Memaparkan catatan dengan label pilihanraya. Papar semua catatan

Biru Jarinya



Korang hado? Jari yang dicat masih belum hilang warnanya. Keputusan pun semua sudah maklum. Besar harapan sangat wakil rakyat yang dilantik dapat menjalankan tanggungjawab serta menggalas amanah dengan baik. Allah s.w.t lebih tahu.


Berat tanggungjawab menjadi seorang pemimpin bukan setakat dunia sahaja perlu ditanggung tetapi akhirat esok juga perlu dijawab. Bersediakah? Jadi sebagai penyokong usah tambah dosa sedia membukit kepada menggunung tapi siapa pula kita nak menilai dosa pahala orang.


Selamat berkerja bagi yang bekerja dan jangan nak 'monday blues' sangat, niatkan kerja itu satu ibadah. Bagi yang bercuti happy holiday, wahhhh saya sangat jeles sebab tak dapat bercuti!


Warna-Warni PRU13


 
Simpang Batu Gajah dari Sri Iskandar, Perak.

Sabtu sehari sebelum pilihanraya kami ambik keputusan untuk balik menjengah emak Pak Tuan di Kampung Aji, Bota Kiri, Perak. Walaupun sudah dapat mengagak jalan pasti sedikit sibuk tetapi disebabkan semangat nak merasa susana pilihanraya kat kampung kami tetap nekad nak balik jugak.   Pulak tu dah lama jugak tak menjengah mak mertua. Akhirnya bukan setakat sibuk langsung sesak tak bergerak! Pukul 7am kami bertolak akhirnya pukul 12 tengahari baru sampai. Letih mem memandu, Pak Tuan berdengkur kat sebelah.

Konvoi BN di jalan utama depan rumah mak mertua. 

Rutin kami bila balik kampung akan singgah pasaraya di Batu Gajah membeli belah barangan dapur untuk emak mertua dan juga membeli ikan untuk makan tengahari. Rutinnya jugak keli dan patin menjadi habuan. Sampai sahaja di rumah Yang (kakak ketiga Pak Tuan) tersenyum di depan rumah. Menunggu adik kesayangan balik (adik ipar kesayangan jugak...sayanglah sangat!). Mengangkat barang dari kereta Yang mula sibuk di dapur basuh keli, siang patin. Gulai tempoyak kegemaran Pak Tuan dan keli goreng menjadi hidangan tengahari. Adik Pak Tuan si Ucu juga balik untuk makan tengahari kebetulan dia bertugas di pusat pengumpulan peti undi di Sri Iskandar. Balik nak jumpa abang!

Peserta konvoi bermotosikal.

Macam biasa Pak Tuan akan sibuk membersihkan keliling rumah emak. Aina tumpang sekaki, masak memasak Yang uruskan, adik ipar tolong kemas dan cuci pinggan sahaja. Petang tu ada dua konvoi parti politik. Kiranya all out kempen untuk hari terakhir. Mula-mula konvoi PAS, ramai terutamanya anak muda yang menaiki motor membawa bendera. Lupa kamera ada di dalam beg. Agak petang konvoi BN pula. Pak Tuan berdiri di tepi jalan, melambai-lambai memberi sokongan dan peserta konvoi membunyikan hon sepanjanag jalan (dia makan pencen tak boleh derhaka...hahaaa...tetapi sebenarnya dihati dia sangat patriotik, dia sayangkan Malaysia dia sayangkan perjuangan Melayu). Meriah! Sempat snap sekeping dua gambar. Hampir 45 minit baru habis peserta yang mengambil bahagian, bayangkanlah berapa ramai yang turut serta.

 Pintu masuk pertama ke Kajang Utama.

Suasana 5.4.13 agak tengahari di depan Sekolah kebangsaan Kajang Utama yang menjadi pusat mengundi.

Alhamdulillah. Selamat sudah menjalankan tanggungjawab nan satu, 5 tahun sekali. Juga syukur tiada kekecohan yang berlaku di kawasan sekitar pada hari pengundian. Mungkin kebanyakan yang mengundi hanya penduduk setempat yang hampir kebanyakannya kita kenal. Tiada juga perasaan bimbang. Tiada jugak pondok panas dan peraih undi yang berlegar sekitar sekolah. Selepas dua jam berdiri akhirnya jari pun dicalit. Kalau tak calit pun nama sudah dipotong dari senarai pengundi sepatutnya tiada yang perlu di risaukan!

Pemerhatian Aina kali ini terdapat penambahan bilangan pengundi muda. Fenomena baru kerana sebelum ini penggundi muda sangat terhad bilangannya. Kali ini barisan penggundi muda paling panjang. Walaupun terpaksa berbaris panjang, berpanas masing-masing bersemangat untuk mengundi. 

Bila keputusan diumumkan hati ini sedikit tercalar. Sedih. Sebak. Bukan mengenang diri tetapi mengenang apalah nasib anak dan cucuku kelak. Resah Pak Tuan menjadi kenyataan. Soalan pertama yang Aina soalkan pada Pak Tuan. 'Apa yang perlu kita buat untuk menghadapi 5 tahun akan datang?'

Takut ketikanya tiba kita umpama menjadi 'Lebai Malang' ayam menang kampung tergadai, menjadi 'Pak Pandir', menjadi 'Si Luncai' menjadi pendatang di bumi sendiri. Tak takutkah membuat pengakuan terbuka sebegini? Soal saudara, soal kawan, soal jiran bukan parti politik menjadi ukuran. Agama datang dahulu! Maka kita akan di pertanggungjawabkan atas apa juga perbuatan kita walau sebesar zarah, walau hanya sekadar nawaitu. Biarlah orang yang arif dalam bidangnya yang bercakap sebab ilmu agama Aina sejengkal cuma.


  Selepas ini pastinya saban bulan kami akan menjadi tamu di rumah ini. Dia semakin uzur.

Telinga Nipis

Worksation geng kami ini selalu jadi tempat diskusi politik. Jantan-jantan biasalah depa akan luahkan pendapat dan pandangan secara terbuka. Mewarwarkan apa yang depa baca, apa yang depa dengar. Bersungguh-sungguh umpama semua tu adalah cerita benar yang mereka lalui walaupun kekadang jalan ceritanya tak berapa nak logik akal sangat.

Tercampak sorang pompuan kat sini tetapi sesekali bila menyampuk 5 jantan ni senyap jugak. Agaknya malas nak lawan cakap dengan makcik yang bagai katak dibawah tempurung ni. Makcik yang typical. Makcik yang tak reti nak membuka minda. Lantaklah korang.

Membaca itu ilmu. Jangan sampai kita menurut hati dengan apa yang kita baca. Mendengar boleh tapi dengar sahaja tanpa membuat pertimbangan sewajarnya adalah bahaya. Selidiklah apa yang kita baca apa yang kita dengar, usah membuta tuli iyakan apa tah lagi berhujah sedangkan kita tidak tahu pun di mana kepala di mana ekornya. Lagi bahaya bila kita sebarkan, nak pulak cerita itu hanyalah dusta tak pasal-pasal kita tumpang sebar fitnah dan tak perlu cakaplah apa hukumya kerana semua orang tahu.

Tak kiralah bicara soal apa pun jika perkara tu tak kena di jiwa seseorang tambahan pulak bercerita benda tak betul memang cepat je nak marah. Kita cepat rasa berdebar-debar, mulut rasa ringan nak menjawab tapi hati kata sabar. Biarlah mereka. Jagalah silaturrahim yang ada kerana bila mula bercakap akan ada hati yang teretak, mungkin jugak terguris. Kita berfikir kenapa mereka tidak? Mungkin makcik-makcik je kot rasa macam tu.

Kelakar ada jugak, cerita bab agama meletup-meletup tapi mulut boleh je kata macam-macam kat orang. 'Pakai kopiah pun senget ada hati nak berjihad'. Heran jugak jihad kena pakai kopiah ke? 'Nak jihad gi la Palestin'. Masyaallah. Jihad tu ada kat Palestin sahajakah? Ruginya kita rakyat Malaysia tak boleh berjihad, malangnya umat Islam negara lain tak ada apa nak dijihadkan.

Ada internet ni bagus banyak faedahnya tetapi yang tak bagusnya banyak betul penyelewengan dan salahguna. Banyak fitnah tersebar dengan cepat tak kurang jugak ilmu yang kita dapat. Seinci akan jadi sejengkal, sejengkal akan jadi sekaki, sekaki jadi sehasta yang akhirnya akan jadi berjela-jela dan maknanya pahala atau dosa yang kita bawak akan jadi sebanyak itu jugaklah. Perkara baik menyusun pahala, perkara buruk bilanglah dosa. Dosa dan pahala tak nampak sekarang tapi bila dah tahu menyesal pun sudah tak berguna.

Apa kena mengena tajuk dengan post sebabnya Aina memang bertelinga nipis sebab tu jiwa tak kental untuk menjadi ahli politik bertauliah atau pun tak bertauliah. Jadinya serahkan sahaja kepada yang lebih arif dalam bidang mereka tetapi ramai jugak ahli politik segera yang lahir sempena PRU13 ini.

Akhir sekali. Selamat mengundi buat semua. Siapa pun calon pilihan moga-moga mereka celik tanggungjawab. Jangan pulak yang kalah nak buat kacau bilau atau rusuhan. Redza jelah dengan ketentuan Allah terutama sekali buat semua orang Islam jangan berpecah belah kerana parti. Kata Islam. Berpegang pada 'Percaya Pada Qada Dan Qadar'. Kalau kalah lagi 5 tahun usaha lagi!




Koleksi gambar pesta ponggal bendera di depan SKKU yang bakal jadi pusat menundi diambil pagi 3hb Mei 2013 (gigih keluar kamera atas motor).

**Khabarnya semua masjid akan mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat agar PRU13 berjalan lancar dan secara aman.


Terkenang Pilihanraya Dulu-Dulu

Waktu puncak untuk berkempen dua minggu ni. Masing-masing bertungkus lumus nak memenangi hati rakyat. Kalut menyusun strategi. Melambung janji. Meyusun kata semanis madu...hikhikhikkk...

Teringat zaman kecik-kecik dulu. Zaman pilihanraya masa kat kampung. Meriah, sangat meriah. Keluarga kami ni kiranya beranak ja dah tengok gambaq kati pasainya tok ayah (ayah mak) adalah JKKK kat kampung kami. Dia antara aktivis politik yang disegani di Perlis jugaklah. Pernah terima pingat dari Raja Perlis Tuanku Syed Putera. Lupa pulak la apa nama pingat tu. PJK kot. Orang kampung terima pingat kira besaq sangat dah. Al-Fatihah untuk arwah tok ayah Senapi Man.

Lepas penamaan calon tu kiranya masing-masing dok kalut berkempenlah. Segalanya amat terhad waktu tu. Mana ada telefon bimbit macam la ni, internet pun tak dak, telefon rumah pun tak dak kecuali bagi orang yang betoi-betoi berada. Kempen pun cara manual saja. Ceramah sana ceramah sini, jemput YB yang bakal bertanding mai markas (bilik gerakkan), panggil orang lama yang dok berjuang dalam politik bagi ceramah. Buat aktiviti kemasyarakatan sedikit sebanyak. Bendera pun terhad. Poster-poster pun terhad. Masing-masing berlumba-lumbalah dok gantung segala poster dan bendera masing-masing. Habih la segala pokok buluh dalam kampung jadi mangsa, terang kampung.

Siang malam markas tu ada ja orang. Lagi meriah bila malam, berkumpoi ramai-ramai. Walaupun masa tu hanya di jamu teh 'o' atau kopi 'o' cicah biskut empat segi keadaan tetap meriah. Semua bersatu. Lepas tu ramai-ramai konvoi jalan-jalan pi markas cawangan lain pulak.

Paling heran dulu tak dak pulak yang hat dok pi cantaih bendera atau poster orang lain. Tak ada pulak dok bergaduh, berparang kena hantaq hospital kena panggey polis. Ceramah pun ada batas tak lah sampai boleh maki hamun, kata orang sesuka hati. Masjid pun masih suci tak dak bicara bab politik, masuk situ kira bab agama sahaja. Parti apa semua letak tepi pasai sembahyang kerana Allah Taala bukan kerana parti.

Paling best bila hari pilihanraya, kalutnya dah macam hari raya. Kami hat budak-budak ni tumpang syok jalah. Budak-budak muda naik mutu pasang bendera kiri kanan konvoi serata kawasan. Kereta keluar masuk kampung bawak pengundi pi tempat mengundi. Part paling best ada makan-makan masa hari mengundi, masa tu buleh la makan sedap sikit. Lauk ayam, lauk daging. Dulu-dulu lauk-lauk tu di kira lauk mewah bukan macam zaman la.

Kenangan berkempen zaman dulu berbeza sangat dengan berkempen zaman la. Berpolitik orang dulu pun sangat berbeza dengan orang zaman la. Semua kerana kuasa, kerana pangkat dan kerana darjat tak kira hat biru ka, hat hijau ka, hat nak naik roket ka hat mata sebelah ka semua sama. Paling penting sapa pun yang menang berbaktilah pada rakyat sebaik mungkin, agama jangan di ketepikan. Lebihnya hampa jawab sendirilah kat akhirat esok-esok na.

Ini bukanlah entri berbau politik cuma teringat pilihanraya dulu-dulu zaman kecik-kecik. Jangan tanya Aina pangkah apa na. Pasai ada sorang kawan ni kecik-kecik dulu dia dok ikot mak pak dia pi markas tiap-tiap hari. Tolong boh poster kertas dalam plastik dan stepler (zaman la plastik semua dah), kiranya hidup dia dari kecik sampai besaq dok bawah sinaran bulan tapi bila dah kerja hati dia beralih arah jugak walaupun dia masih dok hormat pak dan kasih kat mak dia. Al-Fatihah jugak buat ayahnya yang kembali ke rahmatullah tahun lepas.

Akhir kata jangan menyampah baca entri kat sini seminggu dua ni na.


Politikus

Sejak kebelakangan ini ramai betul ahli politik lahir di sekeliling aku. Mereka jadi serba tahu, dari A-Z. Info mereka walaupun serong tetap cuba di katakan betul. Bila bercakap berapi-rapi. Mengalahkan Haji Hadi sedang memberi ceramah juga mengalahkan Najib Razak di tempat tercorot.

Itu cerita sebelum pilihanraya, bila dah habis lain pulak ceritanya tapi apa yang pasti semua orang tak kena yang kena hanya dia seorang. Paling best cakap berapi-rapi bila kita tanya mengundi kat mana jawapannya aku tak daftar mengundi. Tepuk dahi! Haiyaaa...ini macam punya olang pun ada juga meh.

Paling tak best yang dok cerita tu semua keburukan orang saja sepertinya orang yang diburukkan itu langsung tak ada kebaikan langsung. Kita tidak sempurna tetapi di sebalik ketidak sempurnaan itu Allah tetap memberi sifat-sifat baik untuk setiap hambanya. Begitulah jadinya bila kita mengikut kata hati tanpa mahu menggunakan akal. Masalahnya dia bercakap kita mendengar sedikit sebanyak saham itu dikongsi jugak.

Berpolitik itu atas pendapat masing-masing. Sebagai orang Melayu yang kaya dengan adat dan kesopanan ditambah pula dengan tuntutan agama rasanya masing-masing sudah tahu batasnya. Tak perlu di ajar tentang dosa dan pahala. Tak tahu apa nak jadi andai cendekiawan yang dikatakan cedik, tok guru yang di katakan penuh ilmu agama apatah lagi manusia jahil yang ilmu tak seberapa masing-masing berlumba-lumba membuka aib antara satu sama lain.

“Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau sekalian mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya.” (HR. Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Dunia politik di negara kita sudah matang tetapi yang menghairankan orang yang berpolitik tidak pula mahu matang. Sokonglah parti manapun perpaduan umah tetap perlu dijaga. Jangan kerana parti politik kita berpecah belah. Biarlah 'cubit peha kiri peha kanan tetap terasa' dalam membangunkan ummah.

Jangan jadi hamba politik!


Mengundi Kali Pertama

Bagaimanakah perasaannya? Lupa sudah. Kali pertama mengundi di DUN Guar Sanji (tak pasti tetapi sekarang memang DUN tu). Parlimen Arau. Mengundi di Sekolah Menengah Syed Ahmad sekarang Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad. Ada kereta ambik kat kampung bawak pergi sekolah. Ada pondok panas. Ramai penyokong-penyokong kiri kanan jalan yang kadang-kadang buat kita rasa takut nak jalan masuk kawasan sekolah.

Kalau PRU ok lagi coz semua orang sibuk di kawasan masing-masing. Menjadi masalah bila pilihanraya kecil. Pernah merasa betapa panasnya keadaan masa tu. Menakutkan bila penyokong parti yang bertanding saling provoke antara satu sama lain. Parti biru sebelah kiri jalan parti hijau sebelah kanan jalan. Terjerit-jerit. Muka-muka yang ada pulak semuanya tak kenal. Kalau orang tempat sendiri seorang dua mungkin kita kenal. Kita yang nak pi mengundi pun jadi takut.

Bila sampai kawasan sekolah hati jadi lega. Kawasan tak adalah sesibuk kat luar yang ada cuma petugas. Tak ada lambang parti mana-mana waima payung yang ada lambang pun tak boleh masuk kawasan tersebut.  Ada lambang semua sampai pagar sekolah ja. Di bawa ke tempat mengundi, periksa IC kot-kot salah tempat pulak. Ada meja untuk pemerhati setiap parti yang bertanding. Lain-lain memang tak pernah ambik tahu.

Tahun ni kali pertama akan mengundi sebagai pemastautin Selangor. DUN Bangi, Parlimen Serdang. Undi apa? Jangan tanya okeh. Undi itu rahsia. Selagi boleh kerja cari rezeki, hidup dengan aman tanpa kacau bilau sudah sangat bersyukur. Hidup bukan hendak menongkat langit pun. Jadi bersederhanalah dalam berpolitik. Jangan sampai politik tu memakan diri sendiri. Paling penting jangan gunakan politik untuk rosakkan agama. Siapa menang dia bertanggungjawab terhadap amanah yang telah di berikan. Amanah bukan setakat dunia sahaja tetapi bakal di jawab di akhirat.

Arwah Tok Ayah (ayah mak) dulu orang kuat UMNO. Jadi JKKK. Antara orang kuat UMNO yang dihormati di Perlis. Juga pejuang yang pernah merasa peritnya sebelum merdeka. Dia di hormati oleh kawan dan lawan kerana karismanya. Tiada beza baginya dalam bermasyarakat walaupun berlainan parti. Hubungan tetap erat. Bukan macam orang zaman sekarang kerana perbezaan politik adik beradik bergaduh, suami isteri boleh bercerai, antara jiran bermasam muka. Caci mencaci perkara biasa. Fitnah menjadi makanan seharian.

Sebelum Tok Ayah pergi dia pernah berpesan. Jangan ada diantara anak cucunya yang bergiat aktif dalam politik kerana politik zaman sekarang adalah politik kotor tidak seperti dulu. Bukan berdasarkan perjuangan menjaga maruah bangsa. Mempertahankan apa yang kita ada. Sebaliknya semua sibuk ingin menduduki takhta. Menjadi yang berkuasa.