Saya Bangga Ada Ibu

 

Kali ini Aina nak join contest anjuran KSP ala tuan punya diri yang termanja kat atas tu. Bukan apa cuma nak berkongsi rasa istimewanya dan bangganya Aina ada ibu sepertinya. Pemergian ayahanda tercinta di kala belum mengenal dunia membuatkan hati serta semua kasih sayang hanya tumpah padanya.

'Semangat juangnya menjadi inspirasi kepadaku untuk meneruskan kelangsungan hidup ini, melawan kecewa hati-hati yang patah dan rapuh. Kesabarannya umpama ubat yang bisa menyembuh setiap luka-luka yang ada. Kelembutannya mencair hati dan perasaan, membunuh segala kedegilan. Ketegasannya membina jati diri yang sejati. Kasih sayangnya sehingga kini bagai air dingin yang tak henti mengalir dari celahan gunung yang tinggi.' 

Pengorbanan tanpa henti, kepayahan yang dilalui penuh kecekalan. Mendidik dalam serba kekurangan, mencari rezeki dalam seribu kepayahan tetapi hatinya tak patah, air matanya tak pernah tumpah jauh sekali merungut. 

Kini usianya kian menginjak, garis-garis pada wajahnya sudah terlalu banyak sebagaimana banyaknya pahit dan manis yang dilaluinya sepanjang 60 tahun kehidupannya. Selayaknya dia mampu tersenyum kini, anak-anak mampu berikari. Hatinya tidak perlu gusar lagi memikirkan apa untuk di makan esok. Hatinya tetap seperti dulu kuat dan tabah kerana dia mengerti selagi hayat di kandung badan anak-anak masih mengharapkan teduhan kasihnya!


Dia ibuku...melahirkan dan membesarkan dari tiap titisan susu dan keringatnya. Sepenuh hati kasih dan sayang tumpah padamu ibu kerana 'Syurga Itu di Bawah Telapak Kakimu'

Secara rasminya sebagai memenuhi syarat-syarat 'contest' Aina dengan bangganya 'tag' semua pengunjung-pengunjung halaman ini yang ingin melahirkan kasih sayang pada ibu masing-masing.

Selamatkah Anak-Anak Kita?

Semalam pulang dari kerja seperti biasa bilamana mentari sudah mula beradu dan dingin malam menggigit tulang temulang. Melalui PLUS Highway menghala ke Kajang dengan iringan doa semoga selamat sampai setelah paginya sebelum kaki melangkah doa yang sama dititipkan. Sesungguhnya bukan itu yang ingin di kongsi tetapi ada sesuatu yang mencuit hati, menyentap rasa.

Sesampai di kawasan perumahan dengan melalui jalan pintas di bawah jambatan keretapi, melalui kawasan perumahan townhouse dan menghala ke rumah. Kegelapan malam yang agak suram dan tanpa lampu jalan yang sempurna terlihat bayang-bayang kelibat 2 kanak-kanak berjalan dari kawasan perumahan menuju ke jalan utama kawasan perumahan Taman Kajang Utama. Memberhentikan motor memerhati kanak-kanak dalam lingkungan 7-8 tahun berjalan berdua (takut juga anak sendiri). Mungkin mereka berjalan ke kedai yang terletak di belakang flat.

Terdetik di hati, kenapa kita membuka peluang kepada jenayah untuk berlaku. Kanak-kanak seusia itu dibiarkan berjalan di malam hari, walau atas alasan apa seklaipun bagi aku adalah tidak wajar. Memang itu adalah jalan utama, ada lampu jalan yang tidak sempurna maksudnya ada yang menyala ada yang dah padam, juga ada orang yang berniaga di tepi jalan tetapi adakah itu jaminan keselamatan anak-anak kita.

Kekadang kita terlalu mengambil mudah pada sesuatu perkara sehinggalah kita sendiri menjadi mangsanya. Ketika itu segalanya sudah tiada maknanya. Kenapa mesti mempertaruhkan keselamatan anak-anak hanya kerana sebuku roti? Sudah tidak mampukah kita sebagai ibu untuk melakukannya (yang aku pasti sesangat kaum ibu di kawasan itu tiada yang sakit terlantar). Tidak sempatkah lagi menunggu si bapa pulang dari bekerja? Aku menjadi betul-betul takut andai apa-apa terjadi pada mereka dan berasa sangat-sangat kasihan pada anak-anak ini. Menunggu sehingga mereka balik dan berjalan ke kawasan flat!

Teringat kisah seorang kawan. Berlaku di kejiranannya tanpa kita sangka dan duga. Anak-anak pulang dari sekolah membawa kunci sendiri sementara ibubapa pulak bekerja. Menjadi rutin seharian balik dari sekolah, buka kunci, masuk, tutup dan kunci grill. Pesanan andai ada yang datang jangan di buka pintu. Suatu hari balik dari sekolah sebaik pintu di buka di tolak masuk oleh seorang lelaki berbangsa India dan cubaan merogol telah berlaku. Seluarnya telah dibuka! Tiba-tiba si abang menyergah dipintu dan menjerit-jerit melihat adik diperlakukan sebegitu dan lelaki itu lintang pukang berlari. Subhanallah...syukur anak ini selamat.

Begitulah apa yang kita fikirkan sebenarnya tidak sama dengan situasi dan kenyataan hidup. Bagi kita anak-anak akan selamat bila pulang kerumah sendiri tetapi sebenarnya kita juga membuka peluang kepada berlakunya jenayah bila mereka pulang tanpa pemantauan orang dewasa. Sekurang-kurangnya ada jiran-jiran yang memerhati, walaupun kekadang lebih kepada menjaga tepi kain tetapi bila berlaku keadaan sebegini mereka masih boleh diharapkan.

Nukilan Aina: Sesibuk mana, seletih mana anak-anak tidak akan di biarkan sesuka hati keluar di malam hari kecuali bersama orang yang lebih dewasa. Bukan mengongkong tetapi itulah kasih seorang ibu demi keselamatan anak-anak. Alhamdulillah...tanggungjawab semasa tiada di rumah diambil alih adik sendiri.