Slow Learner Sembilu Di Hati


Siapa kita untuk menolak ketentuan Allah, perjalanan hidup atas kehendakNya. Sebagai hamba redhalah ubat hati yang terbaik.


Hati saya bersalut duka bila mengenangkan anak bungsu manakan tidak sehingga Tahun 3 barulah dia mampu membaca, itu pun tidak selancar mana. Sekarang di Tahun 4 tidaklah sangat saya mengharap untuk dia menjadi pandai dapat membaca juga mengira itu sudah baik buat saya.


Sebagai ibu yang berkerja memang memasa menjadi penghalang untuk saya terus duduk tekun bersama dia, selagi ada masa saya akan mencuba. Sedikit sahaja perubahan positif pada diri dia seribu kegembiraan terukir di hati saya. Tak terucap bila dia mampu membaca bait-bait tulisan di televisyen. Bagi orang lain mungkin itu biasa tetapi bagi anak bungsu saya itu adalah luar biasa.


Tahun ini saya berada di syarikat baru yang sedikit menjadi penyebab untuk bapa mengambil rekod pelajaran anak. Sistem band yang sememangnya berbeza dari sistem persekolahan di tahun 70an banyak mengelirukan si bapa. Saya tahu dia sangat kecewa dengan keputusan Hikram tetapi hanya itulah yang terbaik dapat Hikram beri. Juga itulah yang saya hadapi sejak bertahun-tahun dulu tetapi saya tidak menunjukkan kepada mereka apa yang tersirat dihati.


Penerimaan guru juga sangat penting bagi anak-anak slow learner ini. Saya pernah berbincang dengan guru kelas Hikram yang merupakan guru baru di sekolah tersebut dan dia mengakui dapat menjejak kekurangan Hikram pada hari ketiga dia mula mengajar. Cikgu Syarifah Mahfuzah memang seorang yang sangat perihatin. Ada juga antara guru yang mengajar tidak dapat mengesan kekurangan ini malahan apabila ada pertemuan antara ibu-bapa dan guru keluar juga perkataan-perkataan kurang enak di telinga. Saya pernah rasa terhina, terhiris dengan kata-kata sinis seorang guru. Sebagai ibu adakah harus saya berdiam diri?


Tidak ada ibu bapa yang meminta anak mereka dilahirkan dengan kekurangan.


'Lemah! Lemah! Lemah!. Semuanya lemah!'
'Sejarah. Band 1. Paling lemah.'
'Kerja sekolah rekacipta tak berhantar'
'Tak guna belikan iPad sekiranya begini keputusan periksanya'


Saya tahu dia kecewa sangat kecewa. Selama ini saya cuba membantu Hikram, bukan tidak. Saya cuba menjadi ibu terbaik dalam mendidik dia. Cuma Hikram kategori 'slow learner'. Saya faham dia sukar menerima kekurangan itu. Menolak untuk menerima sebenarnya. Pendedahan yang kurang mungkin.


Saya tetap bersyukur kerana punya keluarga yang positif, emak, adik-adik, kakak dan abang yang saling menyokong kekurangan Hikram. Sentiasa memberi semangat ketika saya lelah dan ingin mengaku kalah. Kejayaan bukan sahaja bergantung kepada bijak anak di sekolah kejayaan juga akan datang bila kita pandai mencari peluang. Itulah yang saya pegang tika ini untuk membantu Hikram.


Suatu hari moga kejayaan akan bersama Hikram. Doa ibu akan sentiasa bersama anak-anak. Pesanan buat ibu-bapa juga janganlah di bandingkan antara satu anak dengan anak yang lain. Selagi mampu bantu, bantulah mereka.



Lambaian Ramadhan Lambaian Kenangan


Detik berlalu pergi hari-hari dilalui terasa pantas berlari, mentari terasa sekejap cuma menyinar bumi kelam pula terasa seperti menghambat waktu mentari sangat cemburu. Alam terasa cepat sangat berputar. Kita masih begitu menghitung hari dan detik tanpa mahu berubah dan hanya mereka yang berusaha gigih terus mara kehadapan.



Ramadhan bakal menjengah kita seketika cuma sahaja lagi, Ahad yang bakal menjengah. Tika ini hati menjadi sayu. Sudah terlalu tua diri ini agaknya untuk merasa begini agaknya. Kenangan Ramadhan satu persatu bermain di mata. Wajah mak terbayang-bayang.


Teringat zaman kecil-kecil dulu. Seminggu sebelum tibanya Ramadhan arwah tok akan buat stok kerisik untuk sebulan sebabnya bila bulan puasa macam-macam masakan akan dihidangkan. Antara kegemaran tok adalah nasi ulam (versi utara). Daun-daun ulaman yang diracik halus kemudian digaulkan dengan nasi, kerisik dan garam. Stok tepung dan gula juga untuk sebulan sebab bulan puasa macam-macam kuih tok akan buat, paling tidak akan ada agar-agar santan untuk jamah sebelum tidur. Kuih paling sedap dan sentiasa dirindui serikaya bakar dan lompang air tangan tok. Rindu!


Arwah tok ayah pula suka bila tok buat agar-agar merah dipotong kiub dan masukkan air sirap. 21 tahun arwah tok ayah meninggalkan kami banyak kenangan bersama dia semakin kabur diingatan. Paling terkesan Ramadhan juga membawa pergi kasih tok ayah terhadap kami anak cucunya. Saya ketika itu sedang belajar di Terengganu dan bila kembali ke kampong untuk berhari raya semua bapa saudara dan emak saudara ada di rumah tok ayah bersebelahan rumah mak. Saya mengandaikan mereka balik cepat untuk berhari raya. Selepas berbuka puasa tok datang ke rumah dan bagitahu tok ayah sudah tiada. Masa tu hanya tuhan yang tahu perasaan ini, sampai hati keluarga tidak memberitahu saya. Kasih saya tumpah banyak pada tok ayah sebab abah terlebih dahulu meninggalkan kami semasa saya berumur 2 tahun.


Sehari sebelum Ramadhan mak akan sibuk ke pasar membeli ayam, hidangan bersahur mestilah sesuatu yang luar dari kebiasaan dan selalunya mak akan hidangkan ayam. Ketika itu ayam adalah makanan mewah buat kami. Antara hidangan yang menjadi pilihan mak yang merupakan kegemaran kami adalah nasi tomato dan ayam masak merah. Memang menjadi lagenda dalam keluarga kami setiap kali bulan Ramadhan. Juga hidangan bubur cha-cha yang dibancuh dan gunting sendiri.


Kenangan itu merentap hati setiap kali tiba Ramadhan. Entahlah apa perasaan anak-anak saya apabila mereka dewasa kelak. Adakah lagi mereka akan mengutip kenangan sebagaimana saya. Kesibukan bekerja untuk kelangsungan hidup mengahdkan masa untuk berlamaan di dapur lalu apa kenangan yang boleh saya tinggal untuk anak-anak? Moga Ramadhan tahun ini akan memberi sedikit ruang kepada saya untuk memberi lebih tumpuan kepada mereka supa saya dapat mencipta kenangan buat anak-anak.