tahun sekali lagi kampung aku dilanda banjir besar, kalau dulu banjir yang memasuki rumah cuma separas buku lali tapi tidak untuk kali ini. Musibah kali ini lebih teruk dari dulu setakat hari ini 3.11.2010 telah 13,000 org mangsa telah di pindahkan. Sejarah jugak tercipta bila penduduk kampung aku jugak terpaksa berpindah ke pusat perpindahan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jawi termasuklah keluarga mak aku. Sejak dilahirkan rasanya inilah kali pertama banjir melanda kampung sehingga memaksa penduduk berpindah demi keselamatan.

Sedih..memang sedih, susah hati jugak mengenangkan kaum keluarga di kampung. Keadaan yang tidak selesa dihadapi di pusat pemindahan sementara terpaksa di telan juga. Memang ada bantuan tetapi sekadar keperluan dan segalanya alakadar sahaja tetapi syukur alhamdulillah dengan segala kemudahan walaupun kekurangan kerana banjir kali ini terlalu mengejutkan. Rumah mak boleh di kategorikan sebagai berada di kawasan yang agak rendah berbanding rumah `tok' (panggilan org perlis utk nenek) dan rumah pak teh (bapa saudara) yang terletak bersebelahan. Air telah naik sehingga paras lutut dan mereka semua terpaksa meninggalkan rumah untuk keselamatan. Tidak banyak yang dapat di selamatkan kerana air naik dengan cepat.

Antara faktor yang menyumbang kepada banjir ini adalah hujan yang turun di hulu dengan lebat, Siam pula telah melepaskan air kerana turut mengalami banjir terutama di Songkhla dan Hadyai. Empangan Timah Tasoh tidak mampu menampung isipadu air yang berlebihan dan untuk mengelakkan keadaan yang lebih buruk pintu air terpaksa dibuka manakala air laut pula sedang pasang jadi air tidak dapat mengalir ke laut. Banyak yang perlu kita belajar dari musibah kali ini, ianya bukan sekadar bencana alam atau tabie alam. Renung-renungkanlah...

Aku tiada di sana untuk menilai segalanya tetapi setiap kejadian pasti ada hikmahnya. Aku sangat-sangat berharap tiada yang akan menangguk di air yang keruh dan mengambil kesempatan atas bantuan serta dana yang disalurkan untuk mangsa-mangsa banjir. Pada suka relawan yang bertungkus lumus terima kasih dan hanya Allah (s.w.t) jua yang dapat membalas jasa kalian. Buat chenz (ap.com) & the geng yang bertungkus lumus 30 jam membantu mangsa banjir dan bila balik kereta sendiri pulak yang tenggelam, tentu ada hikmahnya. Rezeki mungkin tidak di situ mana tahu rezeki yang lebih besar akan datang selepas ini.

Gambar-gambar banjir yang aku paparkan di sini telah di copy dari ap.com tetapi malangnya tiada satu pun gambar kampung aku. Mungkin pada entri lain akan aku selitkan gambar-gambar kampung tercinta terutama gambar keadaan rumah mak di kampung.

Syukur alhamdulillah hanya banjir yang tak seberapa yang rakyat Malaysia rasakan, bukan tsunami, bukan gempa bumi apatah lagi muntahan lahar dari gunung berapi. Sebahagian ujian dariAllah (s.w.t) untuk umatnya, menguji kekuatan iman dan ketabahan hidup, selagi benyawa akan sentiasa ada ujiannya. Redzalah kita...










You Might Also Like

0 Rider Beraksi: