Ketupat Untuk Menantu
Saban tahun setiap kali hari raya emak tidak pernah tidak pasti akan menyiapkan ketupat sebagai bekalan balik ke Kajang. 'Ketupat Untuk Menantu'. Emak dalam banyak keadaan akan lebih memenangkan menantu berbanding anak sendiri. Walaupun kadang-kadang salah itu datang dari menantu sebagai emak dia akan memberi nasihat yang lebih pro kepada menantu mungkin untuk tidak mengeruhkan keadaan. Sayang mak pada menantu lebih dari sayangkan anak tetapi itu hanya tanggapan, jauh disudut hatinya anak-anak tetap datang nombor satu.
Hari raya tanpa suami bagai rutin kepada saya, hati saya sudah kalis anak-anak sudah hadzam. Usah di tanya kenapa kerana itulah rezeki kami. Redha adalah ubat hati terbaik. Di sebalik sebuah ujian ada hikmahnya tersendiri. Allah s.w.t menguji saya beraya tanpa suami tetapi Allah s.w.t memberi saya kegembiraan beraya bersama emak tersayang. Adil bukan? Sepanjang 39 tahun tidak pernah tidak tanah kelahiran akan tetap saya jejaki, sepanjang itu jugalah saya mencipta kenangan ditempat sendiri. Senyum mak, air mata mak, resah serta gundah mak di Aidilfitri kami tempuh bersama. Kegembiraan beraya bersama adik-beradik tidak kurang hebatnya.
Lali dengan pandangan orang sekeliling saya biarkan pandangan serta cakap-cakap mereka pergi di angin lalu, saya tidak izinkan ia menyinggah di hati. Hidup kami jadi kami lebih mengerti. Bagi saya selagi suami mengizinkan untuk pulang beraya di kampung sendiri itu sudah cukup baik. Bukankah syurga saya ditelapak kaki dia? Bukan hati tidak sayang tetapi kerana sayang saya sanggup berjauhan. Memberi ruang kepada diri masing-masing.
Walaupun berasal dari Perak yang terkenal dengan lemang dan rendang tok tetapi dia lebih suka ketupat palas. Menggemari ikan sungai puyu, haruan, keli dan sepat. Hidup secara orang kampung yang menjadi darah dagingnya, kenangan itu tetap kukuh di hati. Jadinya setiap kali raya mak akan siapkan ketupat palas
buat menantu.
Sesi buka daun palas sehari sebelum mak gigih balut ketupat palas. Habis lengan luka-luka sebab gighnya isteri pergi ambik daun palas di pokok demi suami tersayang...cewahhhh...
Mak dengan kakak ipar sedang balut ketupat, saya jadi tukang tengok sahaja sebabnya tangan saya tidak berseni untuk membalut. Sampai hitam pulut yang putih saya kerjakan, jadi sebiji nak buat lagi dah lupa cara pusing. Kakak ipar muda dari saya tapi pandai balut ketupat palas. Jadinya esok-esok teringin nak makan boleh buat muka sedih kat kak ipaq!
Tahun ini mak buat ketupat pulut hitam. Beras pulut putih yang dimasak dengan santan tetapi dicampur dengan beras pulut hitam yang selalu buat bubur tu.
Demo dari kakak ipar tetapi adik ipar tetap tak boleh serap ilmu balut ketupat palas.
Hasil dari 1kg beras pulut putih dan sedikit campuran beras pulut hitam. Selepas siap balut sesi merebus pulak sebab pulut tersebut hanya separuh masak sebelum dibalut.
Suatu hari kisah 'Ketupat Untuk Menantu' hanya akan menjadi kenangan kerana itu adalah pasti. Selagi emak ada selagi itu pasti setiap tahun akan ada kisah berlainan dengan tajuk yang sama dan saya sentiasa berharap akan masih banyak lagi tahun-tahun akan saya lalui bersama mak untuk menyiapkan 'Ketupat Untuk Menantu'.













