Kemalangan Sedikit Ujian Allah
Jumaat 1hb Mei saya bersama mak, adik, suami adik, anak-anak serta seorang anak saudara bergerak ke Kota Bharu Kelantan mengharungi perjalanan lebih kurang 470km, perjalanan mengambil masa 10 jam termasuk berhenti rehat untuk solat Jumaat dan solat Asar. Malamnya keletihan tika cuba melelapkan mata mendapat berita adik di kampung kemalangan. Gambar sebelum mendapatkan rawatan di hantar melalui 'whatsapp' tetapi kami tak tunjukkan pada emak sebab takut emak risau.
Kemalangan berlaku di sebabkan oleh 2 orang budak menaiki motosikal tanpa lampu di jalan berdekatan rumah, Shahizat cuba mengelak mereka lalu dia mengalami kecederaan yang agak teruk. Luka-luka paling banyak di bahagian kanan badan, tulang lengan kanan retak dan salah satu tulang bahagian belakang bahu patah. Selepas luka dicuci dan x-ray dia dibenarkan balik kerana tiada rawatan khusus untuk tulang yang patah. Sekarang emak mencuba rawatan alternatif. Saya tersiksa memikirkan keadaan dia, resah juga memikirkan emak pasti dia risau dengan keadaan anak teruna yang sedang sakit.
Kami adik beradik sangat rapat jadi bila melihat dia dalam keadaan begini rasa nak menangis, moga Allah ringankan sakitnya. Saya sentiasa memujuk yang pasti ada hikmah Allah berikan dia rasa sakit ini. Semakin sedih bila saya tidak dapat balik ke kampung untuk ziarah dia.
Sabtu 2hb Mei kami tetap meneruskan rancangan untuk bersama keluarga adik ipar ke Pantai Melawi, Bachok kerana chalet telah di tempah. Melayan kerenah anak-anak di sana sedangkan hati masih resah memikirkan keadaan adik walaupun ada Yong, Angah dan Adik Syafiq yang menjaganya. Keesokkan harinya selepas keluar dari chalet terus ke Perhentian Bas Ekpress cari tiket untuk emak, cuti umum kebanyakan tiket telah habis dijual hanya berjaya dapatkan tiket bas tambahan ke Alor Star. Redha.
Menaggung kesakitan tetapi hati dia resah memikirkan bengkel motosikal yang baru 2 bulan di buka di Tambun Tulang, takut pelanggan lari katanya sebab walaupun baru dibuka sambutan agak menggalakkan. Saya faham perasaan dia sebab dia kini mengambil alih tanggungjawab yang dipikul Angah dahulu. Seminggu berlalu dia sudah mula keluar rumah mencari alat ganti motor untuk bengkel didepan rumah mak yang itu pun perlu diuruskan juga. Saya sabarkan sahaja hati sebab sememangnya saya tak sanggup melihat adik-adik di dalam kesusahan.
Kami beruntung kerana ikatan kekeluargaan yang ada masih kuat, bila mak tak ada bapa saudara, emak saudara serta sepupu-sepapat datang berziarah. Rumah juga sentiasa penuh dengan kawan-kawan Shahizat dari siang sehingga ke malam. Alhamdulillah. Inilah untungnya orang yang sentiasa menjaga silaturrahim. Walaupun begitu tetap ada terselit sedikit sedih di hati bila ada antara saudara sendiri yang sibuk dengan urusan lain sehinggakan tiada masa menjengah walaupun rumah hanya sepelaung tetapi bila mak balik boleh pulak dia datang. Saya hendak meluahkan tetapi saya masih memikirkan untuk menjaga silaturrahim yang ada.
Setiap ujian datang bersama hikmah. Redha ubat hati paling baik. Senyum.
22 Rider Beraksi: