Minyak Atar
Menyelak kenangan raya dulu-dulu. Raya yang sentiasa segar dihati walaupun semakin dimamah usia. Raya yang sentiasa segar di jiwa. Kenangan yang tak mungkin akan padam walaupun ada antara mereka telah tiada bersama kita.
Masa zaman kecik-kecik kat kampung memang susah sangat orang nak pergi tunaikan haji. Orang kampung dengan pendapatan tak seberapa dari hasil sawah. Kalau yang dapat pergi tu tentulah orang yang sedikit berada. Termasuklah tok menakan (tok saudara) iaitu kakak tok (nenek) yang dimurahkan rezeki untuk menjadi tetamu Allah s.w.t. Rasanya pada masa itu kiranya batch awal yang pergi menaiki kapal terbang sebelum itu jemaah Malaysia pergi menaiki kapal laut (arwah tok wan dan tok sebelah abah pergi dengan kapal laut). Akibat keterujaan naik kapal terbang sampaikan sudu garfu MAS pun depa bawak balik, jadi perhatian tetamu yang datang ziarah mereka pulak tu. Almaklumlah zaman tu siapa yang mampu naik kapal terbang.
Pagi raya selain dari rumah tok ayah dan tok (Al-Fatihah buat keduanya) rumah wajib mestilah rumah Tok Wa kakak tok. Kalau pergi rumah dia selain dapat duit raya part paling best adalah minyak atar. Semasa salam memohon maaf Tok Wa akan leserkan sedikit minyak atar yang dia beli kat Mekah kat setiap kami cucu-cucu menakan dia. Wangi. Bertahun-tahun macam tulah. Sehingga kami besar. Kewangian minyak atar banyak mengingatkan kenangan bersama mereka. Di sebabkan kami anak yatim jadinya habuan kami mesti lebih sedikit berbanding orang lain tetapi akhirnya duit tu kembali ke laci meja Tok Wa juga kerana depa buka kedai runcit, duit raya buat beli gula-gula dan keropok bagai.
Kenangan minyak atar yang sentiasa akan membuat saya sebak. Kewangian itu telah tiada pergi bersamanya. Walapun boleh di beli tetapi sungguh rasanya berbeza berbanding minyak atar dari tangan tuanya yang dilenser ketangan kami, kewangian yang sangat harum dan menikam kalbu.
Al-Fatihah buat Tok Saripah Salleh (kanan) dan Tok Wa Uduh Salleh (kiri), berselang setahun pergi menemui Ilahi membawa semua kasih sayang anak, cucu dan cicitnya. Tok kembali ke rahmatullah pada usia 84 tahun, tiada sakit berat kecuali sakit tua.
kenangan di zaman kecik-kecik kan...skang ni pun still ada simpan lagi minyak atar...tapi dah jarang guna
BalasPadam