Harta Pusaka.
Kisah sedih.
Entah kenapa hati ini begitu tersentuh. Bedebar dan menggigil rasanya, marah atau kecewa mungkin bercampur baur. Bukan kerana diri sendiri tetapi kerana adik beradik terutama abang yang terasa di pinggirkan hak kami.
Arwah abah meninggal dalam tahun 1978, arwah tok 3 tahun lepas dan diikuti arwah tok wan 2 minggu selepas tok meninggal. Mereka memang sehidup dan semati. Kasih sayang mereka sehingga sebegitu sekali, berkepit tak pernah berenggang dan bila tok pergi tok wan terus membawa hati sehingga hari takdirnya telah datang. Tak lama hanya 2 minggu tok wan mengikut tok pergi dan dikebumi disebelah pusara tok. Masih bersebelahan juga.
Kami 2 beradik kat Kajang tak balik. Entahlah marah ke atau mungkin kasih kami tak tumpah kepada mereka. Setelah abah pergi hanya emak yang membesarkan kami. Pernah tok wan dan tok meminta untuk memelihara salah seorang dari kami tetapi emak menolak. Biarlah anak-anak membesar didepan matanya walaupun dia terpaksa membanting tulang. Andai terpaksa makan nasi berlaukkan ikan kering biarlah kami berempat tetap bersama.
Mak berpindah balik ke kampung, duduk bersebelahan rumah tok ayah dan tok (nenek sebelah emak). Meninggalkan rumah yang dibina bersama arwah abah, tinggallah segala kenangan di sana. Mak membesarkan kami dengan kudrat yang ada, berkerja. Menjahit, berkerja kilang dan pernah membuka kedai makan. Semasa berkerja di kedai jahit di Arau mak mengayuh basikal sahaja sejauh 5 km setiap pagi dan pulang pada petangnya. Aina masih ingat tuan kedai itu yang Aina panggil Kak Faizah. Kedai itu pun sudah tidak wujud lagi dan sekarang telah menjadi Makam di Raja.
Selama tok sakit Yong (kak sulung) dan mak setiap hari pergi menjengahnya yang tinggal di rumah Pak Ngah berdekatan rumah mak. Walaupun kami hanya cucu terbuang tapi Yong tetap merendahkan diri selayaknya seorang cucu. Kekadang memandikan tok, memberi makan adalah perkara rutin dan apalah sangat yang tok dah uzur tu nak makan. Kadang-kadang mak kikis-kikis isi epal suap ke mulut tok. Semasa sakitnya tok pernah berkata tanah sawah miliknya tak jauh dari rumah Pak Ngah hendak diberi kepada kami adik beradik sekurang-kurangnya sebagai tapak rumah. Kalau bahagian tok wan tok tak mau campur suka hati tok wan katanya. Pemberiannya tanpa hitam putih tetapi ada saksi yang mendengar.
Kemudian tok di bawa ke rumah Pak Tih di Ulu Pauh dan tapak rumah asal Pak Tih duduk adalah tapak rumah arwah abah dulu. Sehinggalah tok menghembuskan nafas yang terakhir di sana dan juga dikbumikan di Ulu Pauh. Tok Wan bermenung sepanjang hari, kemudia di bawa balik ke rumah Wa (anak yang sulung), kehilangan isteri membuatkan hidupnya tidak sempurna. Pincanglah hidup. Tok Wan menghembuskan nafas yang terakhir di rumah Wa tanpa sakit yang menyusahkan anak-anak. Kami tak balik juga, Yong dan Angah sahaja yang pergi. Terdengar suara sumbang di telinga mak, menyoal kenapa kami tak balik. Kapal terbang ada sekejap sahaja sampai. Aku marah! Mak patut menjawab siapa nak tanggung perbelanjaannya? Masa itu memang Aina susah, kerja pun dengan pendapatan tak seberapa, masalah pula banyak. Itulah waktu susah kami.
Selepas tok wan menhadap Ilahi mereka membahagi-bahagikan harta pusaka di antara mereka 6 beradik. Tapak rumah yang Pak Tih dan Pak cik duduk kerajaan ambil dan bayar pampasan. Mereka membeli tanah baru dan membina rumah yang lebih besar. Kami tetap begitu! Tanah Felcra milik Tok Wan juga ada projek menunggu mungkin mereka telah menjualnya dan berita yang di dengar semsa balik raya mungkin bernilai RM750,000. Juga kami di ketepikan. Dulu Pak Ngah memberi alasan Wa mengenepikan hak kami katanya kami waris yang tak layak dapat harta pusaka. Kini Pak Ngah juga membuat perkara yang sama.
Wa kembali kerahmatullah sehari sebelum PRU 12. Sakit yang sukar nak di ungkap. Sehingga 3 hari sebelum pemergiannya Angah pergi menziarah. Mak telefon minta aku balik, minta adik balik ziarah Wa. Aina bagi tahu kat mak `Mak. Kak Yang wakilkan angah pergi ziarah Wa. Dia anak lelaki tunggal arwah abah. Dia waris kami.' Mak putus harapan. Puas dia pujuk Angah. Mungkin Allah (s.w.t) membuka pintu hati Angah setelah berbulanWa sakit untuk menziarah. Selepas 3 hari kedatangan Angah Wa menghembuskan nafas yang terakhir dan mulai kedengaran cerita-cerita sumbang orang kampung yang mengatakan Wa jadi begitu kerana tidak amanah terhadap kami sebagai anak yatim. Hanya Allah yang tahu rahsianya. Bermasam mukalah anak-anak Wa dengan mak padahal semua itu bukan dari mulut mak tetapi dari mulut orang kampung.
Menurut sistem pembahagiah harta pusaka Islam, cucu yang bapa mereka meninggal dahulu daripada datuk dan nenek tidak berhak mewarisi harta pusaka datuk dan nenek disebabkan mereka terdinding oleh bapa saudara atau ibu saudara. Persoalannya apabila anak-anak ini kehilangan tempat bergantung kepada siapa pulakkah tanggungjawab ini pergi? Sudahlah hilang pergantungan, apa yang sepatutnya menjadi milik bapa juga dinafikan terhadap anak-anak.
Nampak kejam tetapi Isalm itu mudah. Bila bapa meninggal dunia saudara-saudara lelaki sebelah bapa sepatutnya menggalas tanggungjawab terhadap anak-anak yatim yang di tinggalkan. Malang sekali di zaman serba moden ini ramai yang terleka dan terlupa pada tanggungjawab mereka. Kita mudah lupa pada janji Allah (s.w.t) kepada mereka yang menganiaya anak yatim.
Kami empat beradik adalah antara mangsanya. Membesar dengan kudrat emak dan perhatian serta bantuan dari arwah tok ayah dan adik beradik sebelah emak. Kalau tiada ingatan kepada kami cukuplah ingatan buat Angah satu-satunya waris abah, pandanglah dia dan keadaannya. Bagi Aina setakat ini alhamdulillah, ada kerja yang baik, mendapat suami yang bertanggungjawab dan kehidupan agak selesa dan sempurna, begitu juga Adik. Yong juga bukanlah senang tambahan suaminya juga meninggal semasa anak-anaknya masih kecil, walaupun sudah berkahwin lain tetapi anak-anaknya tetap menjadi tanggungjawab kami semua.
Apa yang membuatkan aku sedih. Pak Tih dan Pak Cik buat rumah besar. Mak Ndak jangan cerita tanah berekar-ekar, masa sakit Yonglah jadi amah di rumahnya tetapi bila sihat pandang sebelah mata pun tidak. Pak Ngah berura-ura nak menukar kereta Wiranya kepada kereta Vios sedang kudratnya juga sudah tidak seberapa. Mak Su tetap begitu sesekali singgah juga ke rumah emak. Pak Njang jangan cerita dari dulu tak pernah sebulu, kami ibarat melukut di tapi gantang.
Paling aku simpan dihati bila Mak Ndak telefon mendayu-dayu, surat saman telah sampai kerana dia menjadi penjamin masa adik masuk universiti dan adik pulak menagguh bayaran hutangnya. 'Manalah mak ndak nak cari duit 20 ribu tu, tanah mana pulak hendak dijual'. Kalau aku berhati batu, kalau mulut tidak diajar mungkin sebegini akan dijawab. 'Eloklah Mak Ndak jual sahaja bahagian arwah abah yang mak menakan dan pak menakan dah bahagi-bahagikan tu!'
Kami tetap bersyukur mak tak pernah mengajar kami menjadi anak kurang ajar. Bila berjumpa tangan mereka tetap ku cium tetapi untuk bertandang meraikan Aidilfitri ampun dan maaf kami pohon. Andai kalian mampu mengatakan kami waris tak layak apa lagi yang harus di pandang.
Apapun sedikit keliru dengan info ini
keputusan_muzakarah. Ada sesiapa yang mahir boleh terangkan?
Coretan ini bukanlah untuk membuka pekung di dada sekadar melepaskan apa yang menyesakkan hati dan perasaan. Juga buat pedoman dan ingatan kita bersama anak yatim jangan di perlekehkan. Doa mereka makbul!
10 Rider Beraksi: