Memaparkan catatan dengan label Taman Taming Impian. Papar semua catatan

Sepakat Membawa Berkat


Syukur alhamdulillah penyewa baru telah mula menduduki rumah sejak 15hb November setelah dua minggu penyewa yang sebelumnya keluar rumah. Penyewa baru merupakan bakal pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan tak lama lagi, sekian lama mengintai rumah di kawasan tersebut akhirnya mereka berkenan dengan rumah yang diiklankan dan terus membuat keputusan untuk menyewa sebab lain kali mungkin dah tak ada yang bersesuaian dengan hati serta bajet mereka.

  



Dua minggu yang sangat meletihkan kerana membersih dan mengecat rumah. Mengganti tombol-tombol pintu yang rosak, membaiki bilik air yang tersumbat dan menggantikan mentol-mentol lampu yang tidak menyala. Upah orang memang lebih senang tetapi sebab Pak Tuan sedikit cerewet jadi kami buat sendiri semuanya lagi pun boleh jimatkan kos. Anak-anak pun sudah besar jadi sudah boleh membantu jadi bab cat mengecat mereka ambil alih tanggungjawab. Mama dan abah selesaikan yang selebihnya.






Dua bilik air di tingkat atas tersedia water heater.

Keadaan rumah tidak teruk sangat cuma biasalah bila duduk bukan di rumah sendiri jadi tidak dijaga sangat. 2 tombol pintu rosak, lampu tangga padam tidak berganti, simen didepan dan belakang dibiarkan hitam berlumut, bilik air di bilik tidur utama tersumbat, tandas cangkung di bilik air bawah tersumbat katanya berus tandas terjatuh di dalam lubang tandas. lap habuk-habuk di tingkap dan semua grill. Sedikit penat menguruskan 3 bilik air yang perlu digosok lantai dan dindingnya, memberus lantai yang berlumut di porch depan dan ruang belakang dapur. Mengeluarkan barang-barang yang tersumbat dari lubang tandas rupanya bukan berus tandas sahaja, ubat gigi, pisau cukur, botol syampu, botol carrie junior dan paip getah dikeluarkan manalah tak tersumbat. Membersihkan kitchen kabinet dan bawahnya yang penuh dengan tahi lipas. Masyaallah yang ini memang saya marah sangat, tempat masak kot dibiarkan kotor macam tu.




Dua orang pembantu tetap mama Kakak Hayani dan Alya setiap kali mama ada di sana pastinya ada kakak dan Alya.

Hujung minggu dan cuti Deepavali memang menguruskan rumah tersebut sahaja sehingga demam. Nampak seperti mudah tetapi memerlukan kudrat yang banyak juga. Namun bila semuanya selesai saya rasa sangat berpuas hati. Terasa berat pula hati hendak menyerahkan kunci kepada penyewa baru bila keadaan rumah sudah bersih dan cantik. Nampak gayanya bila penyewa ini keluar nanti memang saya akan pindah masuk sahajalah, sayang rumah dibiarkan penyewa duduk. Kalau dapat penyewa yang jaga rumah dengan baik tak apa sekiranya sebaliknya memang makan hati.









Kali pertama dan terakhir adik ikut mama uruskan rumah, tolong cat tembok pagar hadapan esoknya terus tak nak datang lagi. Abah minta catkan dengan warna tanah seperti coklat yang agak gelap tetapi warna cat seperti itu kehabisan stok jadi pilih sahajalah coklat cair.



Perjanjian sewa beli pun sudah di tandatangan dan dibawa ke LHDN bulan lepas cuma salinan belum diberi kepada penyewa. Itulah risiko menyewakan rumah kepada orang, nasib baik rumah dikembalikan dalam keadaan baik kalau sebaliknya terpaksa baiki rumah pula. Harapnya penyewa baru dapat mejaga rumah sebaik mungkin, jaga seperti rumah sendiri. 



 Rumah yang sudah siap di berishkan dan dicat, semakin kemas rumah semakin sayang pula hendak di sewakan.



Rumah Sewa Terlaris


Syukur alhamdulillah sesungguhnya Allah, Engkau maha pemberi, tak pernah lokek walaupun kami hambaMu selalu melupakan Mu, alpa dengan urusan dunia yang tidak pernah berpenghujung, kemurahanmu tiada pernah terbatas.


2hb Oktober 2015 penyewa bagitahu yang dia akan keluar rumah akhir bulan dan minta tolak sewa bulan Oktober dengan deposit yang dibayar semasa masuk dahulu. Walaupun agak singkat notis yang diberi saya terima dengan positif walaupun bajet bulanan sudah sedikit tergelincir jadi bulan ini ada perkara yang kena tangguh  dahulu. Deposit bil elektrik pula saya akan jelaskan kemudian selepas tolak bil terakhir bulan tersebut.


Bermula edisi pencarian penyewa baru untuk rumah teres dua tingkat yang saya beli hampir 3 tahun yang lalu. Rezeki Allah untuk saya dan anak-anak walaupun saya tak duduk tetapi itu tetap rumah saya. Walaupun ada 2-3 orang agen yang telefon dan minta uruskan saya menolak dengan baik sebab bagi saya semua itu saya masih boleh uruskan sendiri dengan bantuan suami. Saya mula iklankan di Mudah.my dalam masa hanya 2 minggu saya mendapat hampir 30 panggilan sehinggalah saya padam iklan tersebut. Tiga hari selepas iklan sudah ada yang booking rumah tetapi saya minta dia menyerahkan salinan kad pengenalan selagi tidak diberi saya menganggap dia tidak bersungguh-sungguh. Seminggu kemudian saya mendapat salinan kad pengenalan melalui aplikasi WhatssApp, dalam tempoh tersebut banyak panggilan telefon yang saya dapat sehingga ada yang meminta saya masukkan dalam senarai menunggu.


Saya mudahkan orang moga Allah s.w.t akan mudahkan saya kelak. Itu prinsip saya. Mengikut purata sewaan kawasan tersebut adalah Rm1200 tetapi sebab saya tidak sampai hati mengenakan sewa sebegitu saya hanya meletakkan sewa Rm1000. Deposit pula kebiasaannya adalah 2 bulan tetapi saya hanya ambil satu bulan deposit, elektrik dan air pula hanya Rm200 yang mana kebiasaannya adalah separuh dari harga sewa rumah. Saya bukan banyak duit, jauh sekali kaya namun saya harap apa yang saya buat sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban bakal penyewa. Syarat yang sama juga saya kenakan kepada penyewa terdahulu dan dia duduk tanpa banyak kerenah selama tiga tahun dan berpindah sebab rumah yang dibeli telah siap. Rumah saya juga dijaga dengan baik setakat bulan Febuari yang lalu.


17hb Oktober 2015 saya berjumpa dengan bakal penyewa untuk tandatangan perjanjian sewa rumah yang telah saya siapkan. Alhamdulillah. Kalau dulu saya dapat penyewa dengan seorang anak yang masih kecil kali ini saya dapat penyewa yang bakal melangsungkan perkahwinan tak lama lagi. Mereka datang berdua dan saya juga ada salinan kad pengenalan keduanya. Bila terbaca iklan rumah untuk di sewakan dengan harga yang berpatutan di kawasan tersebut mereka cepat-cepat telefon minta alamat untuk tengok rumah dan persekitaran. Penyewa masih ada jadi tak dapat tengok bahagian dalam cuma dapat lihat gambar-gambar yang ada di Mudah.my sahaja. Walaupun hanya dapat tengok dari luar mereka sangat berpuas hati walaupun tembok pagar sudah luntur warnanya sebab itu adalah cat asal. Semasa penyewa yang ada masuk saya langsung tak sempat nak cat. Perjanjian bakal di bawa ke LHDN untuk `stamping’ dan salinan akan diberi kepada penyewa kelak.


Luasnya kasih sayang Allah. Allah s.w.t permudahkan urusan saya mencari penyewa rumah yang baru sehinggalah mereka dengan senang hati menerima syarat-syarat yang saya kenakan. Membayar Rm500 sebagai tempahan tanpa ada prejudis. Bulan November nanti penyewa baru akan masuk namun saya meminta tempoh sehari dua untuk menguruskan mana yang patut. Almaklumlah bila penyewa lama saya perlu selenggara kerosakan-kerosakan kecil yang berlaku. Harap semuanya baik-baik sahaja tanpa kerosakan besar.

  


Ubahsuai Bilik Air 'Waterprooving'


Pening memikirkan kos untuk ubahsuai bilik air yang tak luas tetapi harga yang diminta oleh kontraktor terlalu tinggi tetapi terpaksa juga diubahsuai bila lantai menyerap air dari bilik air sehingga merosakkan 'wiring' lampu di tingkat bawah. Kos barang tidaklah mahal tetapi bayaran yang dikenakan untuk 'labour' tak masuk akal dan sebagai pemilik rumah kadang-kadang kita tiada pilihan. Keluasan bilik air 5.25' x 7.5' kos yang dikenakan untuk pecahkan tile, 'waterprooving' dan retile adalah Rm5300. Pendapat saya memang tukang Indonesia tersebut 'ketuk' saya.


Berkira-kira untuk mencari kontraktor lain sepupu saya yang bekerja sebagai askar menawarkan diri untuk menjalankan kerja-kerja ubahsuai bersama kawannya. Bila adik dan anak saudara bersetuju untuk datang membantu saya terpaksa menolak pertolongan dari sepupu dan sangat bersyukur kerana kerja-kerja ubahsuai boleh saya arahkan mengikut kehendak sendiri. Adik Shahizat, Syafiq dan anak saudara Shaiful datang bersama emak dan seorang sepupu lain Adik Ab. Riuh rumah adik saya seminggu sebab mereka duduk di rumah adik.


Kami sampai agak lewat sebab penyewa bawak anak isteri pergi jogging, agak ramai yang pergi sebiji kereta untuk orang kerja sebiji kereta saya, mak dan anak-anak. Almaklumlah mak hanya tengok rumah dari luar dulu kali ini teringin nak masuk tengok kat dalam. Tugasan bermula lepas makan-makan dan minum-minum. Penyewa menyambut kami dengan gembira dan dijamu dengan pelbagai hidangan. Kebetulan penyewa saya beasal dari Pendang, Kedah keluarganya pernah menetap di Batu Pahat, Perlis, mak suka sangat. Ini juga kali pertama saya bertemu muka dengan mereka sebeb sebelum ini semua Pak Tuan yang uruskan.



Ini adalah lantai asal bilik air dibahagi dua untuk bahagian shower. Tile tu sebenarnya cantik lagi cuma tak dibersihkan betul-betul sahaja.


 

Kerja memecahkan tile bermula. Sekejap sahaja Adik Shafiq siap proses memecahkan tile.



Inilah hasilnya. Di bawah tile tu penuh dengan pasir sebab itulah air menyerap ke lantai, hanya sedikit simen yang digunakan. Bahagian yang tengah tu bila dipecahkan juga relai.



Kasi zoom sikit. Nampak banyak pasir dari simen.



Sementara Adik Shafiq, Shaiful dan Adik Ab sibuk dengan tile saya keluar dengan Adik Shaizat ke kedai membeli tile yang baru. Tak perlu susah hati bagi tahu keluasan bilik air nanti mereka akan kirakan berapa keping yang perlu di beli. Saya hanya menukar tile di bahagian lantai sahaja. Kemudian ke warehouse sebab tile yang saya hendak tu tak ada di kedai, ambik sendiri kat warehouse.



Ini pula proses memoton paip PVC untuk paip limpah di belakang pintu bilik air. Sekiranya hujan air akan mengalir dari belakang pintu dan lantai akan sentiasa basah jadi saya minta letakkan paip terus ke floor trap. Boleh pula depa pi beli yang sama besar dengan paip keluar bila pasang saya tanya tak boleh ke guna paip kecik tapi dah siap biarkan jelah. 



Kerja-kerja meletakkan simen di celah-celah tile . Senang buat tapi bagi saya agak remeh dan perlukan kemahiran. Tile perlu dicuci dengan asid sehingga bersih dan tiada sampah mahupun kekotoran. Sebenarnya kerja-kerja memasang tile dilakukan oleh anak buah Shaiful sehinggalah kerja pengemasan yang lagi 3 orang hanya membantu yang mana perlu sahaja. Semasa pasang tile Shaiful bertungkus lumus kat dalam lagi 3 hanya termenung.



Selepas habis kerja-kerja akhir. Masih nampak putih separti kapur, nanti bila digunakan akan hilang sendiri. PVC pipe ke floor trap melalui belakang toilet bowl boleh nampak kat dinding tu. Satu benda saya ternampak bila kerja dah siap adalah pipe bawah singki yang tu lain kalilah tunggu nak baiki wiring nanti saya minta orang buatkan.


Rezeki saya ada adik-adik dan anak buah yang boleh membantu. Sekiranya sesiapa ada masalah waterprooving untuk bilik air dan mencari tukang yang agak murah berbanding tukang Indonesia yang banyaknya mengetuk kita tu bolehlah saya bantu semampu yang dapat. Kalau ada rezeki mungkin anak buah saya dapat membantu untuk menyelesaikan masalah bilik air anda dengan harga yang lebih berpatutan.




Bilik Air Rumah Sewa


Bila menyewakan rumah pening pulak dengan penyelenggaraan rumah yang orang duduk. Memang tiap-tiap bulan di bayar sewa tetapi bila apa yg nak dibaiki melebihi sewa berat juga nak ditanggung sedangkan duit sewa hanya cukup-cukup untuk bayar hutan rumah dengan bank. Hendak atau tidak perlu juga dibaiki.


Awal 2014 bumbung bocor perabung perlu digantikan dengan yang baru kerana setiap kali hujan lebat air menitis ke dalam rumah. Kos baikpulih Rm650 sedangkan kos membeli barang mungkin hanya sekitar Rm200 sahaja. Boleh tahan kos tenaga kerja yang dikenakan sebab menggantikan perabung tu ambik masa beberapa jam sahaja.


Hujung tahun penyewa telefon lagi bagitahu rumah bocor lagi, lampu pun turut mengalami masalah bila air mengalir. Lama juga ditangguhkan aduan penyewa kerana kekangan masa dan tukang yang agak sukar ditempah. Akhirnya bila tukang yang baiki perabung balik dari bercuti dari kampungnya di Indonesia dapatlah dia pergi tengok. Katanya air bukan dari bumbung tetapi dari bilik air yang bocor. Lantai meresap air katanya.


Kali ini dia meminta Rm5300 untuk kos pecah tile, pasang ‘waterproof’ dan meletak tile yang baru. Mau termenung memikirkan kos tu sebab keluasan bilik air cuma 5.25” x 7.5” dan tile yang akan digunakan pun hanya yang biasa sahaja sebab rasa rugi bila pasang tile cantik dan mahal tetapi orang yang duduk. Lagi sakit hati bila ada sepupu bagitau dia pasang tile dari ruang tamu sampai ke dapur dengan kos Rm3500. Tukang ini siap bagitau ada rumah di kawsan tu buat yang murah Rm2000 tapi kena buat balik sebab bocor lagi kemudian buat yang Rm3000 sama bocor lagi akhirnya buat yang Rm5000 baru elok. Terus kami batalkan niat nak buat dengan dia.


Akhirnya bagai orang mengantuk disorongkan bantal adik dan anak buah sanggup datang dari kampung untuk buatkan bilik air tersebut. Kerja-kerja baik pulih akan mula dilakukan hujung minggu nanti dengan persetujuan penyewa. Paling penting sediakan duit untuk kos membeli barang dahulu kata mereka. Adik saya tuan punya bengkel motor JMRMotorwork tetapi mewarisi kemahiran dari abah yang pandai bertukang. Anak buah Shaiful pula lepas habis sekolah memang membuat kerja-kerja membina rumah dan turut mewarisi kemahiran dari arwah ayahnya.



Mempunyai rumah sewa memang kadang-kadang dipandang orang sebagai berduit tetapi realitinya duit sewa itu hanya boleh menampung bayaran balik bulanan atau kadang-kadang tuan rumah pula terpaksa menambah bayaran bulanan. Bil pembentungan, cukai tanah dan cukai pintu juga termasuk di dalam kos yang terpaksa tuan rumah tanggung. Kelebihannya cuma bila habis bayar rumah itu jadi milik kita akhirnya.