Memaparkan catatan dengan label parenting. Papar semua catatan

Budak Sekolah Bergaduh


Umur 13 tahun tempoh peralihan dari kanak-kanak bakal memasuki alam remaja, pemikiran pula masih belum matang. Sebagai ibu-bapa kita adalah pembimbing terbaik selain cikgu di sekolah. Bergaduh di sekolah adalah perkara biasa bagi anak-anak selagi tidak menimbulkan sebarang perkara serius seeloknya kita sebagai ibu-bapa usah campur tangan selain memberi nasihat terbaik buat ana-anak bukannya menyokong anak membuta-tuli mahupun terus memanaskan keadaan.


Kesibukan kerja tidak membataskan waktu untuk saya mengambil tahu urusan persekolahan anak-anak mahupun cerita-cerita peribadi mereka. Anak-anak senang sekali berkongsi cerita berkenaan kawan-kawan mahupun 'special friend' mereka. Saya tidak mampu menghalang mereka untuk mempunyai 'special friend' kerana itulah trend anak-anak zaman sekarang, dari dia berbuat dibelakang tanpa pengetahuan saya lebih baik saya tahu dengan siapa dia berkawan, siapa ibbu-bapanya mahupun rumah di mana. Saya tidaklah bersifat sangat terbuka cuma saya hanya mengambil tahu aktiviti mereka, itu cara saya memantau anak-anak dengan syarat pelajaran adalah nombor satu.


Balik kerja Sabtu yang lalu saya berbaring di katil bersama kakak Hayani, bercerita macam-macam perkara. Ada kalanya kami serius kadang-kadang kami ketawa dan dia bercerita mengenai seorang kawannya. Menghulurkan telefon bimbitnya meminta saya membaca whatsapp dari seorang kawan yang dikatakan mewakili kawan yang bergaduh bergaduh dengannya.


Dia memanggil kakak Hayani dengan perkataan 'slut' atau perempuan murahan. Berbalas-balas whatsapp sehinggakan dia mengaku telefon bimbit kakak di rampas sebab dia yang report pada cikgu. Dia minta izin bawa telefon bimbit ke sekolah pada hari sekolah ganti dan salah saya sebab izinkan dan memang saya tidak marah semasa pergi menuntut kembali telefon bimbit tersebut. Dia juga mengatakan yang keluarga kami pelik sebab anak buat salah pun ibu-bapa tidak marah. Bagi saya itu adalah pengajaran buat kakak Hayani supaya lain kali dia tidak akan membawa telefon bimbit ke sekolah lagi, marah bukan penyelesaian terbaik.


Selepas panjang membaca apa yang tertulis sebagai ibu saya hanya memberi komen yang terbaik. Usah di layan usah panjangkan cerita, lagipun sekelas nanti setiap hari muka itu juga akan kita jumpa. Tidak perlu timbulkan konflik di dalam kelas tempat kita mencari ilmu. Kakak Hayani angguk.


Rupanya kisah tak habis disitu. Petangnya Kakak Hayani mendapat whatsapp warning dari ibu kawannya. 'Kenapa awak bergaduh dengan anak untie? Kalau apa-apa terjadi pada anak untie siaplah awak untie tak akan lepaskan awak dan akan cari awak'. What a fishhh!!! Budak-budak bergaduh boleh pula emak masuk campur. Saya tepuk dahi dan malas nak layan. Saya minta Kakak Hayani mohon maaf pada mak kawannya dan tak usah layan lagi dah keduanya lepas tu. Rupanya mak budak ni kalau anak mengadu apa-apa memang pergi ke sekolah dan cari budak yang gaduh dengan anak dia. Memang naik mukalah anak kalau gitu punya perangai mak.


Semua ibu-bapa sayangkan anak-anak tetapi bila mendidik perlulah didik secara adil jangan didik anak dengan membuta-tuli. Didik anak untuk berfikir sebelum membuat sebarang tindakan. Didik anak supaya berfikiran waras. Tak perlu menangkan anak-anak tak kira dia salah atau betul tetapi nasihat secara baik supaya dapat megelakkan perkara sebegitu lagi kelak. Sebagai inu-bapa jangan musnahkan masa depan anak-anak sendiri.



Kongsi Kerja Rumah


Kakak balik bersekolah di Kajang sudah hampir sebulan, banyak juga yang perlu dibelanjakan untuk persekolahan tingkatan 1 sebab banyak benda yang kakak tidak beli semasa sekolah di kampung. Kakak pula berada di Kelas Rancangan Khas (bagi pelajar-pelajar cemerlang yang tidak dapat masuk ke asrama penuh).


Apapun mama tetap sangat gembira sebab dah ada geng di rumah. Teman gaduh-gaduh manja teman pergi shopping, teman pergi pasar dan teman buat kerja rumah. Lega! Kadang-kadang bila Sabtu ada aktiviti luar jadi Ahad sangatlah sibuk dengan urusan rumah. Meletihkan. Tetapi sejak ada kakak bab baju sekolah mama sudah boleh cuci tangan. Dari merendam, memberus, mengampai sehingga seterika kakak uruskan semua. Kasut sekolah adik pun kakak basuhkan dan kalau abang malas basuk kasut kakak basuhkan juga (alasanyua dia malu kalau kawan-kawan dan cikgu tengok abang selekeh ke sekolah). Yeyyyy...mama sangat-sangat gembira.


Rasa sedih pun ada juga, nampak sangat anak-anak sudah membesar. Masing-masing tahu tanggungjawab sendiri. Kalau balik sekolah abang akan uruskan adik dan kakak pula akan uruskan hal rumah terutama mengemas walaupun mama tak minta pun dia buat. Kerja sekolah pun boleh tahan banyak kadang-kadang tu kakak dan abang tertidur sambil menulis.


Petua saya mendidik anak senang sahaja. Didik mereka dengan kasih sayang, didik mereka dengan belas ehsan kepada ibubapa didik mereka kenal erti tanggungjawab masing-masing. Bila anak-anak faham semua itu insyaallah semuanya akan menjadi mudah. Bila anak-anak sayang ibubapa mereka tak akan buat perkara yang boleh melukakan hati kita walaupun dibelakang kita. Bila anak-anak ada ehsan mereka akan dengan rela hati membantu mana yang patut. Bila anak-anak tahu tanggungjawab masing-masing sebagai anak ibubapa akan lebih ringan dalam menguruskan keluarga.


Senyum dan airmata perkara biasa bersama anak-anak. Lelah semasa mereka kecil terasa berbayar dengan anak-anak yang sentiasa ringan tulang sesekali mereka memberontak adalah perkara biasa bagi anak-anak remaja cuma bila ada kasih sayang memberontak itu cuma seketika. Sesekali rindu kelelahan membesarkan mereka.



Air Mani Tu Apa?


Persediaan bagi ibubapa yang ada anak lelaki yang sedang membesar, bakal melalui alam remaja. Malam tadi hampir pengsan mama yang sedang baring-baring tengok 7th Grade Civil Servant. Terus terduduk. Soalan yang buat mama berdebar. Saya rasa seperti dia masih kecil untuk bertanya soalan sebegitu.


Hikram sedang memilih buku mengikut jadual hari ini di dalam bilik. Tiba-tiba dia bertanya. "Mama air mani tu apa?." Saya yang sedang baring terus bangun. Pandang abah yang sedang baca surat khabar. Entah kat mana pula lah yang ditengoknya tu, tiba-tiba saya teringat mungkin buku teks agama. "Cuba adik bawa buku tu bagi mama". Dia keluar menghulurkan buku teks Pendidikan Kesihatan Tahun 4 dengan tajuk yang dibacanya Alam Remaja. Lega.


Saya minta abah terangkan, dia kata mama sahajalah. Haisshhh...ini cerita lelakilah macam mana pula nak pusing ayat. Saya baca apa yang di tulis di buku. Saya buat kesimpulan paling mudah dengan tahap pemikiran Hikram. 
"Air mani tu akan keluar dari situ (saya tunjukkan anu dia)"
"Itu air kencinglah mama"
"Bukan. Selain air kencing akan ada air mani juga tetapi dalam keadaan tertentu sahaja iaitu bila adik dah baligh"
"Baligh tu apa?"
Di dalam buku dia bercerita berkenaan mimpi budak lelaki.
"Baligh itu cukup umur. Kalau adik sudah ada air mani bermakna adik sudah dewasa. Tak boleh tinggal solat, tak boleh tinggal puasa sesuka hati (saya bagi contoh mudah). Suara adik akan berubah jadi macam suara abang dan suara abah jadi garau macam jantan...ahahhaaa..."
"Ehhh...tak naklah adik. Pelik ja."
"Lepas tu bila besar sikit akan tumbuh bulu-bulu di anu, di ketiak dan misai."
"Macam abang ye mama?"
"Bila adik dah besar adik akan jadi macam abanglah dan nanti boleh ada girlfriend (saya usik dia)."
Girlfriend tu menyusahkanlah mama"


Sebab dia pernah tengok baju sekolah kakak terkena darah haid masa pertama kali kakak melaluinya saya terangkan juga tentang itu. Saya terangkan bagi perempuan baligh bila datangnya darah haid dan bagi lelaki bila datang mimpi (keluar air mani).


Saya lega bila dia tak tanya banyak-banyak dan bagi soalan-soalan pelik yang lain lagi lepas tu.Ibubapa yang ada anak-anak yang bakal menempuhi alam remaja perlu bersedia dengan jawapan atau mungkin kita boleh terangkan sebagai ilmu kepada mereka walaupun tidak ditanya. Bagi Hikram penerangan secara khusus adalah perlu supaya dia faham.



Membantu Anak 'Slow Learner'


Saya sekarang sedang berusaha untuk belajar mendidik anak yang megalami masalah pembelajaran dan lebih mudahnya 'slow learner'. Mencari ilmu untuk diri sendiri supaya dapat mendidik anak supaya dapat menerima pelajaran dengan lebih berkesan selain dari apa yang cikgu ajar di sekolah. Mencari laman web dan buku-buku untuk menambah ilmu.


Sejak masuk ke Darjah 4 pelajaran agak mencabar bagi dia jadi dia agak tertekan dengan pelajaran di sekolah juga dengan cikgu-cikgu yang mengajar. Katanya cikgu garang, selalu marah-marah. Saya pujuk dengan mengatakan kalau tak buat salah mesti cikgu tak marah. Dia jawab kawan adik tak buat salah pun kena marah. Saya cakap lagi tak mungkin cikgu saja-saja nak marah mungkin adik tak nampak dia buat salah.


Saya banyak menggunakan kaedah memujuk untuk mendekatkan dia dengan buku. Melayan semua kehendak dan permintaan dia supaya dia tidak merajuk sebabnya bila dia mula merajuk memang tak mudah di pujuk dan akhirnya buku entah ke mana dia pula entah ke mana. Saya perlu banyak bersabar.


Membaca setakat ini tiada masalh cumanya saya sedang mencari kaedah untuk memberi pemahaman kepada setiap bacaannya. Memahami setiap apa yang di baca dengan baik termasuk memahami ayat yang di beri mahupun penjelasan bagi setiap perkara yang berlaku. Saya jadi pening bila menyentuh matapelajaran Sains sebab dia akan banyak bertanya kadang-kadang membuatkan saya sendiri tidak mampu menjawab (kadang-kadang macam soalan merapu tapi itulah sifat anak-anak 'slow learner').


Insyaallah saya sambung lagi sebagai kenangan buat saya dan adik. Buat kami sekeluarga.



Rampas Telefon Bimbit Lari Dari Rumah


Apalah nak jadi dengan anak-anak remaja zaman sekarang ini. Menakutkan. Tindakan-tindakan yang mereka ambil kadang-kadang tak terjangka dek fikiran kita pun. Terbaca di Harian Metro muka surat 8 mengenai seorang remaja berumur 16 tahun yang lari dari rumah kerana 'merajuk telefon di rampas'. Paling sedih bila dinyatakan dia mengikut kenalan lelaki.


Semarah mana ibu dan bapa kepada anak-anak segalanya adalah bersebab. Tak akan ada ibubapa yang saja-saja nak marah anak tanpa usul periksa. Marah mereka kerana sayang. Setiap tidakan mereka adalah untuk kebaikan anak-anak. Mungkin cara didikan awal itu adalah perlu supaya anak-anak faham stiap kehendak dan tindakan ibu bapa adalah hanya ke arah kebaikan.


Saya ada seorang anak perempuan itupun sudah cukup memeningkan kepala. Risau tetap menggunung di hati, didikan telah diberi kasih sayang pula tidak bertepi bimbang Allah s.w.t pula ingin menguji. Membesarkan anak lelaki juga tidak kurang cabarannya. Dunia luar yang terlalu luas dan terbuka, perasaan remaja yang sentiasa ingin mencuba dan memberontak.


Sebagai ibubapa kita juga perlu belajar bagaimana untuk membimbing mereka, Menjadi sabar dalam menguruskan kerenah mereka. Bertindak umpama 'menarik rambut di dalam tepung' agar rambut tidak putus tepung pula tidak berselerak.


Anak Lambat Belajar


Hari ini bermula Peperiksaan Akhir Tahun bagi adik dan abang, seorang di sekolah rendah seorang di sekolah menengah. Anak-anak rileks sahaja, tengok tv, main game dan bila petang main bola kat padang mau adik maupun abang sama sahaja perangainya. Sebagai ibubapa tentunya kita mahukan yang terbaik buat mereka, jadinya tak berhenti jugalah mulut bercakap tetapi anak begitulah juga suka ambil ringan setiap perkara.


Adik merupakan kategori anak lambat belajar. Mula membaca sepenuhnya bila berada di Tahun 3 tetapi tahap pemahamannya masih lemah. Setiap butir bicara kita adalah perlu kepada penjelasan yang lebih terperinci, begitu juga bila dia membaca penerangan yang lebih dalam adalah perlu. Tulisan juga sangat-sangat perlu di perbaiki.


Semasa ketiadaan penjaga selama seminggu setiap pagi saya akan meletakkan nota di atas meja sebagai pesanan kepada adik dan abang supaya mereka tidak leka apabila berada di rumah. Biasanya saya akan meletakkan dalam bentuk angka. Contohnya:

1. Rm5-belanja sekolah abang, Rm3 belanja sekolah adik, Rm 7 potong rambut adik, Rm5 sarapan (contoh perbelanjaan)
2. Jangan buli adik (ditujukan buat abang).
3. Jangan bergaduh dengan abang (ditujukan buat adik).
4. Jangan ponteng sekolah.


Jumaat saya berkerja separuh hari dan saya sangat tersentuh bila balik kerja terdapat satu nota tulisan tangan adik berbunyi 'Kenapa mama tiap-tiap hari tulis pesanan jangan ponteng sekolah?'. Walaupun ayatnya sangat tidak teratur dengan tulisan tangan yang sangat comot.


Adik nampak aktif seperti anak-anak lain tiada cacat cela dan kekurangannya. Di sebalik itu dia ada kelemahan tersendiri iaitu sukar untuk mengingati apa yang kita ajar. Dia akan 'hidup' dalam duninya yang tersendiri, boleh bermain denga kereta kecilnya seharian tanpa kawan, menonton tv seolah dia berada di dunia tv tersebut, bermain dengan belalang mahupun serangga lain yang ditangkap dan dimasukkan ke dalam botol. Bila bercakap selalunya ayat-ayat yang di keluarkan sangat teratur tidak seperti anak-anak lain yang bercakap dengan lebih santai. Setiap arahan adalah perlu di beri dengan jelas umpanya perlulah menyebut namanya diikuti dengan arahan kalau tidak sampai esok pun dia hanya buat tak tahu.


Dia anak saya, buah hati dan bunga cinta kami. Kekurangan itu kami terima dengan redza. Mencuba untuk menjadi ibubapa terbaik buat dia. Mungkin nampak saya sangat memanjakan anak-anak dimata orang lain tetapi itulah cara saya terutama sekali dalam soal adik. Anak bongsu yang Allah beri sedikit kekurangan untuk menguji saya mungkin.


Saya pernah juga menulis tentang adik di sini, di sini dan sini.



Handsome tak saya? Ramai saudara mara dan kawan-kawan mama kata muka saya copy-paste muka abah tapi saya tetap sayang mama lebih dari abah tapi abah pun saya sayang lebih jugak.



Bersalah Atau Tidak Tetap Minta Maaf


Semalam hari duka buat Abang Iqbal dan Kakak Hayani bila hanya satu-satunya bapa saudara sebelah arwah abah depa meninggal dunia. Abang down sangat sampai ponteng sekolah. Kalau dekat mama ponteng je kerja bawak depa ziarah tapi Terengganu tu jauh sangat rasanya. Apapun semoga abang kuat semangat. Insyaallah ada rezeki lepas ni mama bawak pergi sana. Ziarah keluarga.


Malam tadi api kemarahan saya membuak-buak sampaikan peringkat saya menegking seorang jiran tetapi saya tidak rasa bersalah langsung. Tangan dan badan saya menggigil menahan marah yang amat sangat. Suami saya cool kat dalam rumah.


Balik kerja sibuk dengan Maghrib yang hampir ke penghujung kemudian leka di sejadah menunggu Isyak kemudian si kecik menjerit-jerit kat luar. Berlari ke pintu rupanya Abang Iqbal usik tiba-tiba ada seseorang di ambang tangga menengking Abang Iqbal.


'Kau ludah kat bawah eh?'
'Tau hormat orang ke, kena kepala orang tua ke hapa ke kau tak reti'
'Taklah saya jengah je ke bawah tengok kawan saya datang dengan motor tu'
'Kau ingat aku buta ke, tak nampak'
'Tak lah saya tak ludah'
'Aku tampar kang, jangan nak kurang ajar'
Mamat tu tak nampak mama kat depan pintu agaknya.


'Apa hal ni?'
Dia menjengah sedikit sebab pintu rumah memang terlindung dari tangga.
'Ni ha budak ni, ludah-ludah ke bawah, kena kepala orang tua saya cam mana?'
'Abang ludah ke?
'Tak mama tadi abanh jengah nak tengok Cik Amat datang dengan motor'
'Ko jangan tipu aku nampak la'
'Abang minta maaf sekarang' sebab dah malas nak bertekak.
'Saya minta maaflah tapi memang saya tak ludah'
Mamat tu bising-bising lagi. Tengking-tengking.
'Anak saya ni umur 13 tahun je , dia dah minta maafkan'
'Mana boleh minta maaf je' dalam hati saya kata memang 'celaka betul mamat ni berani nak pau aku pulak'.


Agak panas Pak Tuan keluar.
'Apa hal?'
'Budak ni ludah-ludah pulak kat bawah, kena kepala orang tua saya ke macam mana?'
Agaknya kalau kena ludah tu berlubang kepala kot! Gerutu saya dalam hati.
'Hang duduk mana?' Tanya Pak Tuan sambil hulur salam dan pegang tangan dia lama-lama.
'Hujung sana, mak bapak saya duduk depan sini'
'Nama apa?'
'Iwan'
'Orang mana?'
'Sabah'
'Ic ada?'
'Ada' tapi muka dah cuak gila.
Lepas tu dia mula meliar kemudian undur setapak dua dan blah.


Saya mendidik anak supaya mereka menghormati orang tua, mengalah kepada mereka walaupun kita tak bersalah tidak salah kita meminta maaf. Saya tidak akan memenangkan anak-anak saya sendiri apabila berlaku sesuatu perkara, sekiranya bergaduh dengan kawan-kawan pun saya akan marah anak sendiri. Kes semalam tu memang saya panas hati sangat. Budak umur 13 tahun minta maaf pada dia yang dah hampir 40 tahun atau mungkin lebih tapi dia masih lagi berkeras. Habis apa yang dia nak sebenarnya?


Sekali dulu dia pukul seorang perempuan Indonesia sebab bergaduh cakap dengan isterinya kat tempat kerja (isterinya pun orang Indon!) berdarah-darah jugaklah. Kemudian dia pukul seorang perempuan yang tinggal kat tingkat bawah di jalan depan rumah. Nasib tak baiklah di pukulnya orang Malaysia, depa tu buat report. Polis datang ambil kat rumah lari masuk rumah mak dia sambil menangis! Samseng taik kucing betul. Kalau kaki dadah tu kerjanya nak pau orang sahaja!



Tip Menangani Anak Lambat Belajar

Bak kata pepatah 'Setandan kelapa bukan semua baik buahnya' bukan semua molek-molek mungkin ada yang komeng (sila rujuk kamus dewan). Begitu jugalah anak-anak. Tiga anak dengan tumbesaran dan perkembangan pembelajaran yang berlainan. Sebagai ibu-bapa kita perlu bersedia menangani setiap situasi sebaik mungkin.

Rujuklah pakar pembelajaran sekiranya kita menghadapi masalah tentang pembelajaran anak-anak itu adalah jalan terbaik tetapi kadangkala sebagai ibu-bapa kita ada ego tersendiri (terutama bapa) yang tidak mahu mengakui kelemahan anak. Sebagai jalan penyelesaian carilah buku-buku yang dapat membantu menambah pengetahuan kita dalam menangani anak sebegini. Paling mudah sekarang gunalah kemudahan internet yang ada. Banyak tip-tip yang di kongsi oleh mereka yang pakar dan juga pengalama-pengalaman orang lain yang telah melalui situasi yang sama supaya kita dapat membantu anak sebelum terlewat.

Ini gaya Aina. Tip Menangani Anak Lambat Belajar.


1. Flash kad berwarna-warni - buatlah sendiri mengikut kretiviti kita. Seboleh dapat gunakan warna-warna terang dan gambar-gambar yang menjadi kegemaran anak. Selitkan juga watak-watak kartun kegemaran anak.

2. Setiap kali keluar ke shopping komplek bawak anak ke kedai buku. Biar dia memilih buku kegemarannya (jangan berkira tentang duit selagi tidak keterlaluan).

3. Belikan buku-buku kegemaran anak walaupun ianya sekadar sebuah komik.

4. Belajar sambil bersantai. Sambil berbaring tengok televisyen, sambil bersantai minta anak ambilkan buku teks sekolah dan minta anak bacakan sehari satu muka surat.

5. Beri masa kepada anak untuk membaca komik-komik yang dibeli tanpa terlalu memaksa dia untuk terlalu fokus kepada pelajaran (melalui bacaan komik anak kita akan cepat mengenal suku kata, ia sangat membantu untuk melancarkan pembacaan-tolong ketepikan bab tatabahasa dalam keadaan ini).

6. Tidak memaksa. Semakin kita paksa semakin anak memberontak.

7. Cool. Jangan naik angin bila anak gagal membaca dengan baik atau gagal menyiapkan kerja sekolah dengan baik (jangan guna standard pemikiran kita sebaliknya gunalah standard pemikiran anak kita ketika itu).

Aina ada seorang anak yang lambat sedikit perkembangan pembelajaran. Entah di mana silapnya. Terlalai mungkin. Juga menganggap mudah bila kakak dan abang sudah mula membaca pada usia 5 tahun. Sehingga di tahun dua dia masih merangkak-rangkak mengeja untuk membaca. Pengorbanan akhirnya berbaloi apabila naik ke tahun 3 pembacaannya semakin lancar tanpa perlu mengeja lagi. sarikata di televisyen juga lancar sahaja bacaannya.

Sebagai ibu-bapa berilah perhatian terhadap perkembangan anak-anak sejak mereka kecil. Kita mungkin akan dapat mengesan kelainan mereka di peringkat awal dan dapat membantu sebelum terlambat. Jangan rasa rendah diri bila kita ada anak-anak yang sedikit tercorot dalam pelajaran. Bukankah mereka permata hati kita? Mereka patut dibangga. Tidak mustahil suatu hari nanti anak yang tercorot akan lebih berjaya dari anak-anak yang lain.


Nak abadikan kenangan dengan Photo Book yang cantik sila klik sini!


Pilih Kasih


Apa dihati emak anak-anak tahukah?
Bukan soal pengorbanan, tidak juga soal tanggungjawab.
Tapi soalnya hati.
Sukar untuk dijawab. Sayang tetap sayang.
Tapi kadang-kadang kita terlepas pandang. Umpama melebih seorang anak dari yang lain.
Hati mak berkata tidak tetapi anak-anak memandang dari sudut yang lain.
Iri hati mungkin, kecik hati pun boleh jadi.

Kisah abang. Kisah janji mama yang tak tertunai. Kisah kakak yang balik bercuti.
Puncanya mamalah!
Janji nak bawak pergi SOGO beli baju raya (saya memang begitu persiapan raya mesti sebulan atau dua bulan sebelum). Rancang nak bawak mak tok pergi Taman Orkid Kuala Lumpur. Semua tinggal janji. Masa yang terlalu mencemburui. Kereta mama kecik untuk bawak semua sekali (nantilah kalau ada rezeki mama beli MPV). Serba salah pulak nak tinggal yang berbaki tak muat kereta tu.

Dia menangis beria-ia. Katanya mama lebihkan Noni (Kakak Hayanilah tu!). Nak top up bagi. Dengki tak nak bawak orang lain kalau jalan-jalan, mama iyakan sahaja. Tengking abang, mama diamkan. Pergi beli baju mama tinggalkan abang (sebenarnya dah ajak tapi dia merajuk!). Pas tu bila gaduh dengan Noni, mama marah abang. Cakap tengking-tenking dengan abang. Suruh abang buat itu ini, Noni tak buat apa pun. Cakap Noni semua mama ikut cakap abang mama buat tak tahu. Bila keluar berjalan tak ada pun nak pelawa abang beli apa-apa.

Alahai anak. Kecik hati betul dia dengan mama. Faham. Memang patut dia kecik hati. Sejak Kakak Hayani balik bercuti memang mama lebihkan dia. Mama ikut sahaja kehendak dia. Bukan mama tak sayang abang tapi kakak jauh dari mama, ketika bercutilah mama dapat beri perhatian pada dia. Penuhi setiap kehendak dia sedangkan abang setiap hari di depan mata mama boleh mintak apa-apa sahaja bila-bila masa pun. Lagipun kakak satu-satunya anak perempuan mama.

Masuk bilik. Air mata mama jatuh juga. Terlalu pilih kasihkah aku?


Petangnya ajak pergi pasar malam, mula-mula abang menolak. Kakak pujuk. Lama-lama dia senyum. Turun bawah jalan pegang tangan mama, pimpin tangan mama. Kakak pimpin tangan kanan, abang pimpin tangan kiri. Lega hati mama.

Adik? Dia tak peduli semua tu. Asal jangan kacau dunia mainan, dunia kartun dia sudah.



Tip untuk mengatasi :
1. Biarkan anak luahkan isi hati, luahkan apa juga yang terpendam (lepas tu anak pasti akan rasa lega).
2. Ibu-bapa perlu diam dan dengar dengan sabar, jangan rasa tercabar dengan perangai anak-anak.
3. Buat kesimpulan.
4. Beri penerangan kepada anak terhadap apa yang menyebabkan dia tidak puas hati. Beri nasihat.
6. Kalau memang kita salah rasanya tidak keterlaluan rasanya minta maaf dengan anak (saya tahu ramai ibu-bapa ego dan merasakan tidak perlu untuk itu).

Seperti kes abang. Dia sendiri masuk ke bilik dan minta maaf. Selepas tu tiada lagi kes nak unngkit-mengungkit antara abang dan kakak. Mama lega. Kadang-kadang masalah yang datang tu jika diselesaikan dengan baik pengakhirannya akan lebih manis. Hikmah.



Nak abadikan kenangan dengan Photo Book yang cantik sila klik sini!




Terlebih Manja, Tak Berdikari Salah Siapa

'I cuti esok. Bawak anak pergi temuduga kat SPA Putrajaya'

'Anak I ada temuduga kat HUKM I cuti ok nanti'

'I cuti minggu depan hantar anak I untuk 2nd semester kat u'

Ayat biasa yang kita dengar dari kalangan ibu-bapa yang ada anak besar belajar kat kolej atau universiti,juga anak-anak yang baru nak start kerja. Semua bersusah payah demi memberi keselesaan kepada anak-anak. Tak mahu anak-anak bersusah payah. Nantikan susah berpeluh-peluh naik pengangkutan awam. Terkejar-kejar. Takut terlewat.

Dari satu sisi sebenarnya kita telah melakukan kesilapan dengan membiarkan mereka terlalu bergantung kepada ibu-bapa. Kadang-kadang ada diantara mereka sehingga tidak mampu berdikari. Semuanya bergantung kepada ibu-bapa sehingga bila menghadapi sesuatu situasi yang menuntut untuk mereka membuat keputusan segera mereka gagal melakukannya. Bertapa beruntungnya anak-anak zaman sekarang kerana punyai ibu-bapa yang sangat mengambil berat dan perihatin. Kadang-kadang ibu-bapa jadi terlalu 'protection'.

Bayangkanlah ada kawan-kawan yang tinggal di Kuala Lumpur 2 minggu sekali akan ke Kuala Pilah menjemput anak pada hari Jumaat petang dan akan menghantar semula ke sana pada hari Ahad. Bukan anak sekolah tetapi sudah kolej. Sebulan 4 kali ulang-alik. Setahun? Itu belum lagi cerita kawan-kawan yang setiap kali cuti semester terpaksa angkut semua barang anak walaupun sebenarnya duduk di rumah sewa. Kalau duduk di asrama pula sudah tentulah telah di sediakan bilik khas untuk menyimpan barang sepanjang cuti.

Teringat zaman belajar dulu-dulu. Anak-anak zaman sekarang akan kata jangan bandingkan zaman dulu kerana zaman telah berubah. Samalah tahap ketabahan hati anak-anak zaman sekarang juga sudah berubah tidak setanding orang zaman dahulu. Nak senang, nak mudah semua. Dulu-dulu keluarga hanya pergi hantar masa hari pertama pendaftaran dan hanya akan menjemput pada hari akhir tamat belajar di situ. Selebihnya pandai-pandailah bawak diri, berdikari.

Kalau temuduga pun pandai-pandailah tanya orang nak ke sinun bas no berapa, tak boleh malu. Sebelum temuduga sibuk cari pejabat tempat temuduga supaya bila hari temuduga tak lambat. Naik pengangkutan awam, yang ada cuma bas. Dulu-dulu LRT pun belum ada. Kehulu kehilir bawak sampul surat bawak file. Berpeluh-peluh. Anak-anak zaman sekarang turun dari aircond kereta masuk ke dalam aircond pejabat tak sempat nak berpeluh pun.

Ada seorang kawan ni terpaksa berkejaran balik rumah bila anak telefon kereta mati ditengah jalan kerana minyak habis. Penyudahnya dia tinggal kereta kat tepi jalan dan tahan teksi balik rumah. Senang. Lepas tangan. Tak ada tanggungjawab. Bila ditanya kenapa tak masukkan minyak dia jawab balik. Salah papa tak penuhkan tangki kereta. Pening.

Sebagai ibu-bapa kita punyai cara tersendiri dalam mendidik anak-anak. Jangankan sampai kasih sayang dan perihatin kita merosakkan mereka. Didiklah mereka supaya bertanggungjawab, mampu berdikari  dan membuat keputusan terutama bila berada di dalam keadaan kecemasan. Bukan setiap detik kita boleh berada disamping mereka. Sebagai manusia biasa kita semua melakukan kesilapan.


Nak abadikan kenangan dengan Photo Book yang cantik sila klik sini!