Rezeki Berniaga JMR Motorworks


 Mengejar 9/10 dari rezeki yang Allah s.w.t janjikan di dalam perniagaan dia bertungkus lumus membina perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah kemudian bila terkumpul modal dia membina bangunan sendiri di depan rumah mak. Perancangan dia sangat jauh bukan untuk setahun dua tetapi lagi jauh kehadapan. Alhamdulillah JMR Motorworks membuka bengkel membaiki motosikal ke dua di daerah kelahiran Tambun Tulang, Perlis bersebelahan Kolej Komuniti. Kedai yang di sewa tidak sebesar mana namun itulah permulaan untuk lebih berjaya di masa hadapan.


Mac 2014 sebulan pembukaan permulaan sememangnya perniagaan tidaklah memberangsangkan almaklumlah masyarakat masih tidak mengetahui wujudnya bengkel motosikal di situ. Kemudian sedikit modal dikeluarkan untuk cetak 'flyers' yang di masukkan ke dalam motor pelajar Kolej Komuniti. Strategi seterusnya naikkan 'banner' di hadapan kedai. Masuk bulan ke dua alhamdulillah tak menang tangan pula nak melayan pelanggan.


Ruang kedai yang kecil semakin sempit dibuatnya bila bilangan motor mula bertambah. Masuk bulan kedua segalanya perlahan-lahan berubah.








Kami melawat kawasan semasa pulang ke kampung sempena cuti Tahun Tahun Baru Cina pada bulan Febuari yang lalu. Mak, Yong, saya, adik dan Kakak Hayani. Mak nampak gayanya berpuas hati dengan suasana kedai. Sepatutnya kedai yang di sewa adalah lebih luas di pintu sebelah namun mak kurang berpuas hati dengan ciri-ciri keselamatan yang ada jadi terpaksa memilih yang ini walaupun kecik sedikit.


Kami saling menyokong antara satu sama yang lain, seorang kesusahan pasti yang lain akan dengan senang hati membantu selain soal modal juga sokongan moral yang dapat menaikkan semangat dia dalam perniagaan. Sekali-sekala saya akan telefon atau Whatsapp bertanya khabar perniagaan dia, hubungan kami adik beradik sangat rapat walapun kami berlainan bapa. Suatu hari moga cita-cita Shahizat akan menjadi kenyataan membina empayar perniagaan yang gah di Perlis namun tetap menjadi seorang anak yang baik dan sentiasa bertimbang rasa pada orang di sekelilingnya. Sekarang dialah yang mengambil alih tugasan menjaga mak, menjaga adik Syafiq, menjaga anak-anak Yong yang sudah yatim.

"Ya-Allah bukakanlah seluas-luasnya pintu rezeki buat dia."




Nasi Goreng Kantin Sekolah


Ramai antara anak-anak kita yang masih bersekolah tetapi pernah tak kita pantau apa yang anak kita makan di kantin sekolah setiap hari dari segi kualiti mahupun kuantiti. Menjengah kawasan kantin dan melihat pekerja yang memberi layanan pada anak-anak kita. Sebagai manusia biasa memang kita semua tidak sempurna tetapi seboleh mungkin kita ingin yang terbaik buat anak-anak.



Inilah rupanya nasi goreng Rm1 di sekolah anak yang bersekolah rendah, bandingkan saiz pinggan dengan pen di sebelahnya. Nasi goreng kosong tanpa sepotong sayur pun. Carrot di Econsave murah sahaja apa salahnya letak bagi nampak berseri sedikit. Lagi banyak kuantiti tu kalau beli gerai di luar yang jual sarapan pagi.



Teh tarik cawan kecik berbanding pinggan nasi goreng, sepinggan pun Syed makan tak cukup. Syed keciklah bukan Syed bapaknya kalau Syed bapaknya banyak tu lekat celah gigi/


Biasanya anak-anak akan bersarapan di rumah sebelum ke sekolah kecuali pada hari tersebut masakan tak kena dengan selera mereka tapi bagi si bungsu Syed memang akan bersarapan setiap hari. Jadi rutin memasak pagi hari memang tak dapat nak di elakkan sekurang-kurangnya waktu rehat dia makan hanya untuk mengalas perut.


Ini saiz pinggan sebelum GST sekarang setelah GST dilaksanakan dan ramai pulak peniaga mengambil kesempatan entah apa pula yang di hidangkan kepada anak-anak di sekolah. Jalan penyelesaian mungkin boleh menyiapkan bekal untuk anak-anak tetapi mahukah anak-anak yang biasa makan di kantin tiba-tiba membawa bekal kecuali anak perempuan.