Sakitnya Tu Di Sini Epilepsy
Hampir dua minggu berlalu 11hb Mac jam 6.45am tetapi setiap kali teringatkan detik-detik dia rebah, menggelupur, kejang, mulut berbuih dan terus terkulai diam hati bergetar dan berdebar-debar. Ketika itu terasa seolah-olah dia akan pergi meninggalkan saya. Cepat-cepat beristighfar membaca apa yang terlintas di kepala kemudian berdoa agar perkara tersebut tidak akan berulang lagi. Sebagai ibu hati menjadi terlalu rapuh bila berhadapan situasi anak-anak yang sedang menaggung derita.
Saya tidak bersedia untuk menghadapi situasi tersebut, semasa dia berumur 10 tahun sekali dia pernah mengalaminya tetapi dalam keadaan sedar. Kali ini agak berlainan bila dia kejang seluruh badan, rebah tidak sedarkan diri, Jiran yang kebetulan hendak pergi kerja sampai dulu, kemudian jiran sebelah rumah berlari membawa ais dan tuala yang dilap kebadan Iqbal Hadi. Adik dan suami datang memberi bantuan apa yang patut dan saya hanya kaku memandang dengan dada yang bergetar namun tiada setitik air mata yang jatuh pun di pagi tersebut.
Pada mulanya saya menghubungi ambulans kemudian saya membantalkannya dan membuat keputusan untuk membawa sendiri ke hospital setelah dia separuh sedar. Mendapat rawatan awal di KPJ Kajang Specialist dan kemudian di pindahkan ke KPJ Ampang Puteri kerana Neuro Specialist sedang bercuti panjang kerana patah kaki. Kemudian saya memandu pula ke Ampang walaupun hati sangat gusar mulut saya tidak henti berzikir dan berdoa agar tiada apa-apa yang serius.
Rawatan awal di KPJ Kajang Specialist. Separuh sedar tambah air, ambil darah dan ECG. Alhamdulillah semuanya normal tetapi perlu berehat di hospital untuk pengawasan 24 jam. Hati ibu tetap resah walaupun dia sudah mampu bercakap.
Sampai di KPJ Ampang puteri terus di rujuk ke bahagian Kemalangan dan Kecemasan daftar untuk masuk wad sekali dan dibawa ke bilik rawatan untuk berehat sementara menunggu katil kosong kemudian menjalani brain MRI. Masa ini saya sedikit lega bila dia mula bercakap, minta minum dan makan. Nasib baik sebelum itu saya sempat singgah membeli nasi lemak semasa balik mengambil barang di rumah. Kakak ponteng sekolah tolong jagakan abang sementara mama bawak kereta, dua-dua tak ambil peperiksaan. Sistem sekolah sekarang sekiranya tidak hadir semasa hari peperiksaan tiada ulangan peperiksaan boleh diambil kecuali murid tersebut mewakili sekolah dalam acara tertentu.
Doktor Lim Poh Hin Neuro Specialist sedang membuat ujian fizikal. Ujian keseimbangan berjalan, ujian mata, ujian tindakan reflect bagi kedua belah badan kiri dan kanan, ujian kekuatan tangan dan kaki untuk mencari andai ada kelainan bagi kedua belah badan tersebut. Alhamdulillah segalanya normal. Sebenarnya doktor pakar ini bertugas di Hospital Serdang.
Kami bermalam di hospital saya hanya merebahkan diri di atas sejadah disebelah katil dan Kakak Hayani pula tidur di atas sofa di lounge untuk bilik 4 katil tersebut. Adik Hikram tinggal bersama Umi dan Ayah. Hari ke dua kami berkampung di KPJ Ampang Puteri dia menjalani EEG iaitu mengambil brain reading activity. Alhamdulillah juga normal dan dibenarkan pulang bila tiada kes berulang dalam masa 2 hari tersebut. Punca mungkin stress sebab minggu peperiksaan, cuaca panas dengan aktiviti bola dan futsal kemungkinan kekurangan air, tak cukup tidur atau rehat. Jadi sebagai langkah berjaga-jaga aktiviti dia dikawal sepenuhnya buat masa sekarang.
Langkah awal yang saya ambil adalah dengan membaca lebih banyak maklumat berkenaan epilepsy atau sawan dalam bahasa. Langkah berjaga-jaga serta pencegahan juga langkah yang perlu di ambil apabila kes seperti itu berlaku lagi kelak. Saya juga harus belajar mengawal keadaan dan tidak panik. Pasti ada hikmah yang tersembunyi apabila saya dan dia diduga sebegini. Mungkin kebelakangan ini saya dan dia semakin menjauh jadi Allah dekatkan kami semua dengan memberi sakit kepada dia. Doa tak pernah putus moga dia dan saya tidak akan diuji sebegini lagi.
