Memaparkan catatan dengan label keluarga. Papar semua catatan

Duit Tak Mampu Beli Rasa Bahagia

2016 telah masuk hari ke 8 bermakna seminggu sudah kita mengharungi tahun baru yang bagi saya agak mendatar buat masa sekarang. Tiada perkembangan menarik juga tiada berita buruk ingin diterima. Cuma kehidupan seharian agak tergangguu dengan berita-berita semasa mengenai tekanan hidup yang terpaksa dihadapi rakyat Malaysia. Tepuk dada tanyalah selera, kehidupan kita, kita yang rencanakan serta uruskan. Buatlah sehabis baik, jangan mengikut kehendak ikutlah keperluan utamakan kemampuan. Saya lebih suka mendengar dan melihat dari terus bercakap, merungut dan berdebat tanpa hasil. Saya takut bila terlalu banyak bercakap semakin banyak pula perkara yang tak perlu akan keluar.


Akhir tahun yang agak mengejutkan bila suami kakak ipar yang telah setahun menjalani pembedahan membuang tumor telah pergi mengadap Ilahi pada 23hb Disember pukul 8.15 malam. Arwah telah sihat, boleh berjalan, sudah boleh pergi shopping komleks dan bercuti ke Cameron Highland bersama anak-anak. Takdir Allah siapa yang tahu, dia kembali mengadap pencipta dalam kemalangan motosikal. Mengalami pendarahan otak dibahagian yang satu lagi bukan bekas kesan pembedahan. Allah lebih tahu.


Kesibukan menguruskan persekolahan anak-anak, menguruskan persiapan majlis perkahwinan adik membuatkan kami sama-sama lupa pada tarikh 26hb Disember. Pada 28hb Disember barulah masing-masing teringat tarikh ijab-qabul kami setelah masuk kerja kembali selepas bercuti 6 hari. Kesilapan bersama dua-dua pun lupa langsung, tak ada kek, tak ada bunga dan tak ada coklat tahun ini. 14 tahun berlalu ketawa dan air mata sebagai pemanis kehidupan pelengkap kebahagiaan. Moga Allah terus pinjamkan rasa bahagia ini lama lagi, terus pinjamkan dia sebagai pelengkap keluarga kami yang menjadi tiang seri kekuatan kami sekeluarga. Terima kasih Allah. Duit tak mampu beli rasa bahagia.




Suasana pejabat tetap sebegitu agak lembap perkembangan projek yang ada walaupun General Manager telah mengumumkan berita gembira beberapa minggu yang lalu tetapi itu bukan menjamin kami akan terus nikmati apa yang ada sekarang untuk hari-hari seterusnya. Doa yang terbaik agar ekonomi akan semakin pulih, hari ini mungkin kita bekerja tetapi esok siapa yang tahu apa yang berlaku. Rezeki itu tetap milik Allah, berusahalan kita untuk yang terbaik moga Allah memberi yang terbaik buat kita. Satu pintu ditutup insyaallah akan ada 2-3 pintu lain akan dibuka buat kita.





Bayang-bayang Hari Tua


Bila tengok anak-anak yang sudah besar di depan mata terasa cepatnya masa berlalu, rindu masa mereka kecil yang sentiasa meriuhkan rumah. Rumah yang sentiasa bersepah dengan mainan di lantai, tak pernah sekemas rumah orang lain. Sekejap kemas pusing ke dapur tengok bersepah lagi. Belum hiruk pikuk anak-anak bermain, bergaduh berebut barang mahupun berebut siaran tv kegemaran masing-masing. Kadang-kadang mama pun tumpang pening mencari botol susu yang di mana minum kat situ letak, kadang-kadang bergolek ke bawah sofa, meja makan bawah kabinet dapur mahupun bawah katil. Stress sangat rasanya.







  
Bila berjalan pula terpaksa siapkan beg susu dan pampers serta makanan untuk mereka selain dari baju sebagai bekalan sekiranya tiba-tiba pampers yang digunakan bocor atau anak-anak muntah. Masa anak-anak kecil banyak belanja di habiskan untuk susu, pampers dan untuk bayaran penjaga. Waktu itu perbelanjaan itu menjadi keutamaan. Memilih pampers yang bagus juga adalah perlu untuk mengurangkan perbelanjaan, kalau murah sangat cepat pula bocornya kalau yang mahal pula tak mampu di beli jadi sebagai ibu perlu bijak membuat keputusan dan semua itu memerluka ilmu juga. MOM TIPS: HowTo Choose The Right Diaper For Your Baby. Extra Dry, Super Comfy. Makanan pula biasanya bubur nasi di masak sendiri, bekalan nestum sebagai tambahan juga biskut buat kudapan anak-anak. Semua dibekalkan dan dihantar ke rumah penjaga.




Sekarang masing-masing sudah besar sudah jadi anak dara dan anak bujang, meriah rumah semakin berkurang, masing-masing sudah menjadi kawan mama. Tinggi ketiga-tiganya sudah melebihi mama. Sesekali terdengar juga riuh-rendah di rumah bila si abang mengusik dan menyakat adik-adik, kakak pula pantang di usik nyaring sahaja suara dia menjerit manakala adik pula kalau disakat melentinglah cuma kadang-kadang bila mereka bermain seperti anak kecil berlari di dalam rumah pening juga dibuatnya.

 




Masa mereka bersekolah masih ada di rumah dapatlah menjadi kawan tetapi bila masing-masing mula melanjutkan pelajaran ke kolej nanti semakin sunyilah rumah. Abang dan kakak cuma berselang setahun kemudian tinggallah adik yang akan mengikut jejak abang dan kakak 3 tahun kemudian. Tika itu rumah akan menjadi terlalu sunyi, tiada lagi suara mereka memeriahkan rumah. Tiba-tiba rasa sebak. Bayang-bayang hari tua semakin mendekat rupanya. Fitrah kehidupan namun masih banyak lagi perkara lain yang boleh di buat untuk mengisi masa sehingga tiba detik itu gunakalah sepenuhnya masa yang ada bersama mereka.




Bengkel Motor Kena Pecah


Cabaran orang berniaga memang tak dapat dijangka terutama sekali dalam bab sakit hati serta dengki mendengki. Sebagai peniaga seharusnya bersedia mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran yang satu ini kerana kita tidak mampu untuk merubah sikap manusia. Paras dengki itu akan bertambah tinggi seiring dengan kejayaan setiap peniaga, semakin berjaya semakin ramai yan sakit hati dan sakit mata melihat. Maka bermula juga tindakan-indakan yang tidak sepatutnya berlaku yang berlawanan  dengan hukum mahupun undang-undang.



Pemegang mangga kena ketuk. Operasi mungkin sebelum subuh sebab kedai sebelah menyebelah beroperasi sehingga 1am dan gerai burger kat depan pun 2-3am baru tutup.



Adik saya Muhammad Shahizat tuan punya JMR Motorwork di Perlis tak terkecuali menghadapi situasi sakit hati dan dengki ini walaupun perniagaannya tidaklah segah Chin Hin Motor yang terkenal di Kedah/Perlis. 27hb Oktober 2015 bengkel kecil berdekatan Kolej Komuniti Tambun Tulang dipecah masuk, pelbagai barangan hilang dan paling menghairankan stok spare part motosikal tak di usik, duit sewa kedai yang terselit di celah-celah resit masih ada yang hilang adalah perkakasan untuk bekerja seperti spanar dan lain-lain. Nampak dia sangat tenang namun dia luahkan juga rasa kecewa kepada anggota yang mengambil keterangan di balai. Katanya `Saya tak kisah kalau masuk ke kedai ambik barang-barang lain tapi dia ambik pancing macam mana saya nak mengail lagi?’.




 



JMR Motorwork Tambun Tulang spare part tak terjejas tetapi barang-barang untuk buat kerja yang hilang.



Spanar yang hilang adalah barangan kesayangan dia tanpa spanar kerja tak boleh nak buat, selain itu ada 3-4 barang lain lagi hilang yang harganya setiap satunya melebihi seratus ringgit. Satu set spanar berjenama SATA yang hilang pula bernilai lebih Rm1800, barangan kesayangan dia pulak. Kesemua barangan yang dicuri adalah yang boleh dibawa dengan tangan kemungkinan pencuri itu datang dengan motor, pecahkan pemegang mangga di pintu depan ambil barang dan pergi dalam keadaan tergesa-gesa sehingga lupa menutup pintu.



JMR Motorwork kedai utama di Pida Dua Sekerat kedai ini depan rumah mak sahaja.


Semua barang kena beli semula kalau dapat dana seperti ni tak apa juga `10 Super Awesome MalaysianBusinesses: Which One Do You Think DeservesRM250,000?’ boleh berangan untuk mulakan perniagaan yang lebih besar tanpa perlu memeningkan kepala. Bukan setakat berangan boleh terus mulakan besarkan perniagaan di kedai baru yang lebih bagus. Adik saya pun bermula dari rumah, kemudian buat bangunan depan rumah mak jadikan bengkel daftar perniagaan secara sah, hadiri kursus anjuran pelbagai agensi kerajaan terutama MARA. Kemudian mendapat pinjaman dari TEKUN dan MARA. Semua itu bukan terbina sekelip mata semua itu memerlukan usaha dan kerja keras. Bila mula berjaya sedikit timbul iri hati, dengki kianat sedangkan mereka enggan berusaha.


Perkara mula-mula bila tengok keadaan kedai dia bagi tau mak yang ada bersama. Allah s.w.t sedang mengatur yang terbaik buat dia, moga siapa yang ambik barang-barang dalam begkel dia mendapat petunjuk tanpa ada riak kecewa di wajah dia tetapi hati menangis siapa yang tahu. Sebagai kakak perkara yang sama saya bagitahu insyaallah ada hikmahnya. Allah lebih mengetahui dan Dia tak akan menganiaya hambanya dan tidak akan juga menguji kepada yang tidak mampu menaggung.



Walaupun kecewa semangat tetap tak hilang JMR Motorwork di Kampung Pida Dua Sekerat dan Tambun Tulang tetap beroperasi seperti biasa.



Mati Tak Menunggu Sakit Berat

Pagi ini 23hb September 2015 keluarga besar kami di kejutkan dengan pemergian suami kepada sepupu emak yang berusia 47 tahun. Itulah hukum Allah buatnya diambil ketika usia masih muda tanpa sakit lama dan berpanjangan. Kejutan buat semua keluarga namun Allah s.w.t lebih mengetahui yang terbaik buat setiap hambanya. Pergi di ketika umat Islam seluruh dunia sedang berwukuf di Arafah. Moga makbullah doa-doa mereka yang menziarahi arwah hari ini.


Pada mulanya arwah Pak Long Kamal Bin Harun mengalami demam, setelah 10 hari itupun selepas puas dipujuk isteri, beliau mendapatkan rawatan di hospital dan ditahan untuk rawatan lanjut. Disahkan menghidapi denggi tetapi kesihatan arwah  semakin merosot kemudian doctor mengesahkan pula dia mengidap batu karang. Hanya dalam masa 4 hari dia koma dan dimasukkan ke ICU kerana kegagalan kedua-dua buah pinggang berfungsi. Hari kelima arwah menghembuskan nafas yang terakhir. Pergi tanpa menaggung sakit yang terlalu lama.


Lelaki tetap tinggi egonya, keras kepala dan sangat takut bila disebut doktor mahupun hospital apatah lagi sekiranya perlu mengambil ubat secara rutin. Berbeza dengan wanita yang lebih perihatin dengan kesihatan diri, terasa kelainan pada badan cepat-cepat berjumpa doktor. Mungkin salah satu sebab sakit arwah menjadi tenat dalam kadar yang cepat kerana mengabaikan rasa sakit yang sedikit pada badan dengan alasan masih mampu bertahan  dan bila penyakit dikesan telah berada ditahap yang agak serius.



Itu bahagian dia kita pula entah bila moga bila saat-saat itu menjelma kita sudah cukup bersedia dan menghadapinya dengan senyuman. Doa setiap kali solat agar Allah s.w.t permudahkan perjalanan hidup juga perjalanan mati buat kita semua. Mati tak menunggu sakit sebaliknya apabila tiba waktunya malaikat maut tanpa tercepat mahupun terlewat sedetik pun akan tetap menyapa dan membawa nyawa kita pergi. Tinggallah tubuh terbujur kaku menjadi ratapan insan-insan kesayangan kita.



Rindu Serindu Rindunya


Pagi ini Ahad 7hb Jun mak saudara di Puncak Alam post sesuatu di FB mengenai arwah tok ayah, hati jadi sebab sangat air mata tanpa dipinta membasahi pipi. Lemas. Hati sangat-sangat terusik. Sedih. Sebak bersatu dijiwa. Perasaan yang hanya Allah sahaja tahu.


Saya ditakdirkan menjadi yatim sejak berusia 2 tahun bila arwah abah meninggalkan kami dalam kemalangan di Ladang Tebu, milik Felda di Chuping Perlis. Sejak itu kami mendapat kasih sayang seorang ayah dari arwah tok ayah iaitu ayah kepada emak. Kami berpindah dari Sungai Serai, Chuping berdekatan Batu Bertangkup untuk tinggal bersebelahan rumah tok ayah kerana ketika itu kami 4 beradik masih kecil. Usia emak pun sekitar 26 tahun.


Setiap yang hidup pasti akan pergi mengadap Ilahi. Ketika saya berada di IKM arwah tok ayah pula pergi mengadap Ilahi 3 hari menjelang 1 Syawal. Saya jauh tiada berita dikirim, bila pulang insan kesayangan saya tiada dipangkin depan rumah seperti kebiasaannya menunggu kepulangan cucunya. Selepas berbuka puasa barulah tok datang ke rumah membawa khabar. Air mata bukan ubat lagi ketika itu...


Sehingga kini saya sentiasa rindukan dia sebagaimana seorang anak rindukan ayahnya. Saya rindu setiap bait kata-katanya, saya rindu pada renungan mata marahnya kerana apabila dia marah dia jarang bercakap cuma merenung sebagai isyarat, saya rindu untuk mendengar leterannya kepada kami cucu-cucunya. Paling saya rindu setiap kali dia pulang dari nat (pekan sehari) dia akan duduk dipangkin dibawah rumah membahagi-bahagikan buah yang dibeli kepada setiap seorang dari kami.


Saya banyak menghabiskan masa tinggal bersama arwah tok dan tok ayah sebab bila mak berpindah mengikut ayah tiri saya masih tinggal di situ kerana enggan pindah sekolah hanya hujung minggu saya pulang ke rumah emak. Makan, minum dan sekolah saya banyak diuruskan oleh tok dan tok ayah ketika itu. Tok ayah juga adalah Pengurusi PIBG tempat saya bersekolah dan semasa di sekolah menengah dia telah berjumpa dengan guru di sekolah supaya nama saya dikeluarkan dari mana-mana aktiviti sukan kerana mengidap asthma sedangkan saya memang suka bersukan.


Kegemaran arwah tok ayah adalah kopi pekat secawan kopi dengan 3 sudu kecil kopi dan 2 sudu kecil gula pekat dan pahit. Bila tiba Ramadhan arwah tok akan menyediakan agar-agar sirap yang kami panggil agar-agar merah bila berbuka agar-agar dipotong dimasukkan ke dalam gelas berisi air dijadikan pembuka selera apabila berbuka. Sirap agar-agar kegemaran dia!




Kenangan itu ada ketikanya membuatkan hati saya sangat sakit. Saya pernah melukakan hati dia demi dia saya cuba berubah berusaha untuk berubah berusaha untuk berjaya. Saya sayang dia. Rindu yang menggunung tak mungkin ada ubatnya. Al-Fatihah buat arwah tok ayah Senapi Bin Man.


JMR Motorwork


Hidup dia penuh cita-cita yang dicapai sedikit demi sedikit atas sokongan keluarga. Hatinya cuma tergoda dengan kerja-kerja bergelumang minyak hitam. Kini dia menghitung sedikit demi sedikit kejayaan. Sedikit berbeza dari budak-budak lain dia memilih untuk mencari 9/10 rezeki yang dijanjikan Allah s.w.t. Maka lahirlah JMR Motorwork dari sebuah angan-angan menjadi kenyataan dan semakin berkembang.





Semangat yang ada pada anak nombor  lima emak memang sedikit berlainan. Mengikuti Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik kemudian menghabiskan peringkat Sijil Teknologi Motorsikal di Giatmara dan seterusnya menongkah arus ke bidang masakan di Kolej Komuniti dicelah kesibuakn menguruskan bengkel motor.  Dua cabang berbeza yang mungkin ada misi kedua yang ingin digapai.






Shahizat Bin Rosle pemilik JMR Motorwork yang terletak di Kampung Pida Dua Sekerat, Jalan Changkat Jawi kini boleh berbangga dengan usahanya. Bermula hanya dari rumah kini dia mampu menjalankan operasi di sebuah bengkel dengan kelengkpan yang sempurna. Cawangan ke dua pula di dalam perancangan dan usaha kearah itu giat dilakukan. Walaupun ianya hanya sebuah perniagaan kecil dengan keazaman yang ada moga perniagaan dia berkembang serta mampu bersaing secara sihat.





Jatuh, bangun perniagaan asam garam kehidupan. Sebelum berjaya pelbagai ujian datang dan pergi kekuatan semangat serta dorongan keluarga membuatkan dia tidak mudah mengaku kalah. Adat Melayu berniaga di kawasan kampung sebelum bermula sudah ada nista dilemparkan, ketika mampu berdiri ada tuba yang dituang namun penyerahan hanya pada Allah s.w.t membuatkan hati dia sentiasa redha dan Allah tidak akan selamanya menguji.





Entri ini di dedikasi khas buat adik tersayang yang membina sedikit demi sedikit kejayaan walaupun pada mulanya kami seakan tidak setuju dengan keputusannya dan akhirnya memberi sokongan penuh pada kerjaya pilihan dia. Suatu hari moga JMR Motorwork akan segah nama-nama besar taikun permotoran di Kedah/Perlis yang selama ini lebih dimonopoli oleh bangsa asing.



Shahizat (kiri) dan Syafiq adik bongsu yang juga mempunyai minat yang sama dengan abangnya, menjadi pembantu walaupun mak mengharapkan untuk adik menyambung pelajaran dan kerja bergaji tetap. Berusahalah demi rezeki selebihnya serah kepada Allah s.w.t kerana sesungguhnya Dia sebaik-baik perancang.


Siti Robeah Syed Jamalin 28.03.41 - 8.9.14 Dalam Kenangan


Pagi saya publish cerita kami sekeluarga menziarah kakak Pak Tuan yang sedang sakit di Hospital Changkat melintang dan kemudian dipindahkan ke Hospital Baling kerana lebih dekat dengan anak yang akan menjaganya. Tanggungjawab seorang anak, istei serta ibu tetap perlu digalas dalam waktu yang sama. Itulah jalan terbaik.


Pukul 3.00 pm saya dapat panggilan dari kakak nombor 3 Pak Tuan mengatakan Chor sedang tenat sedang semalamnya diberitakan yang dia semakin sihat. Bantuan pernafasan sudah mula diberi secara berkala bukan lagi 24 jam. Dia juga sudah mula makan bubur nasi dengan agak banyak serta sudah mampu bercakap. Rupanya dia hanya menyedapkan hati insan-insan di sekelilingnya. Tepat 3.45pm telah sampai hukumnya Siti Robeah Syed Jamalid telah pergi menemui penciptanya. Kesedihan memenuhi ruang di hati, ibu mertua telah kembali ke rahmatullah 5 bulan yang lalu sedih masih terasa kini kakak ipar pulak pergi. Kesedihan berganda.


Bertolak dari rumah dengan anak-anak pada pukul 8.30 malam, tiba di Kampung Ekor, Bota Kiri pada pukul 12 malam. Tak mampu rasanya kaki melangkah. Hening. Suram bukan seperti selalu. Jenazah terbaring kaku. Semuanya telah disempurnakan di rumah menantunya di Kroh, dimandiakn, dikafankan dan disolatkan di sana dan dibawa balik ke Bota Kiri atas permintaan Pak Tuan. Hanya bahagian muka dibuka keesokan harinya untuk memberi peluang kepada anak-anak serta saudara dan jiran-jiran memberi penghormatan terakhir. Sekali lagi di solatkan di masjid berdekatan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di belakang masjid.


Usai majlis pengkebumian awan hitam mula berarak, cuaca yang tadi cerah tiba-tiba menjadi gelap. Sebaik sampai kembali ke rumah Chor hujan membasahi bumi, lebat kemudian renyai-renyai dan berhenti. Cuaca yang tadi hanagt tiba-tiba menjadi sejuk. Semoga Allah s.w.t memudahkan urusan dia di alam barzakh.


Cerita duka dua kehilangan ahli keluarga suami tahun ini sedangkan tahun lepas kami juga di uji dengan berita sedih di pihak keluarga saya. Kehilangan ibu saudara, seminggu kemudian saya keguguran dan selang tiga bulan nenek pula mengikut emak saudara menemui sang pencipta. Al-Fatihah buat semua keluarga yang telah dahulu mengadap Ilahi. Hanya doa dan ayat-ayat suci Al-Quran yang mampu dikirim buat mereka. Moga Allah s.w.t mempermudahkan urusan mereka dan urusan kita kelak.




Jangkitan Kuman Di Paru-Paru


Hari ini genap 12 hari kakak Pak Tuan yang sulung di masukkan ke hospital akibat dari jangkitan kuman di paru-paru. Masih bergantung dengan oksigen sepemuhnya. Di usia 73 tahun tak banyak yang boleh diharapkan dan hanya doa dititipkan agar kesihatan dia pulih segera. Semuanya bergantung kepada dayatahan tubuh dia untuk menerima antibiotik yang diberi dan melawan sakitnya. Punca mungkin dari batuk yang berpanjangan. Tinggal sendirian hanya kadang-kadang anak cucu menjengah tiada siapa memastikan dia makan ubat.


6hb April 2014 mereka kehilangan ibu jadi bila doktor memberitahu bila-bila masa sahaja jantungnya boleh berhenti semua jadi terkaku. Dia kakak sulung menjadi pengganti ibu kini lemah tidak berdaya. Khamis dimasukkan ke hospital Changkat Melintang, Bota Kanan dan semua adik beradik dan anak-anak dimaklumkan keadaannya. Sabutu kami bergegas balik ke sana, ziarah. Semua anak-anak Chor ada di sisi.





Sampai di katal Pak Tuan memeluk dan cium Chor berkali-kali sambil membisikkan kami datang ziarah dia, buka mata kemudian dia lelap lagi. Sedih. Selalunya bila balik ke Bota Kiri menjadi rutin singgah ke rumah dia menghantar barang dapur, hari ini arah kami sedikit berbeza ke hospital. Dia hanya kakak ipar tetapi umur dia melebihi umur emak saya sendiri jadinya kasih dan ehsan saya umpama kasih yang tumpah pada seorang ibu.



Anak-menantu Chor yang memenuhi ruang hospital, juga kami sekeluarga yang datang menziarah. Saya duduk di sisi Chor membisikkan zikrullah memberi kata-kata semangat kepadanya. Sesekali mengusap belakangnya bila dia batuk, membetulakan wayar-wayar ditangannya setiap kali berpusing.



Anak Chor yang menjaganya di hospital bersama kakak nombor empat Pak Tuan, dulu dia bertugas sebagai nurse di hospital yang sama sekarang sudah bersara.

 

Ini kakak Pak Tuan yang nombor tiga tinggal di rumah pusaka arwah emak juga sedang meniti usia senja. Moga Allah s.w.t memberi kesihatan yang baik buat mereka.


Semalam Chor dipindahkan ke Hospital Baling kerana tiada waris yang akan menjaganya di Hospital Changkat Melintang. Anak-anak mempunyai tuntutan tugasan masing-masing jadinya anak perempuan sulung yang tinggal di Kroh ambil tanggungjawab untuk jaga emak. Syukur alhamdulillah Chor dapat menantu yang baik dan bertanggungjawab. Saya berharap anak-anak yang lain tidak akan lepas tangan dan tidak lupa tanggungjawab mereka sebagai anak.

Beraya Cara Keluarga Besar Kami


Hari raya pertama banyak masa dihabiskan di rumah menerima kunjungan tetamu jauh dan dekat, alhamdulillah tahun ini anak cucu serta cicit Almarhum Tok Ayah Senapi Man dan Almarhumah Saripah Salleh masih berkumpul seperti dulu. Keluarga besar kami. Silaturrahim ini moga terus berpanjangan. Syukur padamu Allah. Mak macam biasa bila anak bungsu beraya di Kelantan dia sedikit lemau raya pun mak macam tak ceria.


Beraya di rumah Pak Tih Hussin adik mak sebelah menyebelah sahaja, paling terkesan bila tengok Angah lengkap berbaju melayu dan bersampin. Berubah juga akhirnya abang aku ni bisik hati, selama ini hari raya dia sama sahaja seperti hari biasa sejak ada isteri kenalah ikut rentak orang berkeluarga.





Rumah mak memang bersila jelah jangan hairan sebab kebanyakan rumah kampung di Perlis masih mengekalkan duduk di lantai. Rumah mak saya memang tak ada sofa bagai, lapang dan senang nak mengemas. Edisi mak menakan, pak menakan dan sepupu sepapat beraya di rumah mak. Gambar di atas my Pak Long dan isteri ke tiga dia.






Inilah raya cara keluarga besar kami pergi raya ramai-ramai 7-8 biji kereta, masak nasi sama-sama, pusing rumah kait kelapa muda, panjat pokok buah yang ada, petik ulam keliling rumah, ligan ayam-itik tuan rumah, buli kucing tuan rumah kemudian makan sakan-sakan atas pelenggaq tepi bendang. Lauk kampung yang boleh membuatkan semua orang kecoq ayaq lioq! Tahun ini mata kucing dah kena serbu pada hari raya pertama kami tengok putik mata kucing sahaja. Hidangan nasi putih, masak lemak kubis, som tam, ayam goreng, ikan goreng, ulam dan sambal belacan pada hari raya kedua.


  



Lepas kenyang makan kami serbu kolam pulak. Main jala-jala dalam kolam sekali dapat ikan besar! Aktiviti wajib setiap tahun di rumah adik mak Pak Njang Ismail di Hutan Lembah, Mata Air, Perlis.




Balik dari mata air ramai-ramai singgah di rumah Makcik Yati adik mak jugak. Makan mee kari kali ini terus ke dapur tak yah nak di layan bagaikan tetamu sangat buat macam rumah sendiri.


Raya adalah masa untuk mengeratkan silaturrahim, saban tahun itulah gaya kami berhari raya. Sedikit berbeza dari keluarga orang lain mungkin tetapi itulah 'Cara Keluarga Besar Kami Berhari Raya'. Ada orang sukar menerima tetapi apa saya kisah!




Menu Gemilang Sepanjang Ramadhan


Saya jarang kongsi gambar-gambar makanan di blog sejak Ramadhan yang lalu, bukan tak masak tetapi apa yang dimasak hanyalah makanan biasa-biasa yang tetap istimewa di hati anak-anak. Menu yang sama diulang saban minggu dan mereka tanpa jemu makan penuh berselera. Hujung mingu selalunya akan ada sedikit kelainan menu sebab saya ada sedikit ruang masa untuk mengubah sedikit selera berbuka.



Menu utama anak-anak tetap menjurus kepada nasi, sesekali saya tambah dengan menggoreng mee atau kueateow yang kemudian akan menjadi makan lewat malam mereka. Pada hari bekerja mungkin saya akan menambah juadah dari bazar seperti roti john atau murtabak. Kuih pula hanya sekali-dua awal Ramadhan dulu saya beli selepas itu tak ada lagi sebab kadang-kadang kuih anak-anak tak makan pun.



Buah Melaka versi tak rajin hanya berwarna putih, kuih paling senang untuk disediakan Ramadhan ini tak ambil masa lama pun.



Buah Melaka versi rajin ada ada warna merah dan hijau asli daun pandan, wangi je baunya. Ini adalah hasil air tangan anak dara untuk abahnya bawak ke surau, majlis berbuka puasa.

  

Daging goreng cili yang dilebihkan sedikit manisnya, terlebih minyak. Gambar ini adalah gambar sebelum puasa tapi menu repeat Ramadhan pula gambar tak ada.



Tauhu sumbat cicah kuah kacang sebabnya bagi orang Perlis tauhu mahupun cucur udang di cicah kuah kacang bukannya sos pencicah seperti di Kuala Lumpur. Saya tahu sayur-sayuran saya dipotong kasar, mengejar masa berbuka. 



Sup daging yang boleh di makan dengan nasi mahupun dimakan dengan bihun yang dicelur. Berbuka makan bersama nasi untuk makan lewat malam anak-anak celur saha bihun. Senang kerja mak tetapi bila buat sup saya terpaksa buatkan juga sambal untuk mereka.
Menu Sabtu yang sedikit kelainan dari hari biasa. Kambing goreng black paper. Perap daging kambing dengan bawang putih, bawang merah, halia yang ditumbuk, sos tiram dan tentunya lada hitam. Anak-anak suka kejap je habis sepinggan.

Orang Perlis memang tak dapat lari dari menu gulai (kari) orang tempat saya memang begitu kari adalah gulai. Gulai ikan pelaling yang menjadi kesukaan anak-anak, tak perlu ikan besar-besar. Makan bertambah-tambah.


Ada jua menu-menu lain yang saya  buat terutamnya yang berunsur sambal yang sangat sinonim dengan anak-anak. Saya masak sambal kosong satu kuali di hujung minggu dan simpan peti ais. Bila nak masak sendukkan sambal panaskan tambah udang, sotong, ayam goreng, ikan bilis atau apa-apa sahaja mengikut selera. Jika suka boleh tambah bawag besar atau bawang holland jugak.


Saya memasak tetapi tidaklah masak sakan-sakan masakan biasa-biasa cuma bezanya di hari biasa saya cuma kadang-kadang memasak berbanding Ramadhan kali ini Allah s.w.t beri kelapangan masa lalu masa yang ada saya manafaatkan untuk memenuhi selera anak-anak. Mengambil kesempatan waktu lapang yang ada sebelum Allah berikan masa sibuk.